• Sun. Jan 24th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Salam dari Jakarta: Kota Kejutan!

Byadmin

Jun 4, 2009

 

HARI PERTAMA: 2 Jun 2009 (KLIA – JAKARTA)

klm1

‘Umi dan Hanim di dalam pesawat’

Salam semua…saya, isteri dan anak bongsu sekarang ini sedang menghirup udara Kota Jakarta. Kota yang amat besar. Menurut kata supir teksi yang saya naiki, jumlah penduduk di kota ini mencecah 8 ke 9 juta orang. Namun, kata Pak Syarif, iaitu rakan sejawat isteri yang menginisiatifkan kolaborasi antara UKM-UI, penduduk Kota Jakarta mencecah 11 juta!

“Coba bayangkan, seluruh penduduk Semenanjung Malaysia…dimasukkan ke Jakarta!” Kata Pak Syarif.

Kami berlepas dari KLIA seputar jam 4.15 petang dengan pesawat KLM (KL0809). Penerbangan ini adalah milik Royal Dutch Airlines dan saya mampu memberikan kredit kepada penerbangan ini. Penumpang dilayan dengan baik dan makanannya enak. Kami disajikan mee goreng berlauk ayam masak merah dan juga makanan Belanda, iaitu rojak sayuran dan puding berkuah strawberry.

Kami mendarat di Lapangan Terbang Soekarna-Hatta seputar jam 5.15 petang. Urusan di pintu masuk luwes sekali. Kami disapa angin hangat Negara Indoensia ini tepat dengan iringan suara azan. Kala itu jam menunjukkan 5.48 petang dan Maghrib sudah menjengah. Rupa-rupanya, waktu di Jakarta adalah dua jam lebih cepat berbanding Kuala Lumpur dan itulah kejutan pertama buat kami.

Selanjutnya, kami dijemput oleh dua mobil…besar dan segak, iaitu Toyota Inova dan sebuah lagi jika saya tidak salah ialah jenis Mazda MPV. Masuk sahaja ke arus utama jalan raya, kami berhadapan dengan jem yang amat kritikal. Di sini, jem disebut ‘macat’ dan Kota Jakarta adalah antara kota yang amat kritikal kemacatannya. Itulah kejutan kedua. Kami juga terkejut kali ketiga, apabila dimaklumkan bahawa setiap buah kenderaan empat roda kecuali kenderaan awam, dilarang memasuki kota kecuali mempunyai dua orang penumpang, yakni bertiga bersama pemandu.

Justeru itu, sepanjang jalan menghampiri pinggir kota kami agak terkejut melihat deretan orang yang menahan kenderaan di tepinya. Kata Pak Syarif lagi, mereka menawarkan diri agar ditumpangkan oleh mana-mana pemandu, maka ia dapat mengelakkan pemandu disaman yang ongkosnya mencecah 2 juta rupiah! 

macat

‘Kota yang selalu macat…’

Kami juga terkejut menyaksikan betapa besarnya jalan raya di Kota Jakarta. Anda bayangkan, ia mempunyai lapan atau sepuluh laluan (lane). Ada yang khusus untuk bas dan ada untuk laluan bertol. Namun, kesesakannya masih berpuaka…saya tidak mampu membayangkan jika saya mesti menetap di kota ini…minta dijauhkan Allah.

Kami bermukim selama tiga malam di Crowne Plaza Hotel. Lumayan…kata orang Indonesia. Supir teksi yang saya naiki menyatakan, ini hotel mahal. Saya tidak pasti, namun anda jangan terkejut…hampir semua tempat awam dan kunjungan ramai, sama ada hotel, pusat beli-belah dan apa sahaja, mobil dan barangan milik anda akan diperiksa. Kita mesti melepasi alat pengesan logam. Namun kata Iwan, supir mobil yang kami sewa tiga hari…

“Ini hanyalah formalitas saja pak…iya…dahulukan sibuk-sibuk soal keselamatan (terrosit), maka diwajibkan…kini longgar, nanti jika terjadi apa-apa letupan…makanya baru dikerasin kembali..”

bakmi

‘Semua ahli rombongan, Pak Syarif (dihadapan saya), Danial, Prof Salman, another anak Prof Salman, wifenya dan Marul’

Makan malam pertama kami dibawa Pak Syarif ke Bakmi GM, sebuah restoran yang dianggap mahal oleh orang awam lagi marhaen di kota ini. Kami memesan menu istimewa atas cadangan Pak Syarif, iaitu Bakmi Bakso Spesial dan airnya saya order Kopi Cincau. Memang enak penganannya dan saya rasa inilah bakso paling ‘power’ pernah saya nikmati. Selepas makan, kami pulang ke hotel dalam kecapekan dan tidur…

Related Post

Leave a Reply