• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

RAMADAN DI SISI KITA

Byadmin

Jul 16, 2012

Tidak lama, tidak sampai seminggu, senja Sya’aban akan berlabuh dan tersingkaplah tirai malam Ramadan. Maka, umat manusia yang beriman, akan kembali menghurungi masjid dan surau, mendirikan malam demi malam dengan solat dan zikir. Indahnya Ramadan, bulan yang penuh keampunan dan janji pahala yang berlipat kali ganda.

Lalu, kita pun menanti dan meladeni kedatangan Ramadan dengan seadanya. Orang lain sibuk bertarawih, kita pun sibuk bertarawih. Orang lain sibuk berselawat, kita ikut berselawat. Siangnya, kita menahan diri dengan berlapar dahaga. Semuanya, kerana atas nama Ramadan.

Namun, persoalannya, adakah cukup sekadar itu? Tiadakah sesuatu yang lebih berharga dan bermakna tentang Ramadan bagi kita? Jika Ramadan itu istimewa, apakah istimewanya hanya kerana di dalamnya kita berpuasa sahaja? Atau istimewanya Ramadan, kerana di dalamnya kita boleh berbuka puasa secara percuma di masjid? Atau istimewa, kerana itulah saatnya kita boleh menambah pendapatan di bazaar Ramadan?

Sering kali, menjelangnya Ramadan, maka kebanyakan masjid dan surau mengadakan Ceramah Khas Menjelang Ramadan. Penceramah pun akan membuka kitab, membacakan kembali kepada kita tentang Fiqh Puasa. Apa syarat wajibnya, apa yang membatalkannya, apa yang mengurangkan pahalanya dan fadilat-fadilat puasa.

Kita pun, dengan senang hati akan menadah telinga buat mendengar kisah puasa dan Ramadan ini. Tidak pernah kita berasa jemu, namun tidak pula menjadikan kita teruja amat dengannya. Ramadan dan puasa, sudah sekian lama kita menjalaninya. Maka, begitulah kita seadanya, menyambut Ramadan setiap tahun di sisi kita.

Aduhai, alangkah ruginya kita. Bulan Ramadan, bukanlah bulan yang biasa-biasa. Maksudnya, bulan Ramadan ini, adalah bulan yang istimewa kerana di sisinya disediakan Allah SWT dengan pelbagai elemen pendidikan buat kita. Orang yang melewati Ramadan dengan penuh pengertian, mereka akan merasai natijah Ramadan di penghujungnya.

Pertamanya, Ramadan diiktiraf oleh para fuqaha sebagai sebuah ‘sekolah’ atau disebutkan sebagai ‘madrasah Ramadan.’ Ini kerana, Ramadan mendidik manusia agar berdisiplin, diberikan latihan dan di hujungnya diberikan kemenangan. Puasa adalah latihan. Namun, puasa menjadi sia-sia jika sekadar berlapar dahaga semata-mata. Seluruh anggota tubuh perlu ‘dipuasakan’, barulah boleh kita lulus cemerlang dan mencapai kemenangan di penghujung Ramadan, yakni pada saatnya hari raya.

Nabi Muhammad SAW menyatakan, orang yang berpuasa dan puasanya dilakukan penuh rasa insaf dengan niat mahu mendapatkan markah tertinggi di sisi Allah SWT, maka dijanjikan bukan sekadar pahala, tetapi ampunan dosa. Maka, hari raya akan diraihnya dengan dirinya seperti bayi yang baharu dilahirkan, putih bersih tanpa secalit dosa (kecuali dosa dengan makhluk, wajiblah dia menuntut kemaafannya).

Imam al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadis daripada Nabi Muhammad SAW: “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kerana keimanan (kepada Allah) dan mengharapkan ganjaran pahala, maka diampunkan dosa-dosa yang lepas dan akan datang.”

Kedua, pada bulan Ramadan inilah kita diberikan peluang menikmati gandaan pahala dalam amalan. Antaranya, amalan bersedekah atau berzakat. Tiada dalam bulan lain yang pernah dijanjikan oleh Rasulullah SAW dengan gandaan pahala, selain dalam bulan Ramadan. Pokok pangkalnya, mahukah kita merebutnya?

Gandaan pahala ini, tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menggalakkan kita lebih ghairah beramal, khususnya bersedekah. Andai kita melakukan satu amalan sunat, maka pahalanya bagaikan satu amalan wajib. Sedangkan, setiap satu amalan wajib pula, pahalanya diberi gandaan sebanyak 70 kali. Andai berzakat sebanyak RM1 ribu, di sisi Allah SWT, kita dicatat sudah berzakat RM70 ribu!

Ibnu Khuzaimah telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: “Sesiapa yang mendampingkan dirinya kepada Allah dalam bulan Ramadan dengan sesuatu daripada perkara-perkara kebajikan (sunat), maka samalah seperti dia mengerjakan satu perintah Allah yang diwajibkan (fardu) pada bulan itu, dan sesiapa yang menunaikan satu perkara yang diwajibkan Allah pada bulan itu (seperti zakat), maka samalah seperti dia menunaikan 70 perkara yang diwajibkan Allah pada bulan-bulan yang lain.”

Nah! Cukup dahulu kita meneropong diri di sisi Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi. Andai kita belum bersedia, maka bersiaplah dari sekarang. Jika merasa masih kurang ilmu, maka bacalah buku-buku agama mengenainya, khususnya mengenai sedekah dan derma di bulan mulia ini. Mudah-mudahan, kita bisa mendapat fadilat sedekah dengan kedatangan Ramadan, kerana nabi pernah menyatakan: “Sebaik-baik sedekah, adalah pada bulan Ramdan.” (Hadis riwayat at-Termizi). Wallahua’lam.

Mutiara hukamak: “Ilmu adalah sesuatu yang bermanfaat dan bukannya ilmu apa yang hanya dihafaz semata-mata.” -Imam Syafi’e

Related Post

Leave a Reply