• Sat. Jan 16th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Siri sahabat nabi: Anas bin Malik si cilik kekasih nabi

Byadmin

Mar 1, 2010

Jika kita suka membaca dan mengkaji hadis-hadis Nabi SAW, maka antara nama yang sering kita jumpai sebagai perawi utama hadis ialah Anas bin Malik r.a. Anas dikatakan telah meriwayatkan sebanyak 1286 buah hadis. Banyakkan? Jadi, siapakah Anas ini?

Nama sebenar beliau ialah Anas bin Malik al-Ansori, bapanya Malik bin Nadr dan ibunya dikenali sebagai Ummu Sulaim. Ummu Sulaim menyahut seruan keimanan yang dilaungkan oleh nabi sedang Malik bin Nadr kekal dalam kekufuran. Ummu Sulaim adalah ibu yang miskin dan mereka tergolong dalam kelompok Ansar di Madinah.

Setibanya Sang Nabi ke Madinah, ramai penduduk di sana menyambutnya dengan penuh gembira. Tanda meraikan kedatangan itu, mereka memberikan hadiah kepada nabi. Tapi, Ummu Sulaim yang miskin tidak punya apa-apa melainkan seorang anak lelaki yang sangat dikasihi – Anas. Lalu, dengan penuh pengharapan Ummu Sulaim menitipkan Anas ke haribaan Rasulullah. Itulah harta dan hadiah termahal yang mampu dititipkan oleh wanita miskin sepertinya.

Di sisi rasul, baginda yang kala itu sudah berusia 55 tahun dengan senang hati menerima kehadiran seorang anak lelaki semuda 10 tahun. Anas dilayan bagai anak sendiri, sementelah Rasul sendiri amat gemar menyantuni mereka yang miskin dan daif kehidupannya. Pada Anas nabi tumpahkan kasih dan sayang sehingga melimpahlah relung-relung hati Anas dengan kasih sayang Rasulullah.

Anas membesar sebagai seorang anak yang berkhidmat kepada nabi. Mungkin ada yang menyangka, Anas adalah khadamnya nabi; hakikatnya Anas adalah pembantu nabi yang dikasihi. Hampir 10 tahun, yakni sehingga usia Anas menjejak 20 tahun, Anas mengakui tidak pernah walau sekali sang nabi membentaknya keras dan bersuara cengih mengarah itu dan ini.

Anas ibarat anak didik nabi yang dicempungnya penuh kasih-sayang. Anas diiktiraf sahabat yang akrab akhirnya, justeru beliau adalah insan yang dekat dengan rasul. Rumah nabi adalah rumah beliau. Masjid nabi adalah tempat permainan beliau. Maka, tidak peliklah Nabi Muhammad SAW mendoakan Anas dan semuanya dikabulkan Allah SWT.  Pertamanya, diminta agar Anas panjang umurnya, maka umur Anas dikatakan mencecah 104 tahun ; kedua dikurniakan rezeki yang berkat dan Anas memang kaya dan melimpah rezekinya dan ketiga, diberikan zuriat keturunan yang ramai dan Anas memang punya ramai anak (ada yang menyatakan seramai 120 orang) yang kebanyakannya menetap di Basrah.

Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply