• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Puasa zaman dahulu…

Byadmin

Sep 6, 2009

Seingat sayalah kan…buat pertama kalinya saya berpuasa ialah pada usia saya tujuh tahun. Sebelum itu, apa yang saya ingat ialah, mak akan kejutkan saya pada pagi hari raya dan minta saya bersiap. Maka, saya pun segera ke sungai untuk mandi dan kemudian mengenakan baju baharu. Saya tak ingat sangat, adakah saya sudah pandai meronda-ronda mencari duit raya dengan kawan-kawan. Hairan sungguh…lupa betul saya.

Masuk darjah satu, saya pun belajar berpuasa. Letihnya…mak aih, jangan cakaplah. Tapi alhamdulillah, saya mampu bertahan sehingga ke petang. Ingat lagi alunan muzik yang akan dikumandangkan menjelangnya maghrib, dentingan ghazal yang sungguh melankolik itu amat simbolik sekali. Hari ini, muzik itu sudah tiada.

Dahulu, menunggu waktu berbuka amat terasa lama. Tak macam hari ini, tidur je, bila bangun dah dekat waktu nak berbuka puasa. Dulu bila dah petang, saya suka ikut alang membeli ais batu di kedai Pak Lang Dollah. Ingat lagi, ais batu datang dalam bentuk yang panjang-panjang atau pekedai sendiri yang membuatnya, tapi itu setelah ada elektriklah. Sebelum itu, pekedai cina yang membekalkannya. Ais batu itu akan disimpan di dalam habuk kayu, agar ia tidak cair dengan segera. Yang lawaknya, masa bawa balik ais batu itu, jika lambat-lambat sampai rumah dah tinggal separuh…kecik je.

Bila mak dah beli peti ais, maka saya tak beli lagi ais batu. Petang-petang menjelang waktu berbuka, saya pun mengayuh basikal ke rumah mak mengambil ais batu. Kadang-kadang ais batu tak berapa keras, sampai rumah opah dah banyak yang ‘chayor’. 

Dan alangkah indahnya bila berbuka dengan ais batu yang dibuat sirap ais atau ais bandung siap ditambah buah selasih…emm…nikmatnya… 🙂

Kini, setiap buah rumah dah ada peti ais. Maka, tak laku lah lagi ais di kedai. Ais batu pun dah berubah dari empat segi tepat ke bentuk kiub. Air minuman pun dah pelbagai jenis…setakat ayor sirap selasih tu…ala…apa kelas…he…he…

Related Post

Leave a Reply