• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Rak buku baharu!

Byadmin

May 26, 2009

rakbuku

‘Rak buku baharu saya…’

Ahad, rumah saya dapat rak buku baharu. Saya tempah khusus mengikut saiz dinding. Keluasan keseluruhannya kira-kira 10 x 18 kaki. Memang berbaloi.

Semenjak remaja, saya sudah mengidamkan sebuah perpustakaan milik sendiri. Semasa di rumah opah, saya tebang batang buluh dan gergaji sendiri, kemudian ikatkan menjadi rak buku. Saya masih ingat, bubuk suka membuat sarang di buluh itu dan buku-buku saya selalu terkena habuk batang buluh.

Saya memang menggemari buku. Semasa memasuki universiti pada tahun 1994, sebuah almari saya tinggalkan dengan koleksi buku dan majalah di rumah opah. Saya tidak mengusunnya ke kampus. Kemudiannya buku-buku saya itu difaraid oleh adik-adik. Ada yang berserakan di rumah opah dan ada yang dibawa ke rumah emak. Sedih saya, akhirnya saya kumpulkan kembali saki-baki buku-buku dan majalah itu. Saya bawa pulang ke rumah saya di Serendah.

Apabila saya berpindah ke Kuala Lumpur, penuh van Pak Amid, jiran saya di Serendah dengan buku. Berkotak-kotak dan berat pula tu. Maklumlah, saya dan isteri berkongsi minat yang sama. Setiap tahun juga koleksi buku kami akan bertambah, kerana kami sentiasa tidak melepaskan peluang menambah bahan bacaan di Pesta Buku. Mujurlah di KL, rumah baharu kami dua tingkat, jadi bahagian bawah kami manfaatkan dengan menyediakan ruangan yang khusus bagi buku.

Sebelum ini, saya menyediakan dua buah almari besar dan sebuah almari kecil bagi mengisi segala buku kami. Kemudian, ditambah lagi dengan kabinet hiasan di ruang tamu, turut menjadi mangsa diisi dengan buku. Habit saya yang selalu ‘kalah’ dengan buku, menyebabkan semakin banyak buku dibeli. Jika saya menemani isteri ke UKM Bangi, saya suka merayap di Unikeb dan mencari buku-buku baharu, jika saya mengunjungi sesebuah tempat baru misalnya di Sabah dahulu pun, saya ‘gatal’ juga merayap di kedai buku. Maka, nak tak nak…koleksi buku kami makin bertambah. Natijahnya, rak buku kami sudah padat dan melimpah-ruah. Buku disusun secara tidak teratur lagi, bertindih-tindih dan ada yang sukar dicapai oleh mata untuk dinikmati seterusnya.

Kemuncaknya, Pesta Buku Antarabangsa KL baru-baru ini, saya membeli set lengkap Kitab al-Bidayah wan Nihayah, 12 jilid semuanya dan ia tersimpan rapi di dalam kotak buat beberapa lama. Rak buku kami sudah tidak mampu menampung buku baru lagi. Di bilik kami dan anak-anak pun sudah terpaksa menampung buku. Bahkan dapur kami pun, terpaksa menerima kehadiran buku dan majalah masakan isteri. Isteri saya merungut…majalah saya letaknya di rak buku, majalahnya di dapur! Mana aci…

rakbuku21

‘Sebahagian koleksi buku milik keluarga saya…’

Saya membuat keputusan, sudah tiba saatnya kami menempah sebuah rak khas yang mampu menampung keperluan buku di rumah kami. Di samping itu, ia akan menjadikan persekitaran sudut berkerja dan membaca lebih kemas dan teratur. Maka, saya memberanikan diri menempahnya. Mujurlah…saya mendapat kontrak menulis skrip drama radio dan ditambah dengan beberapa punca pendapatan lain, maka terkabul juga akhirnya hajat kami anak-beranak untuk memiliki sebuah rak buku baharu yang lebih besar dan sempurna…alhamdulillah!

Related Post

Leave a Reply