• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Saya dan buku

Byadmin

Apr 29, 2011

Dulu sewaktu saya masih kecil, emak rajin belikan majalah Bujal. Saya masih ingat watak-watak dalam majalah itu, ada watak Bujil (dengan tulisan Jawi), watak Wak Segan, Wak Sengih, Dogol dan ramai lagi yang saya sendiri dah lupa. Kala ke Pekan Lenggong…pekan kami yang kecil itulah, saya dan emak selalu menyinggah di sebuah kedai cina berhampiran Arked Mara sekarang ini, dan di situlah kami membeli majalah Bujal.

Emak memang menyemai tabiat membaca kepada saya. Pernah saya meminta emak membelikan majalah kartun, namun setelah pulang dari Pekan Lenggong emak memberikan senaskhah buku agama yang nipis kepada saya. Tajuknya jika tidak salah, sama ada mengenai solat atau akhlak rasulullah.

Meningkat usia remaja, saya makin gila membaca. Kala itu (sekitar 1980-an), Kedai Buku Mumtaz (jika tidak salah) di Pekan Lenggong menjadi tumpuan saya. Kedai itu pun kecil sahaja, buku-bukunya tidak banyak mana; tetapi saya sering ke situ dan membelek buku-buku yang ada dengan koleksi yang amat terbatas. Jika tidak salah, di situlah saya membeli buku agama yang ditulis oleh sarjana Pakistan, Abul Ala al-Maududi (tajuk saya dah lupa) dan novel Sesejuk Musim Bunga di Columbia.

Di kedai buku kecil itulah juga, saya melanggan majalah, iaitu Dewan Masyarakat. Sebelum itu, saya sempat melanggan Dewan Siswa secara terus dengan pos. Kemudian saya tidak menyambungnya lagi. Maklumlah, duit saya terbatas. Nak minta opah, kasihan pula.

Saya masih ingat, sering saya menghabiskan masa di Taman Bunga berhadapan Balai Polis Lenggong untuk menikmati majalah yang baharu saya beli. Kadangkala, majalah itu habis saya baca dari kulit ke kulit sebelum sempat tiba di rumah. Seronok membaca di situ, tiada orang datang mengganggu dan suasananya pun tenang.

Setahun sekali, DBP datang membuat pameran buku di Dewan Merdeka di pekan kami yang kecil. Saya selalu menyinggahinya; namun hanya menyimpan geram untuk membeli. Maklumlah, kuasa beli saya amat terbatas. Jenuh sesebuah buku itu saya belek dan belek lagi, nak beli fulus tak memadai. Andai saya anak orang kaya, pasti saya beli semuanya!

Ada sekali, DBP buat pesta buku di Kuala Kangsar, jika tak salah di Dewan Sekolah Clifford. Kala itu umur saya juga sudah agak meningkat, dalam tingkatan enam jika tak salah. Saya berhasrat membawa adik saya, Yati ke sana. Tetapi malangnya emak dan abah tak izinkan. Saya berhajat untuk memberikan pendedahan mengenai dunia buku kepada Yati.

Menyebut Kuala Kangsar, berdekatan stesen bas (sebelah tabung haji) ada sebuah kedai buku wakil DBP. Saya juga sering ke situ melihat buku-buku. Ada juga saya membeli sekadar yang termampu.

Pernah sewaktu di tingkatan lima atau enam, saya dah lupa, saya mengeluarkan wang beasiswa saya dan memborong pelbagai jenis buku di Pesta Buku DBP Kuala Kangsar. Ada karya Zaen Kasturi, Shahnon Ahmad dan banyak lagi. Puas hati saya dan seingat saya juga, saban malam saya menikmati buku-buku tersebut satu demi satu.

Kini, saya seronok melihat buku-buku di rumah saya yang memanjat dinding hingga ke siling. Dahulu, saya hanya mempunyai rak buku daripada buluh yang saya buat sendiri. Buku-buku saya juga dahulu diletakkan di bekas rak pinggan. Saya memang bercita-cita mempunyai koleksi peribadi. Saya mahu anak-anak saya mengerti betapa cintanya saya pada buku. Bagi saya, buku adalah teman yang paling setia, tidak pernah mengecewakan dan tidak pernah berdusta kepada kita. Buku memberikan kepuasan batini kepada saya, bukan sekadar hari ini, tetapi sampai bila-bila.

Nota: Pesta Buku Antarabangsa KL 2011 ini saya tidak membeli apa-apa buku. Wife saya berpesan, saya sudah menempah tiket kapal terbang untuk ke Pesta Buku Jakarta 2011, maka elok saya belanjakan duit saya di sana nanti.  Cukuplah anak-anak saya sahaja membeli buku. Namun, terima kasih sebab isteri saya sudi menyambung langganan Majalah I buat saya!

Related Post

Leave a Reply