• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Sibuk sikit jer…

Byadmin

Jun 9, 2011

ZIKRA

Manakala, program Ziarah Korporat dan Media Bersama Asnaf  (ZIKRA) juga telah berjalan dengan selamat dan jayanya pada 7 Jun 2011 kelmarin. Syukur ramai teman di LZS yang ringan tulang membantu. Syukur juga kerana ZIKRA kali ini mendapat penyertaan teramai, kira-kira 100 orang dengan dua buah bas turut disediakan. Kami telah melewati beberapa lokasi, antaranya mengenali Akademi Zakat Selangor dan Pusat Latihan Asnaf, menziarahi Pusat Dialisis MAIS, menjengah ke Baitul Hasanah di Klang, ke sebuah rumah asnaf yang baharu sahaja siap dibina di Kg. Perepat dan destinasi akhir kami ialah Pangsapuri Barakah di Subang Bestari. Banyak catatan menarik sebenarnya yang insya-Allah, bakal disiarkan oleh pihak media yang telah turut sama menyertai program ini.

BUKU

Beberapa hari kebelakangan ini, masa saya dicuri dengan beberapa keperluan. Alhamdulillah, manuskrip buku ‘Zakat Terapi Kekayaan’ telah pun sampai ke tangan penerbit, iaitu Karya Bestari dan kini dalam proses lay-out. Menurut kata penerbit dan editor, mereka sasarkan buku saya itu bakal menemui pembaca sebelum Ramadan, yakni bulan Julai ini. Pagi tadi, saya ambil cuti untuk proses shooting bagi menyiapkan kulit buku berkenaan. Letih juga rupanya proses shooting ni. Nampak kulit buku yang menarik dengan foto penulis yang santai, macam senang je ambil gambar. Rupa-rupanya, banyak juga karenahnya. Apa-apa pun, syukran Kak Wan Rohana, Nadirah, Faizal dan Abang Jazmin yang bertungkus-lumus memastikan foto yang diambil menarik.

TURKI

Abang ipar saya, Hj. Jiwa Rasa dan familinya baharu sahaja menjelajah ke Turki. Teruja rasanya menyaksikan beberapa keping foto lewat titipan FB mereka. Kata beliau, Turki kini sedang dilanda demam pilihanraya. Saya berharap, iklim politik di sana lebih selesa dan nyaman ketimbang Malaysia. Sebenarnya, Turki termasuk ke dalam senarai negara yang menjadi mimpi saya untuk didatangi. Apatah lagi mengenangkan jasad Muhammad al-Fateh bersemadi di sana. Entah bila agaknya saya mampu menatih kaki ke bumi dua benua itu dan mencicipi aroma Masjid Biru dan Aya Sophea serta memesrai karya-karya ar-Rumi-nya..

MAT SABU

Mohamad Sabu menang Timbalan Presiden. Secara peribadi, saya tidak mengenali beliau. Tetapi, acap juga saya ketemu beliau dan rakan-rakannya semasa menyantap di Restoran Haslam Jalan Pahang. Pernah juga saya berpapasan dengan beliau kala di LCCT waktu Subuh dini. Saya mahu ke Sabah dan beliau…entahlah, gayanya mungkin ke destinasi lain. Beliau amat biasa. Mengenakan kemeja lengan pendek dan membawa sebuah beg. Untuk bertegur sapa, saya tiada idea. Hanya sekadar memberi senyuman, lagi pun beliau adalah pemidato terkemuka yang wajahnya popular satu Malaysia. Siapalah saya berbanding dirinya kan….apa yang penting, saya harap beliau menanggulangi amanah penuh visi demi Islam lestari!

Related Post

Leave a Reply