• Sat. Jan 16th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Salam dari Bandung (2#)

Byadmin

Mar 14, 2012

Hari kedua di Bandung (26 Feb 2012)

Awal pagi seusai mendirikan solat Subuh, kami bersedia untuk bersarapan pagi. Jam 6 pagi, kafe hotel sudah tersedia untuk para tamu. Rasa gembira juga, kerana di celah-celah ramainya tamu Indonesia yang menginap di hotel ini (harus diingat, orang Jakarta juga ramai melarikan diri ke Bandung pada hujung minggu), namun ramai juga dari Malaysia, khususnya UKM. Ini kerana, hampir semua delegasi UKM yang menghadiri seminar di Institut Teknologi Bandung menginap di sini. Sambil makan, kami berbual tentang perancangan hari ini. Mau ke mana dan dengan siapa? Bagi kami, jika semalam hari pertama kami sudah menjelajahi gedung Pasar Baru, maka rencananya pada hari kedua ini, kami mahu ke Gunung Tangkuban Perahu pula.

Menu yang pasti ada di Amaris Hotel ialah, nasi goreng, mee atau kue tiaw atau bihun goreng...juga bubur nasi...

Supir kami Pak Wawan agak lambat tiba. Setelah berehat beberapa ketika, kami pun memulakan perjalanan. Jarak dari Hotel Amaris di Jalan Cihampelas ke Tangkuban Perahu tidaklah begitu jauh sebenarnya. Namun kami harus melalui jalan yang agak mendaki di samping bersaing juga dengan dengan para penunggang sepeda. Anda tahu sepeda? Ia adalah basikal. Agak menarik di sini, kerana pada hari minggu mereka banyak menunggang basikal. Bukan sekadar orang muda, orang yang sudah agak berusia juga saya lihat cekatan menunggang basikal. Mendaki jalanan yang agak berbelok-belok. Jarang saya lihat panorama seperti ini di Malaysia, hatta di Kuala Lumpur.

Sebenarnya, di samping hidup dengan industri pelancongan, baharulah saya sedar bahawa warga Bandung juga menjalankan aktiviti pertanian demi menyara kehidupan mereka. Sepanjang perjalanan kami itu juga, saya dapat melihat kawasan berbukit yang diterokai dan dijadikan kawasan pertanian. Pelbagai jenis sayuran ditanam. Maklumlah, kawasan ini dikategorikan kawasan beriklim sejuk, alah…macam kat Cameron Highlands jika di Malaysia. Namun, Cameron lebih sejuk ketimbang di sini.

Saya menyaksikan suasana kehidupan warga Bandung di luar kota. Rumah mereka, kedai mereka dan aktiviti mereka. Jika tidak salah saya, ada dua kebun strawberi yang bakal kita tempuhi sebelum sampai ke Tangkuban Perahu. Kami tidak singgah awal, kerana lebih baik singgah waktu mahu pulang nanti.

Dalam perjalanan itu, Pak Wawan berbual-bual dengan saya. Katanya, jika mendengar saya berbicara, seakan-akan seperti orang Indonesia. Katanya kira-kira…

“Kok bapak ngomongnya, kayak orang Indonesia…”

“Iya pak…mompong saya memang sering ke sini pak. Boleh dikatakan, setiap tahun, dua atau tiga kali saya ke Indonesia. Saya punya ramai teman di sini…”

Pak Wawan terus berkata:

“Jika bapak bilang, bapak ini orang Indonesia juga bisa…iya, pasti aja bukan dari tanah Jawa, namun bilang aja dari Sulawesi, Sumatera atau mana-aman aja. Asal dari Indonesia, kayaknya orang bisa percaya…”

Anda tahu, jika kita orang Indonesia, maka harga karcis (tiket) bagi memasuki Tangkuban Perahu hanyalah sebesar Rp16 ribu; tetapi jika kita wisatawan dari luar Indonesia, harganya ialah Rp50 ribu seorang. Jika anda mengaku anda orang Indonesia, bisa dapat harga murah…tetapi awas, jangan sampai tertangkap; kerana para petugas di pintu masuk bisa aja minta KTP anda…KTP ialah Kad Pengenalan.

Sesampai di perkarangan kemuncak Tangkuban Perahu, maka anda akan dapati ramai petugas merangkap penjual barangan cenderahati yang sedia menanti anda. Nasihat saya, layanlah mereka dengan seadanya. Mereka akan mengekori dan mula memberikan penerangan tanpa diminta. Bila melihat kita membawa kamera, mereka akan membantu memotretkan foto untuk kita. Mereka akan sibuk menceritakan keistimewaan Tangkuban Perahu, asal-muasal tempat ini, bagaimana namanya bisa terukir dan pelbagai kisah lagi. Kadang-kadang, asyik benar mereka mengekori kita, hingga mereka lupa sebenarnya mereka sedang berjualan.

