• Fri. Jan 22nd, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

SAMAKAH ZAKAT DAN CUKAI?

Byadmin

May 11, 2012

Soalan: saya keliru apabila ada orang yang menyatakan, zakat itu adalah sejenis cukai di dalam Islam. Benarkah pernyataan ini dan harap pihak ustaz dapat jelaskan.

Jawapan: Terima kasih kerana mahu mengajukan persoalan. Sebenarnya, pendapat yang menyatakan zakat itu adalah cukai, dilontarkan oleh mereka yang tidak memahami kefarduan zakat dalam Islam.

Bahkan tidak keterlaluan dikatakan, pandangan ini dikeluarkan oleh golongan orientalis yang sentiasa berusaha melemahkan Islam. Mereka mempelajari Islam bukan untuk mencari hidayah; tetapi berusaha mencari titik-titik kesamaran yang diharap menjadi pintu demi menunjukkan bahawa Islam bukanlah agama yang sempurna.

Sudah menjadi lumrah, cukai sering dianggap menekan. Andai kita mengiyakan pandangan bahawa zakat adalah cukai; dibimbangi maka kita akan cenderung menyatakan zakat juga menekan kehidupan.

Hakikatnya, jika kita mengkaji lebih dalam, amalan zakat dan cukai walaupun mempunyai persamaan; namun kedua-duanya amat berbeza. Zakat adalah syariat yang qatie (putus) sedangkan cukai adalah perkara ijtihadi semata-mata.

Zakat di dalam Islam bukanlah perkara baharu. Jika kita merujuk kepada al-Quran, yakni pada surah al-Qasas (ayat 76-78) dan Maryam (ayat 31), maka kita akan dapati bahawa zakat sudah pun disyariatkan oleh Allah SWT kepada kalangan umat yang terdahulu.

Maknanya ibadah zakat bukanlah rekaan Nabi Muhammad SAW yang bertujuan semata-mata mahu mengambil harta kekayaan manusia; sebaliknya ia adalah ibadah yang maksud asasinya adalah untuk melestarikan perkongsian harta sesama manusia; di samping menundukkan ketamakan dan keangkuhan manusia dalam berharta.

Hal ini adalah selari dengan fitrah manusia. Setiap orang benci kepada sifat bakhil dan tamak, maka inilah yang digagaskan disebalik amalan zakat. Fitrah juga mengajak kepada membantu sesama manusia, hal ini jugalah yang terkandung di sebalik amalan zakat. Bahkan fitrah manusia juga, apabila menerima kebaikan maka dibalas dengan mengucapkan syukur dan menghargai perbuatan baik orang lain, dan inilah juga yang disajikan di sebalik ibadah zakat.

Dalam pada itu, jika kita merujuk di dalam surah at-Taubah (ayat 75-79), maka kita akan bertemu dengan kisah yang berlaku pada zaman Nabi SAW, yang mana pada masa itu ada umat Islam yang menyamakan zakat dengan cukai.

Sebahagian mufassirin menyatakan, orang yang dimaksudkan sebagai Tsa’labah bin al-Hatib; tetapi pendapat ini dibantah oleh sebahagian fuqaha yang lain dengan pelbagai hujah, antaranya Tsa’labah adalah antara sahabat terawal memeluk Islam dan turut sama berperang dalam Perang Badar.

Mereka yang turut berperang dalam Badar al-Kubra telah mendapat jaminan syurga daripada Rasulullah SAW dan mustahillah seorang yang dijamin syurga akan melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan syariat. Maka, sebahagian ulama hanya menyatakan ‘ada seorang lelaki’ demi mengelakkan fitnah ke atas sahabat dalam keadaan kita sendiri kurang mengetahui (rujuk Eksklusif Zakat, hal. 169).

