• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Sebuah fragmen saat diri dicempung udara menuju Jakarta

Byadmin

Nov 10, 2011

Pesawat terapung di udara. Cuaca petang baik dan nyaman. Deruman enjin pesawat gagah membawa dirinya membelah angkasa. Dari jendelanya yang kecil, aku lihat awan-gemawan bagaikan kapas yang kering. Berpintal-pintal dan gebu. Sesekali nun jauh di bawah, warna biru menguasai. Aku tahu, itu adalah lautan yang luas. Pernah juga kadang kala, ada tompokan kecil. Boleh jadi itu kapal-kapal dagang yang belayar. Sesekali juga, kelihatan tompokan pulau. Semuanya berbalam. Bosan sesekali cuba bertandang. Lalu aku hidupkan pemain audio, ada lagu yang merdu. Atau boleh sahaja aku membaca buku, buat melayan jiwa yang lara.

Para pramugari cekatan menuntasi tugasan mereka. Tisu basah yang panas segera diedar buat membasuh muka. Kemudian, kami dihidangkan makanan enak. Menunya, boleh jadi mee goreng, nasi lemak berlauk ayam atau boleh jadi seketul daging yang kental. Juga ada kuih dan buah-buhan segar. Minumannya, aku sering memilih jus epal yang agak masam. Semuanya perlu dihabiskan segera, kerana perjalanan dari KLIA ke SoeHatta tidak lama, kurang lebih sejam sahaja di udara dan aku akan tiba di tanah sunda.

Sudah kubayangkan nanti, wajah-wajah manis yang ceria menanti di pintu bandara. Juga udara panas yang membakar. Namun, kesegaran dan enaknya Teh Botol Sosro, segera menggamit selera. Terasa segarnya saat teh itu memasuki kerongkongan. Dingin sekali. Ah…nanti akan kureguk semahunya. Tidak mahal, jika dibeli daripada pedagang asongan, harganya hanya sekitar Rp3500 sahaja!

Pesawat tenang dan laju membawa aku menuju ke destinasi. Sesekali, mata ini melirik ke skrin TV di hadapan yang memaparkan ketinggian pesawat di udara, yang kadangkala mencecah ribuan kaki tingginya. Juga kulihat sempadan negara dan negeri yang dilewati. Berjejeran pesawat membelah Semenanjung Malaysia, melalui Sumatera dan langsung menjengah ke Pulau Jawa. Kian lama, kian jelas wajah Jakarta yang indah terukir di ruang mata. Tugu Monas yang menjulang, seakan-akan memanggil aku pulang mengunjunginya lagi. Juga Masjid Istiqlal yang besar. Juga rakyatnya yang melagang hidup mengamen. Indahnya!

Related Post

Leave a Reply