• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Sibuk rupanya jadi pengarang

Byadmin

Jan 11, 2010

Cita-cita saya untuk menjadi pengarang sudah lama. Sejak tahun 2006 lagi, sudah ada penerbit yang berura-ura mahu menerbitkan buku saya. Hati saya gembira; tetapi prosesnya tidaklah semudah yang disangka. Sebuah buku saya yang dihantar ke sebuah penerbit, tidak dapat diterbitkan kerana pihak pemasarannya tidak berani mengambil risiko. Ia adalah sebuah novel auto-biografi ala-ala Pak Shahnon. Pihak editor pula memang minat dengan buku itu; namun terpaksa mengalah kepada pihak pemasaran. Buku itu tidak tercetak hingga kini…

Buku kedua saya bertajuk ‘Setegar Gandarusi’, ia adalah buku mengenai perjuangan bahasa. Saya terpengaruh dengan gaya Faisal Tehrani dan Pak Arena Wati dalam menghasilkannya. Lama buku itu tersadai…benar, sukar sebenarnya menuntaskan sesebuah penulisan. Nak-nak lagi orang seperti saya yang menulis hanya untuk santai…saya akui, tanpa dead line daripada editor atau penerbit, saya jadi ralit… maka novel itu hanya kembali panas di papan kekunci lap-top saya apabila isu bahasa meletus lagi akhir-akhir tahun 2007 dahulu. Ia sudah 90 peratus siap…sudah dibaca oleh isteri saya dan hanya perlu diberikan penambah baikan di sini sana…tapi itulah…saya terfikir, penerbit manakah yang mahu menerbitkan novel yang bercorak ‘berat’ seperti itu?

Saya juga pernah berdikusi secara serius dengan seorang editor daripada syarikat penerbit terkenal negara, saya mengusulkan sebuah buku mengenai kisah-kisah benar para asnaf zakat. Beliau tertarik dan katanya, buku-buku seperti itu memang mendapat sambutan di pasaran. Lantas beliau meminta saya membuat sehingga tiga jilid…aduhai…satu jilid sahaja sudah menjerakan…akhirnya saya mengalah dengan penerbit berkenaan. Namun saya gagahi juga menyudahi senaskhah buku berkenaan yang saya berikan tajuk ‘Diari Seorang Amil’ dan saya titipkan kepada satu penerbit. Nampaknya mereka berminat…namun janji mereka untuk menghubungi saya kembali tinggal janji sahaja…

Entah apa rezeki saya, Galeri Ilmu Sdn Bhd pula berminat untuk menerbitkan sebuah buku semacam ensaiklopedia yang memuatkan serba-serbi mengenai zakat. Saya diminta menyediakan proposal yang akan disuakan kepada pihak DBP, justeru GISB menerima dana daripada DBP. Alhamdulillah, usulan buku itu diterima oleh DBP dan kini, saya bertungkus-lumus siang dan malam menyiapkannya…

Inilah catatan sedikit-sebanyak dalam kehidupan seorang pengarang…sibuk juga rupanya menjadi pengarang, berkerja dengan dead line dan berkejar dengan masa. Tapi bagi saya, dead line itulah motivasi buat saya menulis dan mengetik hingga ke penamatnya…insya-Allah.

Related Post

Leave a Reply