• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Resensi Buku: Karipap-pap Cinta…

Byadmin

Apr 19, 2010

Tajuk: Karipap-karipap Cinta
Pengarang: Nazri M. Annuar
Penerbit: PTS Fortuna Sdn Bhd
Tahun: 2010
Harga: RM14.00
Tebal: 254 halaman

Jarang saya boleh menuntaskan sebuah buku dalam tempoh yang singkat. Namun dengan Karipap-karipap Cinta (KKC) buah tangan Nazri M. Annuar ini, dalam julat masa dua hari sahaja selesai semuanya. Tahniah! Nazri bukanlah satu nama besar dalam dunia penulisan jika nak ditara-bandingkan dengan penulis muda lain – Faisal Tehrani, Ramli Awang Mursyid atau Nisah Harun dan Mawar Shafie misalnya. Namun, kemampuan beliau mengolah ayat demi ayat menjadikan saya ralit seralit-ralitnya sehingga tanpa sedar, tinggal hanya dua halaman sahaja lagi mencapai penyudah cerita.

Novel KKC ini saya beli di Pesta Buku Antarabangsa KL tempoh hari. Kali pertama terpandangkan kulit buku ini, saya terus tertarik memilikinya. Mungkin pepatah Inggeris ‘do not judge book by its cover’ tak boleh diaplikasikan di sini. Saya membelinya dengan harapan ada satu kelainan, kendatipun wajah yang menghiasi kulitnya iras-iras Ayat-ayat Cinta (AAC) karya Habiburrahman el-Shirazy.

Namun, bagi saya nafas AAC memang berkitaran dalam KKC. Bedanya, KKC adalah cerita lokal. Ia tidak mengambil latar internasional. Pemain wataknya adalah manusia tipa biasa yang lazim kita ketemui di mana-mana. Sesiapa yang pernah berkerja dalam bidang penerbitan khususnya akhbar atau majalah, pasti lebih seronok menguliti novel ini. Justeru, ia adalah refleksi terhadap rutin kehidupan di sebuah syarikat penerbitan yang punya ceritanya yang tersendiri. Kebetulan, saya sendiri adalah orang majalah dan pernah terlibat dalam dunia penerbitan di sebuah syarikat swasta satu waktu dahulu…maka saya mampu mengimajinasikan dengan ‘real’ setiap apa yang dipaparkan.

Baiklah. KKC ini memaparkan kisah seorang lelaki yang bagi saya…terlalu ‘despaerate’ untuk memenangi hati seorang gadis. Ya, ia adalah tipikal. Kisah kejenuhan mencari ruang perkenalan dan pastilah ia dibumbui dengan pelbagai cerita. Namun, apa yang menariknya, ia adalah lebih daripada sekadar memenangi sekeping hati wanita. Ia adalah paparan sifat manusia yang hipokrit dan menyedari kesalahan yang dilakukan dan senantiasa terintai-intai ruang memasrahkan diri menjelaskan segalanya. Itulah Ali. Jejaka lulusan ‘al-Azhar Universiti’ yang cuba memikat Sarah, gadis yang merupakan 10 pelajar terbaik al-Azhar di Mesir!

Kenapa Karipap? Ia bukan sekadar mengisahkan manusia yang terlalu obses dengan karipap, tetapi ada rahsia di sebaliknya. Karipap adalah kuih paling popular di Malaya ini. Di mana-mana, hotel, gerai, kenduri kahwin di kampung hatta majlis resepsi di hotel berbintang, kuih karipap sering mengambil tempat. Ia kuih biasa yang ‘luar biasa.’ Luar biasanya itu ada rahsianya dan rahsia itulah yang dimiliki oleh Sarah dan kemudiannya cuba dimiliki oleh Ali.

Jauh berbaloi daripada sekadar seketul atau berketul-ketul kuih karipap ialah, novel ini memaparkan realiti kehidupan lewat para wataknya yang sentiasa melengkapi antara satu sama lain. Rambai, teman serumah yang tidak bisa mengkhianati persahabatan bahkan sentiasa cuba menyalakan api cinta sahabatnya yang pada satu-satu waktu hampir terpadam. Aman, seorang rakan sekerja yang tega mengorbankan dirinya dan masa hadapannya demi persahabatan. Juga Asha sang pendamba cinta. Bahkan Uncle Hong dan Uncle Ramy juga ada peranannya tersendiri yang juga agak misterius di sini.

KKC juga menyinggung secara langsung kemelut sang politikus. Tidak susah memahaminya kerana itulah pun senario politik di tanah air kita. Jatuh-menjatuh antara seorang politikus dengan politikus yang lain adalah perkara biasa.

Dan, KKC bagi saya berbaloi untuk dibaca. Sekalung tahniah sekali lagi buat Nazri M. Annuar. Anda telah memberikan sesuatu yang berbeza, lewat Karipap Cinta anda ini!

Related Post

Leave a Reply