• Tue. Jan 19th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Sembang Duit Raya Anak

Byadmin

Sep 17, 2010
Duit raya anak-anak jangan disesiakan dengan perkara yang tidak mendatangkan kebaikan.

Oleh: Ust. Hamizul Abdul Hamid (LZS)

Nota: Artikel ini disediakan untuk MIDI

Musim ziarah menziarahi sempena Syawal masih berlangsung. Rumah terbuka sentiasa menanti. Ketupat, rendang, lemang, dodol dan segala macam kuih masih setia menjadi juadah. Tidak lupa, pastinya ada sampul duit raya yang menanti.

Anak-anak hari ini beruntung berbanding anak-anak zaman dahulu. Jika dahulu kanak-kanak hanya diberikan beberapa puluh sen sahaja selepas mengunjungi rumah-rumah jiran-tetangga; hari ini sudah berubah menjadi seringgit dua. Jika dahulu, ibu dan ayah sekadar memberikan beberapa ringgit sebagai hadiah kerana berpuasa penuh, hari ini ada yang mencecah RM50 bahkan RM100 kerana berpuasa penuh.

Perubahan zaman seiring berubahnya keadaan. Misalnya, dahulu penulis membesar dalam lingkungan kampung yang daif. Kejiranan yang kerjanya menjadi penoreh getah. Berbanding hari ini, anak-anak kita dikelilingi oleh orang berjawatan tetap bergaji ribuan ringgit. Apalah sangat menghulur seringgit dua kepada anak-anak. Tidak peliklah, anak-anak hari ini mampu mengumpul hingga ratusan ringgit duit raya.

Duit raya itu duit mereka. Jika diikutkan, mereka berhak menggunakannya semahu mungkin. Dahulu, penulis membelanjakan duit raya antaranya dengan membeli mainan. Kadang-kala ibu bapa kita sering beralasan untuk membelikan sesuatu, maka saat duit penuh di saku, kita belilah sendiri.

Maka, inilah perkara yang perlu diberikan perhatian. Zaman penulis kecil-kecil dahulu, paling berani mungkin penulis dan kawan-kawan akan membeli pistol mainan dan membeli makanan ringan. Namun, hari ini sudah ada 1001 pilihan. Pusat beli-belah nan indah tersergam gagah. Di dalamnya penuh seribu agenda. Dari kedai makan, pusat permainan, panggung wayang membawa ke siber kafe.

Kepelbagaian pilihan ini sering kali menarik perhatian anak-anak zaman kini. Dengan ratusan ringgit di tangan sendiri, mereka boleh menikmati pelbagai keseronokan tanpa henti dan harus diingat, tidak pula perlu meminta wang daripada ibu bapa. Yakinlah, ibu bapa mana akan mudah-mudah membiarkan anaknya bersantai-santai di pusat beli-belah.

Ingatlah, duit raya umumnya duit sedekah. Ia adalah hasil titik peluh orang lain. Jika di kampung, nilai 50 sen itu amat besar maknanya bagi seorang penoreh getah dan pesawah mahu pun nelayan kecil-kecilan. Tulang empat kerat dibanting pagi ke petang demi beberapa ringgit. Tiba raya, para pembanting tulang ini sanggup mengenepikan sedikit rezeki mereka demi anak-anak kecil. Bukankah besar ertinya itu.

Maka, duit sedekah ini sebenarnya mulia. Biar pun anak-anak kita mungkin menerimanya daripada seorang pegawai besar di bandar, ia tetap sedekah. Ia adalah wang yang diperolehi menerusi jalan pekerjaan. Ia wang halal dan penuh keberkatan, harapnyalah. Kemudian, wang itulah yang dihulurkan di dalam sampul buat anak-anak.

Sebagai ibu bapa, maka tanamlah kesedaran bahawa wang itu mulia sumbernya. Wang itu adalah amanah Allah kepada mereka – anak-anak kita. Wang yang sepatutnya tidak dibazirkan tanpa tentu hala tujuannya. Wang yang sepatutnya dijana demi kebaikan mereka – membeli buku misalnya.

Anak-anak kita adalah rebung yang sedang naik. Kitalah, sebagai ibu bapa yang sepatutnya memberikan langkah dan pedoman. Kemana hala tuju duit raya mereka. Bawa mereka ke bank atau tabung haji, bukakan akaun untuk mereka. Semat dalam dada mereka, menabung itu arahan nabi agar mereka tidak menyesal kemudian nanti.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Allah memberikan rahmat kepada seseorang yang berusaha mencari harta dengan jalan yang halal dan membelanjakannya dengan cara sederhana dan berhemat dan menabung kelebihannya untuk hari susah dan hajatnya,” (Riwayat al-Ibn an-Najjar)

Ataupun, kita boleh sahaja membawa mereka ke kedai buku, biar mereka belanjakan duit raya itu kepada bahan bacaan yang bermutu. Membeli buku amalan mulia, membacanya menambah daya. Dari situ mereka sedar, buku yang mulia itu dibeli dengan wang yang mulia, pasti sahaja jauh lebih besar manfaatnya. Manfaat kepada mereka, juga kepada orang yang telah menyedekahkan duit itu kepada mereka. Pahalanya berkembang, insya-Allah.

Akhirul kalam, anak-anak adalah insan paling ceria dengan hari raya, justeru kerana adanya duit raya. Suburkanlah keceriaan mereka dengan pesanan, bahawa mereka harus bersyukur atas nikmat Allah itu. Tetapi, pesani mereka sepenuh hati, bahawa tidak semua orang mampu memberi. Ini penting, agar si kecil kita tidak terlepas bicara di rumah jiran yang mungkin sedang kesempitan. Bak pepatah lama, orang memberi kita merasa. Ia hanya sedekah di hari raya, jangan sampai memaksa-maksa. Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply