• Sat. Jan 16th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Salam Tahun Baharu Hijrah 1431

Byadmin

Dec 18, 2009

Tidak kita sedari, makin bertambah usia kita di atas dunia ini. Maknanya, makin dekatlah kita untuk merentasi garisan kematian. Rezeki semakin berkurang. Udara untuk dihirup juga semakin habis. Malaikat maut juga semakin ghairah mendatangi dan menelek bila ajal akan tiba. Ya…itulah antara isi ceramah saya semalam di Ibu Pejabat PTPTN Kuala Lumpur.

Menyentuh mengenai sambutan Tahun Baharu Islam, adakah kita digalakkan untuk menyambutnya atau tidak? Jika disandarkan kepada hadis-hadis Nabi Muhammad SAW, anda akan dapati bahawa pada zaman hayat Rasulullah SAW masih ada, baginda sendiri tidak pernah menyambut tahun baru Islam ini. Lagi pun, tahun baru hijrah ini hanya muncul pada zaman Khalifah Umar al-Khattab. Ia tidak lahir daripada nabi melainkan muncul selepas kewafatan nabi. Maknanya, nabi tak pernah menyambut Tahun Baru Hijrah.

Namun begitu, di sisi Islam setiap perkara yang ‘mubah’ yakni harus, maka melakukannya tidak salah. Apatah lagi jika keharusannya mampu mendekatkan diri dengan Allah SWT. Begitulah halnya dengan sambutan tahun baharu Islam ini. Kita digalakkan menyambutnya, kerana dengan menyambutnya kita akan merasa lebih dekat dengan Islam. Kita jadi teringat, bahawa di samping menggunakan Tahun Masehi, kita sebenarnya lebih patut memanfaatkan Tahun Islam.

Kenapa Umar al-Khattab memilih tahun baru Islam seiring dengan peritiswa hijrah? Ya, kerana hijrah adalah suatu titik penting dalam sejarah Islam. Ia menunjukkan, Islam adalah agama yang menuntun perubahan yang positif. Islam tidak selama-lamanya selesa dengan status quo. Islam amat meraikan anjakan yang membawa kepada kebaikan, sama ada kepada diri sendiri dan masyarakat amnya. Inilah mudahnya, falsafah di sebalik hijrah dan atas keunggulan falsafah itulah, maka Umar memilih tahun nabi berhijrah sebagai permulaan Tahun Islam.

Hari ini, majoriti negara dan umat Islam lebih selesa menggunakan kalendar Masehi. Masehi adalah kalendar yang dicipta oleh orang-orang Nasrani atau Kristian seiring dengan tarikh kelahiran Nabi Isa al-Maseh. Sebab itu mereka menyambut Hari Natal pada setiap 25 Disember, kerana ia adalah hari kelahiran Jesus, bagi pandangan mereka.

Maka, secara logiknya yang manakah lebih afdal untuk disambut oleh umat Islam? Tahun Hijrah atau Tahun Masehi. Jawapannya, sudah pastilah Tahun Hijrah. Ia bukan sekadar mengajak kita agar kembali mendekati sejarah hijrah; bahkan sepatutnya memahami roh hijrah rasulullah. Bukan senang untuk membawa Islam ke tahap yang ada hari ini, dan proses hijrah itu adalah satu anak tangga yang amat signifikan demi kelangsungan Islam.

Bagaimana menyambutnya? Inilah perkara yang menjadi pertikaian sesetengah orang. Kononnya, menyambut Tahun Baru Masehi dengan nyanyian dan bunga api segala adalah tidak syarie. Maka, saya teringat satu ketika dahulu, sambutan tahun baru masehi dan tahun baru Islam jatuh serentak. Maka, diadakan dua sambutan seiring pada malam yang sama. Di Dataran Merdeka, ratusan ribu menanti dentingan jam 12 malam dengan pelbagai acara hiburan dunia. Manakala, di Masjid Negara mereka menyambutnya dengan bacaan al-Quran, zikir dan sebagainya.

Soalan saya, betulkah cara sambutan tahun baru Islam itu? Inilah yang saya pertikaikan. Bagi saya, tiada salahnya meyambut tahun baru Islam dengan cara membuat hiburan asalkan tidak melampaui batasan. Oppsss…anda jangan terlalu stereo taip. Saya tidak katakan hiburan itu mesti ada nasyid, puisi Islami dan teater dakwah atau yang sewaktu dengannya. Semua itu memanglah nampak Islami…tapi, adakah ia benar-benar Islami?

Saya cenderung menyatakan, kita wajar menyambutnya dengan lebih terbuka. Lagu-lagu kemanusiaan dan beranasirkan keTuhanan adalah wajar. Misalnya lagu Ramli Sarip, Zainal Abidin Hijau bahkan Jaclyn Victor dengan intro Bersamamu juga…apa salahnya?

Ini kerana, Islam mengutamakan mesej. Penggunaan alat muzik juga menggamit khilaf. Maka, selagi masih ada yang membolehkannya, apa salahnya. Kita tidak mahu orang melihat Islam ini jumud dan beku, penghalang dan terlarang. Tetapi, kita mahu Islam menjadi alternatif terbaik, jalan pilihan sebagai pengemudi kehidupan bagi insan.

Ah…jikalah saya seorang PM malam tadi…nescaya sambutan tahun baru Islam pastinya berbeza…

Related Post

Leave a Reply