• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Sifat ‘Mukhalafah’ bagi Allah

Byadmin

Feb 17, 2010
Pendidikan paling awal yang perlu diberikan kepada anak-anak kita ialah Mengenal Allah SWT: Tuhan mereka dan Tuhan kita!

Mukhalafatuhu ta’ala lil hawadis, ertinya ‘Wajib bagi Allah Ta’ala itu bersalahan Dia dengan segala yang baharu.’ Bersalahan maknanya berbeza ataupun tidak sama. Apabila Allah SWT bersifat dengan sifat ini, ia adalah suatu sifat kesempurnaan bagi-Nya. Ini kerana, sebagai Tuhan, maka tiadanya persamaan dengan seluruh yang baharu itu adalah pertanda Allah SWT itu Tuhan yang sebenar-benarnya. Mana mungkin Tuhan atau Allah itu sama seperti makhluk, yakni mempunyai mata, telinga, tangan dan kaki yang sama seperti makhluk (yakni sama pada sifat), atau berwarna – hijau, merah dan biru misalnya (‘arad), atau perlu mengambil ruang seperti mana sebuah kereta atau rumah (jirim) atau tidur dan makan dan berkahwin (sama pada af’al).

Teringat satu waktu dahulu kala saya masih remaja, saat beriktikaf di Masjid Banggol Belimbing, saya suka menggeledah kitab-kitab dan majalah yang ada. Saya terjumpa sebuah buku mengenai Syeikh Abdul Qadir al-Jailani, penghulu segala wali Allah.

Ada kisah menarik tentang beliau dan juga sifat Allah SWT yang saya sedang bahaskan ini. Pernah satu hari, dalam musafir beliau di padang pasir, dalam keadaan terlalu letih dan dahaga, tiba-tiba diri beliau dikelilingi oleh sesuatu seakan kabus atau awan-gemawan yang sangat bersih. Tiba-tiba, daripada awan-gemawan dan kabus itu terdengar satu suara: “Wahai Abdul Qadir, aku ini Allah…oleh kerana kamu telah menjalani kehidupan yang sangat dekat dengan Aku, maka Aku angkat darjat kamu ke maqam yang tertinggi. Dan pada hari ini, telah Aku halalkan segala yang haram sebelum dari ini.”

Syeikh Abdul Qadir terkesima. Namun, di kala itu, di waktu beliau sendiri dalam keadaan keliru, beliau teringat kembali kepada salah satu sifat yang wajib bagi Allah SWT, iaitu ‘Mukhalafah’. Lantas beliau berkata: “Celaka kamu wahai Iblis laknatullah, sesungguhnya Maha Suci Allah daripada hadir Dia dalam keadaan yang sama seperti makhluk yang baharu…”

Maka, menjeritlah si iblis di atas kekalahannya memperdayakan seorang wali yang disifatkan kakinya berada di atas para bahu para wali Allah yang lain.

Kesimpulannya, inilah keutamaan sifat Allah Ta’ala ini dipelajari dan difahami. Ia bukan sekadar dihafal, tapi lebih penting reti dan tahu untuk diaplikasikan dalam kehidupan. Tiada satu apa pun yang menyerupai Allah yang Maha Agung, andai ia hadir di hadapan mata kita – walau dalam keadaan yang amat istimewa sekali pun – ia tetap makhluk yang dijadikan Allah, yang dikenali sebagai alam yang baharu sifatnya, wajib binasa dan tiada kekal akan dia! Wallahua’lam.

Nota: Teringat kembali kepada Allahyarham Pak Ngah Wahin, guru saya yang mula-mula sekali mendedahkan saya tentang sifat 20. Moga rohnya dicucuri rahmat Allah dan bahagia di sisi-Nya, amin.

Related Post

Leave a Reply