Hakikatnya, ia bukanlah gratis atau percuma. Khidmat itu harus dibayar sewajarnya. Mungkin Rp30 ribu atau lebih. Jadi, saya mengambil langkah bijak dengan duduk setelah penat berjalan-jalan dan kala itu, saya mula tawar-menawar akan barangan cenderahati yang dijualnya. Jadi, saya tak perlu membayar atas khidmat nasihatnya yang tidaklah saya perlukan sangat, sebaliknya saya membayar barangannya untuk dibawa pulang. Saya membeli beberapa barangan dengan kos kira-kira Rp80 ribu. Jangan kaget, sebaik sahaja anda membayar harga, mereka akan terus berlalu dan habislah sesi penerangannya!

Saya dan isteri meneruskan sesi makan angin di Tangkuban Perahu dengan melewati bazaar jualan. Pelbagai bahan dijual, seperti baju, ukiran kayu dan pohon bonsai. Ada sejenis pokok yang hanya tumbuh di sini (dakwa merekalah), namanya jika tak salah ialah pohon ‘manarasa.’ Kayunya mereka jadikan bahan ukiran, manakala pucuknya kata mereka, ubat awet muda! Saya dan isteri berpeluang merasa sedikit pucuk pokok ini, rasanya biasa-biasa saja.

Puas berjalan-jalan dan berfoto sakan, kami rasa sudah cukup dan mahu pulang. Kala itu baharu saya perasan, cuaca sudah mulai berkabus. Jika semasa kami sampai tadi, keadaannya jauh lebih cerah, kini sudah redup. Mujur kami sampai awal.

Dalam perjalanan pulang, kami singgah membeli strawberi. Jangan terkejut, rasanya manis sekali! Jauh berbeda dengan strawberi di Malaysia…pelik juga saya, apa uDalam perjalanan pulang, kami singgah membeli strawberi. Jangan terkejut, rasanya manis sekali! Jauh berbeda dengan strawberi di Malaysia…pelik juga saya, apa ubat dan baja yang mereka guna? Di samping strawberi, kita juga boleh membeli buah beri atau raspberi, hitam atau merah dan rasanya manis sangat! Kami membayar Rp15 ribu untuk masuk ke kebun, jika mahu memetik sendiri buahnya, sekilo harganya Rp60 ribu. Kami juga dihidangkan jus strawberi yang begitu manis bersari. Hmmm…sedapnya. Kami tidak memetik buah sebaliknya hanya membeli dua kotak strawberi dan sekotak raspeberi dari penjaja di kawasan parkir. Dan rasanya…em…tetap manis bersari!

Masih belum tamat cerita ini. Kami mengambil keputusan untuk makan tengah hari di Kampung Daun. Sebenarnya, ia adalah sebuah kawasan rumah makan atau restoran yang begitu unik dan menarik. Dekorasinya ditata hias seiring dengan latar alam semulajadi. Pepohon rimbun meneduhkan, ada anak kali di pinggir dangau, deruan air terjun dan banyak lagi keunikannya. Memang indah dan mempersona. Fikir saya, pasti mahal makan di sini. Namun, ternyata meleset sekali fikiran saya itu, kerana harganya adalah biasa-biasa sahaja. Bahkan rasa masakannya enak dan cara dihidangkan juga amat menarik…siap diletakkan di atas dulang dan setiap menu disaji cara berasingan di dalam tempurung berukir daun!

Usai makan, hari pula hujan. Jenuh menunggu, akhirnya kami terpaksa meredah hujan menuju ke mobil. Isteri saya masih belum berpuas hati dan mahu mencari pakaiannya di mana-mana Factory Outlet. Kami kemudiannya singgah di Rumah Mode, sebuah gedung yang cukup besar dan ‘mewah’ dengan pelbagai pilihan pakaian. Dekorasinya juga amat menarik. Kolamnya jernih sekali dan ikan-ikan koi begitu jinak bermain-main di dalamnya. Aduhai…andai di rumah saya boleh dibuat seperti itu, alangkah indahnya.

Habis di Rumah Mode, hajat di hati mahu mencari CD filem dan lagu Indonesia, lalu Pak Wawan bercadang membawa kami  ke Paris Van Java, iaitu sebuah mall; namun jalannya macet amat. Kami mengalah akhirnya, dah letih dengan perjalanan yang jauh dan kemudiannya kembali ke hotel.

Related Post

Leave a Reply