• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Serulah daripada hati

Byadmin

Feb 10, 2010

Hati yang baik dan penuh ketulusan membuat seruan, insya-Allah mampu menundukkan hati orang yang diseru. Serulah daripada hati,  di situ ada cinta sejati!

Dr Lukman Abdul Mutalib, dosen saya di dalam Kursus Diploma Syariah di UM ada berpesan: “Dalam usaha dakwah, tumpulah kepada hati. Apabila hati dapat ditundukkan, maka seluruh tubuh dapat ditawan.” Maka teringat saya pada salah satu kuliah fiqh seerah yang pernah saya ikuti sekitar 10 tahun silam di Surau an-Nur, Bandar Baru Bangi saat masih menuntut di UKM, isinya kira-kira seperti berikut: “Rasulullah SAW sanggup mengandar air perigi demi membantu Bilal bin Rabah. Tindakan nabi menyebabkan Bilal terfikir, pasti ada sesuatu yang Muhammad mahu. Rupa-rupanya Muhammad mahukan Bilal menjadi pengikutnya, memeluk Islam bersama-sama. Itulah uniknya dakwah nabi.” Ingat lagi saya, kala itu yang menyampaikan kuliah ialah Ustaz Salahuddin Nasir.

Memang, hati adalah raja. Rasul SAW menyabdakan: “Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging. Apabila daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota. Dan apabila daging itu rosak, maka rosaklah seluruh anggota, ketahuilah itulah hati,” (Hadith riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Imam al-Ghazali dalam mengungkap perihal hati menyatakan, apabila hati itu raja maka para bala tenteranya ialah seluruh anggota manusia. Raja yang baik maka akan mengarahkan segala yang baik-baik kepada tenteranya. Demikian pulalah sebaliknya.

Hati yang baik dan penuh ketulusan dalam membuat seruan, maka insya-Allah akan mampu menundukkan hati orang yang diseru. Inilah cabaran bagi mereka yang mahu menjadi pendakwah. Berdakwah dari hati, bukannya dari minda semata. Minda adalah tempat berfikir, mencerna dan mentadbir. Kata pemutus adalah hati. Putih kata hati, minda terpaksa menurut walau adakalanya minda tidak merestuinya. Mudah sahaja, adakalanya minda kita merungut kerana harus bagun pagi untuk solat Subuh; namun hati yang tunduk dan kusyuk kepada Allah SWT memerintahkan, maka akal dan minda tiada upaya melainkan menurut. Itulah kuasanya hati.

Hati yang bersih ialah hati yang selalu dibersihkan. Itulah namanya penyucian jiwa (tazkiyatun nafs). Salah seorang kenalan lama saya di kampung, akan mencuri-curi masanya untuk bersuluk. Saya bertanya, suluk itu apa? Katanya, dia akan menyendiri di suatu tempat untuk beribadat. Sekali dalam sebulan sudah memadai. Apa yang saya dapati daripadanya, ialah sekeping wajah yang kudus, penuh kejernihan dan ada aura keimanan. Saya tidak pernah bersuluk, tetapi saya pernah merasainya.

“…makin lama hati makin terpikat. Makin lama hati makin terjerat. Dari jauh semakin dekat. Kasih menjadi rindu. Sayang menjadi sendu. Itulah aura hati.”

Bila? Ya, saat saya menyisihkan diri daripada kelaghaan duniawi. Dahulu, saya sering mengikuti pengajian agama, mencari barakah tuan-tuan guru di pondok, menadah kitab-kitab kuning, misalnya cuba memahami isi al-Hikam dan sebagainya. Di sana, kita disajikan kehidupan dunia yang sangat sederhana. Rumah allahyarham tuan guru saya al-Fadhil Fakih Sideq, alahai…tiada langsung nuansa kemegahan. Hanya pondok berdinding separuh bertikar mengkuang dan dihiasi timbunan kitab yang menjadi temannya. Sebenarnya, melalui suasana seperti ini menjernihkan hati. Saya amat terkesan dan larut di dalamnya. Terasa dunia ini amat sementara dan kita tidak perlu bersungguh mengumpul harta melainkan ia dijadikan wahana bekalan ke akhirat sana.

Allahyarham Fakih Sideq guru saya, orangnya biasa sahaja. Namun, anak muridnya ramai di merata-rata. Saat mulai mengenal sosok tubuh mulia itu, tiada yang istimewa. Namun, makin lama hati makin terpikat. Makin lama hati makin terjerat. Dari jauh semakin dekat. Kasih menjadi rindu. Sayang menjadi sendu. Itulah aura hati. Saya yakin, gemulah tuan guru saya itu menyampaikan ilmu daripada hatinya. Ilmu yang ditumpahkannya penuh ikhlas, bukan mengharapkan ganjaran duniawi. Saya yakin kerana saya melihat sendiri kesederhanaan kehidupannya. Sebuah rumah yang layak dipanggil pondok sahaja…bertangga kayu yang amat sederhana. Tidak mampu untuk diisi dengan set sofa segala…maka, apalah baginya isi dunia ini jika memang beliau memilih kesederhanaan sedemikian rupa.

Alahai hati…hari ini, saat mulut berbicara tentang harta, tentang kematian dan tentang apa sahaja…adakah ia terbit daripada hati. Jikalah ditakdirkan, Bilal mendengarnya daripada mulut kita tentang Islam…adakah hatinya akan tersentuh lantas terkesima dengan dua kalimah syahadah? Inilah maudhuknya…yang wajar kita renungi bersama. Serulah daripada hati, kerana di situ ada cinta sejati!

Related Post

Leave a Reply