• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Salam dari Bandung! (1#)

Byadmin

Feb 25, 2012
Salah sebuah rumah berbentuk ala-kolonial di Bandung

 

25 Februari 2012, jam 12.30 waktu Indonesia, Alhamdulillah pesawat QZ7596 Airasia mendarat dengan selamat di Bandara Hussein Sastra Negara. Kegeraman kerana penundaan berlepas pesawat dari LCCT reda apabila udara dingin Bandung dapat dirasai. Bandara ini jauh lebih kecil dan serba sederhana, jika dibandingkan dengan Bandara Soekarno-Hatta, Jakarta. Akhirnya, baharu saya tahu bahawa lapangan terbang ini asalnya adalah milik Angkatan Tentera Udara Indonesia. Itu pun atas penjelasan Pak Wawan, supir teksi yang menjadi driver rasmi kami di sini sepanjang lima hari insya-Allah.

Sehabis proses di kaunter imigresen dan kastam Indonesia memeriksa sebahagian bagasi, kami segera bergegas keluar. Pak Wawan yang lebih awal saya hubungi telah sedia menanti. Kami segera bergegas ke Hotel Amaris, di Jalan Chihampelas. Suasana perjalanan nyaman. Di sepanjang jalan, kediaman di kiri dan kanan Nampak tenang dalam selimut malam. Sunyi dan kelam. Tapi saya tahu, suasana siangnya pasti berbeza.

Sesampai di hotel, dalam keletihan kami menguruskan kemasukan. Mujurlah kami mendaftar lebih awal dengan Agoda, kerana kebanyakan hotel di Bandung penuh pada hujung minggu. Pengalaman kami yang sudah acap berkunjung ke Indonesia khususnya Jakarta, menjadikan kami lebih hati-hati. Ini kerana, penduduk Jakarta selalunya berpusu-pusu meninggalkan ibu kota yang macet dan padat penduduk itu untuk ke Bandung demi menikmati liburan hujung minggu. Jika kami lambat menempah hotel, memang tidak ada biliklah jawabnya. Lagi pun, menempah dengan Agoda membolehkan kami mendapat diskaun yang agak ketara jauh bezanya dengan harga biasa. Jika tak salah saya, harga tanpa diskaun adalah RM160 dan dengan Agoda hanya RM120 semalam. Bezakan!

Bentuk-bentuk bangunan dengan senibina ala-kolonial masih ketara di Bandung yang juga dikenali Paris van Java ini...

Kepenatan yang membelenggu diri menyebabkan kami tidak mampu menahan diri lagi. Mujurlah Ilham, anak bongsu kami masih lena dibuai mimpi. Ilham nampaknya memberikan kerjasama cukup baik kepada kami dan cukup sporting melalui petualangan (kembara) ini. Sejak di LCCT lagi Ilham tidak banyak karenah. Setelah menukar pakaian dan membersihkan diri, kami tidak mampu lagi menahan kantuk dan terlena hingga ke subuh. Hai…mujurlah kami sudah jamak takdim di Malaysia…dapatlah kami terus melayan mata.

Pagi, usai solat Subuh dan menikmati sarapan pagi, yang kebetulannya menghidangkan nasi goring…yang menyebabkan saya begitu berselera menjamahnya, kira-kira jam 9 pagi, kami pun bergegas ke Pasar Baru. Kami mahu shopping dahulu, kerana berdasarkan pengalaman sendiri dan juga teman-teman, rugi shopping hari-hari akhir.

Perjalanan dari hotel ke Pasar Baru tidaklah mengambil masa yang lama. Jalan masih tidak begitu macet, walaupun motorsikal sudah semakin bermaharajalela di jalan raya. Pasar Baru ini rupa-rupanya seakan-akan kompleks Tanah Abang di Jakarta. Keseluruhannya, kompleks Pasar Baru ini setinggi tujuh tingkat dengan setiap tingkat menawarkan kepelbagaian barangannya tersendiri. Sama seperti di Tanah abang juga, di tingkat paling atas disediakan masjid untuk menunaikan solat.

Di sini, kami menghabiskan masa kira-kira enam jam. Shopping sakan…sampai naik lenguh kaki dibuatnya. Manakan mencari barang, mendukung Ilham lagi. Mujurlah ada seorang anak muda yang dengan senang hati menemani dan mengangkat segala barang. Tapi tidaklah gratis atau FOC, saya mengupahnya Rp100 ribu untuk kerja-kerjanya itu.

My wife sedang menawar harga untuk telekung anak-anak

Sebenarnya, di sini kita kenalah berani meminta harga yang terendah yang kita inginkan. Memang penjual akan meletakkan harga yang agak tinggi. Misalnya, telekung yang cantik akan diletakkan harga Rp300 ribu, kemudian apabila kita bertanya, maka mereka akan menurunkannya kepada Rp250 ribu. Kita rasa dah murah, sebenarnya kita boleh menurunkannya lagi sehingga Rp200 ribu atau Rp180 ribu. Syaratnya, kena pandai cakap ala-ala Jakarta, supaya tak ketara sangat kita ni orang ‘Key-El’ dan keduanya, kena kuat semangat minta harga rendah. Saya akan minta harga yang kadang-kadang macam tak logic, tapi akhirnya mereka akan cuba beri apabila kita jual mahal dan berlagak tak jadi beli.

Anda bayangkan, saya dapat ‘magnetic fridge sticker’ Bandung, lima bungkus (setiap bungkus ada kira-kira 10 magnetic sticker) dengan harga Rp100 ribu, sedangkan asalnya dia letak kalau tak salah saya, tiga bungkus Rp100 ribu… Punyalah saya tawar-menawar harga, hinggakan isteri saya terdengar ada peniaga yang kata saya ‘kedekut’…alah lantaklah…yang penting saya puas hati!

Setelah penat membeli-belah, kami melewati took buku Gramedia. Tujuan saya untuk mencari CD movie terbaharu Indonesia dan juga buku-buku yang menarik minat. Sayangnya, tiada CD movie Indonesia dijual, bila saya Tanya pelayannya, katanya memang tidak dijual kerana kurang peminatnya. Aikk…impossible! Fikir saya…akhirnya, saya hanya membeli beberapa naskhah buku…antaranya dua buah buku tentang zakat, novel Hafalan Shalat Delisa (yang baharu siap difilemkan), Surat Kecil Untuk tuhan, 5 Bintang, Anak sejuta Bintang dan Melukis Pelangi yang diambil oleh isteri saya, buku ini ditulis oleh Oki Santiana Dewi yang memerankan watak Anna Althafunnisa dalam Filem Ketika Cinta Bertasbih.

Toko Buku Gramedia merupakan rangkaian kedai buku terbesar di Indonesia dan toko buku mereka di Bandung adalah antara yang paling besar dan terlengkap!

Kami pulang ke hotel dengan kaki yang sengal dan badan yang capek. Malamnya kami tidak keluar ke mana-mana. Cukup dengan memesan dua bungkus nasi goring dari warteg di seberang jalan di hadapan hotel dan menghabiskan masa menulis catatan ini sebelum merehatkan diri untuk destinasi berikutnya esok hari.

Ke mana ya…tunggu aja donk!

Siap dicatat pada 9.39 pm,  Kamsar 137, Amaris Hotel, Jl. Chhihampelas, Bandung.

Related Post

Leave a Reply