• Mon. Jan 25th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Sayang Tok Guru

Byadmin

Oct 25, 2009

Jujurnya, saya amat menyenangi sosok mulia ini, Tok Guru Nik Aziz Nik Mat. Wataknya sangat sederhana. Tiada garitan kemegahan. Dia tetap dia walaupun sudah lama bersemayam di tampuk kekuasaan. Teringat saya, salah satu ungkapan hukamak bahawa, apabila manusia berkuasa, tetapi dia meletakkan dunia itu di tangan bukan di hatinya, maka itulah takrif zuhud yang sebenar. Bagi saya, TGNA menepati takrifan tadi. Hampir 20 tahun memerintah Tanah Serendah Sekebun Bunga; namun dia masih seperti ketika mula-mula menjawat jawatan penuh taklifan itu. Seolah-olah dia tidak terliur langsung dengan segala keduniaan di hadapannya. Maka, molek sangatlah dia disanjung pelbagai lapisan masyarakat, hatta para musuh politiknya pun tersungkur jatuh dan malu untuk mempertikaikan dirinya. itulah TGNA.

Saya sebenarnya juga, enggan menulis sesuatu yang bersangkut-paut dengan dunia politik – yang sejak dua menjak ini tidak sunyi riak alunnya dengan pelbagai kocakan. Biarlah para politikus negara yang berpencak-silat. Bukan pula bermaksud saya menganggap agama dan politik tidak disatukan di dalam Islam – wal’iyazubillah – menurut Pak Hamka dalam Tafsir al-Azhar-nya, jatuh kufur orang yang memisahkan agama dan politik.

Apa yang saya concern sangat-sangat, kini dunia politik sudah menjadi terlalu haru-biru. Isu Perak memanas kembali menjelang 28 Oktober ini. Isu di Selangor dengan Inkues Teoh juga mulai memijar dengan beberapa diagnosis dan hipotesis baharu. Bahkan di peringkat nasional, pelbagai parti politik dilanda demam tak sudah, jangkit berjangkit daripada satu parti ke parti yang lain. Umno yang dianggap ‘tulang belakang’ BN juga sakit, bahkan dilihat terlalu naif mempertahankan saki-baki kekuasaannya – walaupun terpaksa melakukan sesuatu yang berlawanan dengan polisi sendiri – ya, isu kemenangan calon ‘politik wang’ di Bagan Pinang.

Kita lihat sahaja apa berlaku kepada MIC, PPP dan kini MCA. PKR juga nampak sedikit bergolak. Kini PAS pula, berkocak lagi dengan isu-isu yang sememangnya menjerakan banyak pihak. Dan saya teringat bahawa, apabila PAS mengisytiharkan dirinya sebagai jamaah Islam, maka wajiblah PAS memelihara dasar-dasar Islam serta tindak-tanduknya hendaklah dalam batas-batas Islam. Ini kerana, apabila PAS gagal mencernakan semua itu dalam tindakannya, maka pastilah ia akan membawa imej yang negatif kepada Islam.

Iya…berbalik kepada saranan TGNA lewat apa yang dipaparkan dalam pelbagai media, agar suatu sentuhan baharu dicanai kembali dalam hierarki tertinggi kepimpinan PAS. Maka, saya berharap ia adalah suatu cetusan penuh jujur, luhur dan penuh ikhlas demi kebaikan Islam dan PAS. Bagi saya, PAS mesti menjadi yang terbaik di Malaysia, kerana PAS memakai nama Islam. Jika tidak, PAS adalah liabiliti kepada Islam dan perkara ini tidak sepatutnya dibiarkan berlaku, di mana-mana, pada bila-bila masa sekali pun! Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply