• Sat. Jan 16th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Ramadan dan Kartika

Byadmin

Aug 27, 2009

Ramadan ini, saya sambut dengan penuh semangat mencari ketakwaan. Semua orang beriman, sepatutnya mencari perkara yang sama. Bukankah itu yang dijanjikan Allah SWT lewat firman-Nya: “Mudah-mudahan kamu menjadi orang yang bertakwa!”

Namun, ketenangan itu terkocak dengan insiden wanita bernama Kartika, yang mengaku meminum arak sehingga dijatuhkan hukuman sebatan enam kali amat menarik untuk kita kaji. Jarang sangat orang mahu mengaku kesalahannya. Ramai orang, cuba menutupi kesalahan yang dilakukan. Makin tinggi jawatan dan pangkat kebesaran, makin ditutup segala lubang-lubang kesalahan. Jika salah pun, silap hari bulan boleh dilepaskan. Begitulah manusia yang lain dan tidak seperti Kartika. Kenapa ya?

Jenuh juga saya memikirkan hal Kartika ini. Kenapa dia mengaku minum arak, kenapa dia tidak berbohong bahawa itu air lain, teh sejuk ke atau air mineral yang dicampur warna kuning. Kenapa dia berani mengaku, itulah arak yang memang jelas dosanya dan jelas haram dan memang akibatnya, dia akan dihukum? Kenapa Kartika..?

Pada zaman Rasulullah SAW dahulu, memang ada wanita yang mendatangi nabi dan mengaku berzina. Nabi pun hairan dengan pengakuan wanita itu. Namun, nabi meminta agar dia pulang dahulu sehinggalah dia melahirkan anaknya. Setelah dia melahirkan anak, dia datang lagi menagih janji hukuman. Nabi menyuruh dia pulang lagi, bagi menyusukan si anak hingga genap beberapa lama tempoh susuan. Selepas itu dia datang lagi, maka baharulah nabi ‘terpaksa’ merotannya.

Saya sudah ingat-ingat lupa akan kisah di atas, namun semasa bermuzakarah dengan seorang kawan, dia menyatakan antara lain dalam kisah itu, nabi seakan-akan memberi peluang kepada wanita berkenaan untuk menukar ‘kenyataan’. Tambah sahabat saya, memang Islam memperuntukkan hukuman yang ‘keras’ dalam beberapa kesalahan jenayah, misalnya zina. Namun, Islam bukan mempermudahkan sabitan kesalahan; bahkan ‘menyusahkannya’ pula. Sebab itu Islam mensyaratkan empat orang saksi yang adil yang menyaksikan sendiri kejadian zina itu berlaku. Bukan sekadar melihat manusia ‘berdua-duaan’; tetapi benar-benar berlaku ‘perzinaan.’

Kata sahabat saya lagi, ini menunjukkan Islam bukan sengaja suka-suka meghukum manusia. Sebaliknya hukuman yang disediakan oleh Islam adalah bertujuan untuk mendidik mereka yang melakukan kesalahan. Apa yang lebih utama ialah taubat dan penyesalan mereka.

Baiklah, saya sekadar memikirkan beberapa aspek awal sebelum kita menyebat mereka yang bersalah. Pertama, adakah hukuman enam kali sebatan itu undang-undang Islam? Jawapannya tidak, ia bukan undang-undang Islam; bahkan ia undang-undang manusia juga. Jika ikut Islam, peminum arak akan disebat sehingga 80 kali! Kedua, adakah adil hukuman sebatan enam kali itu? Bagi saya tidak, kerana ia bukanlah undang-undang dari syariat Islam. Ketiga, adakah di akhirat Kartika akan terlepas daripada siksaan? Jawapannya tidak, kerana dia tidak dihukum dengan hukum Islam. Namun, jika dia bertaubat dengan taubat nasuha dan Allah SWT menerimanya, itu lainlah kisahnya.

Sebelum itu juga, saya hanya memusykilkan beberapa perkara. Sebelum kita bersungguh-sungguh mahu menghukum Kartika atau sesiapa sahaja kerana meminum arak, adakah ia menunjukkan ketegasan penguatkuasa yang sebenar? Adakah ia akan mencerminkan imej Islam yang sebenarnya? Anda bayangkanlah, arak boleh dibeli dengan mudah di mana-mana hatta di kedai runcit di hadapan rumah anda mungkin. Jadi, sepatutnya pihak berkuasa yakni kerajaan yang memerintah wajib mengawal penjualan arak terlebih dahulu sebelum menghukum peminumnya. Kedua, jika ditakdirkan yang ditangkap adalah manusia kelas atasan, adakah mereka akan menerima nasib yang sama seperti Kartika? Jawapannya, beberapa kes sebelum ini yang ditutup dengan ‘arahan’ menjelaskan, hanya kes yang melibatkan manusia kerdil akan dibawa kepada hukuman. Mana mungkin saya boleh lupa dengan isu The Zouk di KL, isu Ratu Cantik VS Mufti Selangor dan banyak lagi. Semuanya berakhir dengan apa?

Saya hanya mahu mengingatkan para penguasa dan pemerintah, bahawa Rasulullah SAW pernah mengingatkan: “Sesungguhnya binasalah orang-orang yang sebelum kamu disebabkan orang-orang atasan apabila mencuri mereka membiarkannya , dan apabila orang lemah mencuri mereka menjatuhkan hukuman ke atasnya.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Related Post

Leave a Reply