• Sat. Jan 16th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Resensi: Cinta Alhambra – Dalam kembara sasterawan

ByFameThemes

Apr 28, 2009

dsc016061

Tajuk: Cinta Alhambra dalam kembara sasterawan
Pengarang: Hasan Ali
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur 2007
ISBN: 978-983-62-8835-6
Harga: RM17.00

Buku ini saya beli semasa Pesta Buku Antarabangsa KL tahun lepas, ya…tahun 2008. Tapi, baru tahun ini saya menyudahi helaiannya. Semasa menatap kali pertama buku ini, hati saya tertarik lantaran kala itu saya memang sedang berkira-kira mahu menyiapkan sebuah naskhah pertama novel saya, yang mana isi kandungannya turut memuatkan tragedi Cordoba ratusan tahun silam. Ia novel berat, kata beberapa orang kawan yang saya berikan manuskripnya. Preview awal mereka membuatkan hati saya berdebar-debar, adakah mana-mana penerbit yang teringin menerbitkan novel sulung saya ini?

Kita tinggalkan dahulu cerita novel saya yang sudah siap tapi masih tidak diterbitkan itu…dan, setelah sekian lama meninggalkan ulasan buku sejak berpindah dari blog U-HAH ke hamizul.wordpress ini, maka inilah julung kalinya saya mengisi blog ini dengan kupasan buku. Buku Hasan Ali ini, bukanlah ditulis oleh YB Datuk Dr Hasan Ali, Exco agama dan adat-istiadat Melayu Selangor. Nama sahaja serupa, orangnya jauh berbeza.

Buku ini adalah rangkuman catatan perjalanan Hasan Ali, seorang anggota rombongan di bawah Persatuan Penulis Nasional atau ringkasnya PENA. Beliau telah menelusuri beberapa buah negara Eropah atas nama jelajah sasterawan. Membacanya memberikan kita gambaran mengenai dunia luar. Malah, saat menatapinya helai demi helai, saya seakan-akan mahu pergi ke setiap inci daerah yang digambarkan. Terasa untungnya orang yang diberikan izin oleh Allah SWT menjejakkan kaki ke serata dunia, sedang kita masih berpijak di bumi yang sama sejak lahir.

Penulis memaparkan catatan perjalanan yang menarik, justeru ia bukan catatan biasa melainkan catatan ketika ke luar negara. Catatan ini dibuat pada tahun 1996, saat teknologi internet masih merayap di negara kita. Jika hari ini, saya yakin penulis ini akan memanfaatkan medium blog bagi menyampaikan hasratnya. Setiap peristiwa segera diisi ke dalam blog, hari demi hari. Tapi, kuranglah thrill-nye…mencatat di atas kertas atau sebuah buku nota atau ke dalam diari memang mengujakan, ada nilai seni, sentimental dan klasiknya.

Catatan penulis ini bermula di Madrid, ibu kota Sepanyol yang tersohor dengan lembu dan pahlawan Matadornya. Perjalanan mereka kemudiannya melalui Toledo, satu nama yang terasa dekat di hati, seakan biasanya mendengarnya. Toledo adalah sebuah kota yang menjadi milik Islam pada tahun 1405 sebelum ia jatuh ke tangan Kristian. Di sini banyak senibina Moor yang cantik-cantik.

Menyebut Sepanyol maka tidak lengkap tanpa Cordoba. Ya, penulis ini turut melewati Kota Cordoba, sebuah lagi kota penuh sejarah milik umat Islam. Bahkan, kota ini pernah menjadi ibu negara kepada seluruh Andalusia sekitar tahun 756. Pada tahun 929 semasa zaman pemerintahan Abdul Rahman III, Cordoba mencapai zaman keagungannya. Saat itu, ia mempunyai rakyat yang majmuk namun hidup aman – daripada pelbagai keturunan Arab, Nasrani dan Yahudi – sehingga melebihi satu juta orang jumlah dan masjidnya sahaja 1600 buah!

Namun, pada tahun 1236 Cordoba jatuh kepada Raja Ferdinand III, yang menurut penulis adalah dek kerana wujudnya perpecahan sesama sendiri di dalam pemerintahan umat Islam. Satu hal yang amat menyedihkan, kota yang pernah menempatkan ribuan masjid ini, pernah satu masa hanya tinggal kira-kira 200 orang sahaja lagi yang muslim akidahnya. Bahkan, berlaku percampuran seni bina yang amat mengecilkan hati umat Islam, apabila ia dicampur-adukkan dengan seni bina Kristian. Misalnya, banyak kalimah Allah yang diletakkan tanpa hormat di bawah lambang salib!

Penulis bersama rombongannya kemudian ke Granada, juga kota penuh sejarah umat Islam. Menariknya, di sini banyak ditemui ladang buah zaitun dan bunga matahari dan buah-buahan segar dengan harga yang amat murah! Penulis juga memaparkan sikap pemandu di sana yang begitu sopan di jalan raya tanpa kawalan sesiapa, hatta seorang anggota polis. Bahkan Granada disifatkan penulis sebagai Kota Taman, kerana dihiasi dengan pohonan hijau yang meredupkan saujana pandangan.

Sekadar mengingatkan, di Granada inilah terletaknya Istana Alhambra, sebuah istana yang menjadi saksi sejarah penuh cerita suka-duka. Kota Granada mencapai kegemilangannya semasa pemerintahan Raja Muhammad V (1354-1359). Granada juga runtuh dan jatuh ke tangan Maharaja Katolik pada 1492, akibat perebutan kuasa. Istana inilah antara satu-satunya tinggalan keagungan silam yang masih dapat ditatap sehingga kini.

Catatan kembara ini berlanjutan hingga ke Selat Gibraltar. Rasanya, kita semua mungkin masih ingat asal-usul nama selat ini. Ya, ia diambil bersempena kedatangan Thariq bin Ziyad yang menggempur Kota Sepanyol, membakar kapal-kapal perang dan yang ada hanyalah satu perkara: Syahid atau kemenangan!

Saya kira, buku ini menarik untuk diuliti. Gaya penceritaannya biasa sahaja, tiada ayat-ayat atau istilah-istilah yang bombastik pastinya. Cuba-cubalah bertanya ke DBP, naskhah ini boleh dijadikan wahana meluaskan minda dan pengalaman kita, insya-Allah.

FameThemes

This user is created while installing demo content. You should delete or modify this user’s information now.

Related Post

Leave a Reply