Walau bagaimanapun, apa yang jelas tindakan ‘lelaki berkenaan’ telah menimbulkan kemarahan pada Nabi SAW, bahkan orang yang melakukan tindakan sedemikian dikhabarkan telah tidak diterima zakatnya hingga ke zaman Umar al-Khattab menjadi khalifah. Orang berkenaan dikatakan meninggal dunia penuh penyesalan dan menanggung perasaan berdosa yang tidak terkira (rujuk Fizilalil Quran, jilid 7).

Mungkin ada pihak yang menyatakan, bahawa Umar r.a pada zamannya pernah mengutip cukai daripada rakyatnya. Benar, namun Umar al-Khattab r.a sebenarnya lebih mengenakan cukai kepada kalangan orang-orang kafir (khususnya kafir zimmi) yang mendiami negara Islam. Harus diingat, zaman Umar adalah zaman pembukaan wilayah baharu yang sudah pastinya menunut Umar untuk melakukan pelbagai pembaharuan dalam dasar kewangan negara demi meraikan keperluan semasa, termasuklah dalam isu cukai ini.

Jelasnya, zakat dikutip daripada orang-orang Islam dan cukai dikutip daripada orang-orang bukan Islam. Kedua-duanya untuk negara namun mempunyai sasaran yang berbeza. Zakat dimanfaatkan untuk lapan asnaf; sedangkan cukai untuk pembangunan negara secara umumnya.

Kala itu, terdapat beberapa jenis cukai yang dikenakan, iaitu jizyah yang dikenakan ke atas setiap individu non-muslim dalam negara Islam; keduanya kharaj iaitu cukai ke atas tanah yang diusahakan oleh orang-orang bukan Islam dan ketiganya ‘usyur iaitu cukai perdagangan yang dikenakan ke atas non-muslim.

Semua jenis cukai ini dikenakan dengan kadar yang berbeza-beza dan selalunya berdasarkan ijtihad khalifah dengan berpandukan keperluan semasa. Umar r.a pernah mengenakan cukai sehingga 1/10 (10 peratus).

Zakat pula dikenakan secara tetap berdasarkan pertunjuk daripada al-Quran dan as-Sunnah Rasulullah SAW, iaitu majoriti harta zakat berkadar 1/40 (2.5 peratus) dan hanya ada satu atau dua item yang berkadar 1/20 (5 peratus), 1/10 (10 peratus) dan 1/5 (20 peratus).

Kadar zakat tidak boleh diijtihadkan dan zakat juga hanya diwajibkan ke atas orang-orang yang kekayaannya melebihi paras nisab (85 gram emas). Semua ini menunjukkan zakat bukan bermaksud memberati manusia.

Kadar zakat juga adalah tetap biar pun kekayaan meningkat. Zakat pendapatan misalnya, tetap dikenakan 1/40 (2.5 peratus) biar pun seseorang itu mendapat pendapatan RM10 ribu atau RM100 ribu sebulan. Sedangkan kadar cukai selalunya berubah-ubah mengikut tahap kekayaan seseorang.

Fuqaha juga menyatakan, kutipan seakan-akan cukai hanya boleh dilakukan semasa negara dalam kegawatan dan hanya dikenakan kepada orang-orang kaya sahaja dan ia dinamakan dharibah.

Sungguh pun ada juga segelintir fuqaha yang menyatakan bahawa cukai boleh menjadi zakat dan Islam juga menerima kemasukan cukai; namun pandangan jumhur tidak sedemikian. Terdapat perbahasan yang agak panjang mengenainya dan kemasukan cukai perlu dilakukan dengan penuh hati-hati. Hal ini boleh dirujuk di dalam kitab Hukum Zakat oleh Dr. Yusuf al-Qaradawi pada halaman 1072-1101.

Kesimpulannya, zakat bukanlah sejenis cukai di dalam Islam. Ini kerana, zakat mempunyai konotasi untuk menjamin keadilan sosial ummah dan bukan semata-mata pembayaran wajib yang dikutip untuk pembangunan fizikal negara. Bahkan zakat adalah demi memperolehi dua kasih sayang, iaitu kasih sayang sesame manusia di dunia dan kasih sayang Allah di jannah. Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply