• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Qana’ah ubat dalam berharta

Byadmin

Apr 23, 2010

“Abang, jiran sebelah kita sudah tukar kereta baharu. Besar bang, cantik pula tu.” Seorang isteri membisikkan sesuatu kepada suaminya kala mereka berdua-duaan di bilik sebelum tidur. Si suami yang sedang asyik membaca mengangkat muka dengan wajah berisi ‘pertanyaan’. Dahinya berkerut.

“Kereta kita itu kan bang, dah tak selesalah bang. Bila balik kampung, mesti lenguh kaki, lenguh badan.”

Si suami kembali menekurkan pandangan kepada buku yang dibaca. Di hatinya dia sudah mampu menerka, apakah motif bicara isterinya kala itu. Memang dia tahu, jiran sebelah rumahnya baharu sahaja menukar kereta membeli MPV. Tapi, dia maklum bahawa jirannya bertukar kereta atas keperluan. Anak jirannya sudah lima orang sedangkan dia sendiri, hanya ada seorang anak. Lagi pun kereta sedan yang dimiliknya baharu berusia tiga tahun. Masih ‘sedap’ dipandu kemana-mana.

Inilah secebis sketsa rumahtangga berkaitan harta. Saya yakin, perasaan cemburu sering tumbuh dalam dada apabila kita melihat orang lain mempunyai sesuatu yang lebih hebat daripada kita. Daripada sudut kemanusiaan, ia adalah fitrah. Cemburu memang perlu; cuma hendaklah dikawal agar ia menjadi cemburu yang baik dan bermanfaat. Seorang suami wajib cemburu jika isterinya bersolek berwangian tika keluar rumah, kerana tanpa cemburu maka isterinya boleh jadi terjebak ke dalam dosa dan si suami turut mendapat tempiasnya di akhirat sana.

Cemburu seperti inilah yang dikehendaki Islam, sebagaimana dinyatakan di dalam hadis: “Sesungguhnya Allah itu memiliki sifat cemburu dan orang-orang beriman juga memilikinya. Ada pun rasa cemburu Allah ialah ketika melihat seorang hamba yang mengaku dirinya beriman kepada-Nya melakukan sesuatu yang diharamkan-Nya,” (Hadis riwayat Bukhari dan Nasa’i).

Kendatipun Islam tidak menegah dan menghalang rasa cemburu, namun perasaan cemburu yang tidak terkawal akan melahirkan cemburu buta malah boleh berubah menjadi hasad dengki pula. Pantang melihat kelebihan orang lain, maka akal fikirannya ligat berputar mencari jalan untuk merebut apa yang dimiliki oleh orang itu. Cemburu seperti ini adalah amat dilarang, kerana ia boleh merosakkan keharmonian dalam perhubungan.

Ada pula orang yang cemburu dalam bab harta, maka jika boleh dia mahu memiliki apa sahaja yang dimiliki oleh orang yang dicemburuinya itu. Jika kebetulan jirannya membeli perabot baharu, maka dia juga mahukan perabot baharu. Jika jirannya membeli kereta besar, dia juga mahukan kereta besar. Bila jirannya membuat pengubahsuaian rumah, dia lagi tergedik-gedik mahu membesarkan rumah. Hati dan perasaannya sentiasa terbakar bila melihat jiran atau kawan-kawannya ‘lebih’ daripada dirinya. Wajahnya mungkin tersenyum; namun hatinya hanya Allah SWT yang tahu.

Hakikatnya, cemburu seperti inilah yang ditegah. Maka, Islam memberikan suatu kaedah dalam berharta yang dinamakan ‘qana’ah.’ Qana’ah adalah ajaran Islam yang menanamkan bibit-bibit kecukupan dalam diri, khususnya pada bab harta. Dalam pengertian mudah, qana’ah bermakna berpada-pada dengan apa yang ada. Tidak berlebih-lebihan apatah lagi menambah-nambah harta yang tidak pun diperlukan. Atas dasar itulah, Islam menggesa kita agar megurus kekayaan dengan sifat qana’ah ini.

Sabda Nabi SAW: “Jadilah kamu seorang yang warak, nanti kamu akan menjadi sebaik-baik hamba Allah, jadilah kamu seorang qana’ah, nanti kamu akan menjadi orang yang paling bersyukur kepada Allah, sedikitkanlah ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Qana’ah dalam berharta, bukan bermakna tidak kisahkan kehidupan dunia sehingga tidak mahu mencari harta ataupun membina kekayaan diri. Orang yang qana’ah itu hakikatnya berharta bahkan mungkin juga kaya; tetapi hatinya terdidik untuk merasa puas dengan apa yang sudah ada. Jika jirannya menukar kereta, dia tidak merasa gundah-gulana. Jika jirannya membeli perabot baharu, dia tidak berubah rasa. Jika jirannya mengubahsuai rumah, hatinya tidak meronta-ronta. Baginya, apa yang ada ketika itu sudah cukup untuk memenuhi keperluan dirinya. Apa maknanya membeli sebuah MPV berkerusi lapan jika anak hanya seorang?

Kesimpulannya, qana’ah adalah kaedah merawat hati daripada jatuh ke dalam kancah cemburu yang tidak diredai Allah SWT. Orang yang qana’ah pasti tenang dalam kehidupannya. Dia akan selalu melihat kepada orang lain, mungkin jirannya berkereta besar dan dia hanya berkereta kecil; tetapi masih ramai orang yang tidak mampu walau untuk membeli sebuah kereta terpakai dan hanya menjadikan bas dan teksi sebagai kenderaan rasmi mereka. Akhirnya seperti kata nabi, dia akan menjadi manusia yang tahu mensyukuri nikmat Allah SWT. Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply