• Fri. Jan 22nd, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Selamat ‘beruzlah’ cikgu Azizi Hj. Abdullah

Byadmin

Aug 22, 2011

 

Tahun-tahun 1980-an, ‘Seorang Tua Di Kaki Gunung’ melonjak naik namanya. Lalu, sedari bocah saya sudah kenali penulis ini lalu menginjak usia remaja, lebih terinspirasi dengan ketekunan beliau berkarya. Saya membaca pelbagai tajuk, ‘Kawin-kawin’ menggeletek hati tetapi juga membancuh jiwa; saya juga meneliti ‘Sangheeta’, kisah duka dua manusia tua dalam kepikunan nan lara. Saya juga melewati ‘Kuras-kuras Kreatif’ lalu menyelami gejolak rasa seorang penulis dalam menuntasi kreativitinya. Lalu, sekalung al-fatihah buat Almarhum Cikgu Azizi Hj. Abdullah, seorang lelaki yang berani, berterus-terang dan garang menyampaikan buah fikirnya.

Pernah beberapa kali saya tersua barangkali, acapnya dalam diskusi buku dan beliau menjadi seorang panelis yang lincah. Bertubuh kecil tidak sekali-kali menjadi penghalang buat beliau membuncah pelbagai ide dan pandangan, khususnya dalam keserabutan dan dilema dunia penulisan. Masih saya ingat beliau menyanggahi ide dan pendekatan Puan Ainon Mohamad dari PTS Publication, lewat satu seminar di Akademi Seni Negara (Aswara) yang jika tidak khilaf saya berlaku seputar awal 2009. Kala itu, Puan Ainon bertegas, sesebuah karya penulis mesti atau sewajarnya memenuhi piawaian syarikat penerbitan, penulis mesti mematuhi beberapa kriteria dan saya akur, PTS memang memperkenalkan suatu konsep penulisan berasaskan penceritaan Nabi Yusuf a.s di dalam al-Quran.

Menjelang pidatonya, Almarhum Cikgu Azizi bingkas memangkas ide ini. Dengan tangguh dia membilang kepada audiens, mana perginya kreativiti dan jati diri sesebuah karya dan penulisnya, jika apa yang disajikan lebih memenuhi selera sang penerbit. Bagi beliau, penulis berhak menyinggung apa sahaja dan apa yang dipaparkan dalam karyanya, itulah diri penulis yang sebenar. Jika sudah perlu membuntuti pelbagai peraturan, maka ide yang dituang tidak lagi original dan ia adalah penyesuaian dalam berkarya.

Hujahnya tegas, berani dan tandas sekali. Audiens menghadiahkan tepukan buat beliau. Secara nalar dan jujur, saya akui bahawa pengkarya adalah manusia bebas yang kaya ide. Mana bisa mereka dikawal dengan pelbagai kaedah. Namun, kebebasan itu juga pasti ada limitasinya; dan saya akui bahawa Almarhum dalam menghasilkan karya, semuanya berpaksi kepada realiti, berinjak di bumi nyata dan lebih tepat, memberikan ketukan minda yang tidak sedikit buat khalayak pembacanya.

Lalu, kala saya terbaca khabar pemergiannya, hati sedikit terpagut sendu, justeru terkenang betapa Malaysia kian ketandusan para sasterawan yang gemilang dan tancap pandangan dan berani menyerang serta tidak lokek menyuguhkan saranan. Malaysia yang matang, hakikatnya amat memerlukan seorang penulis seperti Almarhum Cikgu Azizi, yang berterus-terang memberikan koreksi. Malaysia yang matang tidak boleh dibobokan dengan tulisan serta karya muluk-muluk, yang menutup kekalutan masyarakat bawahan yang gelandangan.

Sepotong al-Fatehah sebagai hadiah. Moga pemergian beliau di dalam bulan Ramadan yang berkah, mendapat inayah daripada Allah SWT. Lalu ditempati dia di sisi hamba-hamba yang soleh dan solehah, dapat pula mencicipi madu amal di alam barzakh, dapat juga bersimpuh di sisi para solehin, siddiqin dan syuhada, dalam sabar menanti kerumunan Nabi Muhammad SAW di jannah. Amin.

Related Post

Leave a Reply