• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

SPA AL-KHAUTSAR KEBANGGAAN FAUZIAH

Byadmin

Jul 16, 2012

“Ustaz, datanglah ke kedai saya yang baru. Sekarang saya sudah berpindah ke tempat lain.” Saya menerima panggilan daripada Fauziah Masutan, 38, seorang usahawan wanita asnaf zakat yang membina perniagaan SPA dan kecantikan.

Lantas, demi memenuhi tanggung jawab seorang amil bagi melihat sendiri kegigihan seorang asnaf zakat, penulis pun menetapkan tarikh dan masa bagi mengunjungi premis baharu milik Fauziah.

Benar, SPA dan pusat kecantikan yang dimilikinya kini sudah jauh berubah wajah, sudah begitu berbeza dengan apa yang penulis saksikan kira-kira tiga tahun sudah. Apa yang lebih mengesankan, kehadiran penulis disambut bukan sekadar dengan sebuah senyuman; tetapi juga dengan iringan alunan zikir dan bacaan al-Quran yang menenangkan perasaan.

Inilah SPA Al-Khautsar milik Fauziah, yang dibangunkan demi mengetengahkan konsep SPA Islami. Jarang bagi kita menikmati nuansa seperti ini, aurat dan pergaulan dijaga, bahkan kala suami menghantar isteri mendapatkan rawatan, disediakan mini kafe dan bahan bacaan buat mengisi waktu terluang.

Sebenarnya, kisah kejayaan Fauziah membuka SPA dan pusat kecantikan ini telah pun penulis kongsikan, lewat ruangan Jejak Asnaf ini pada penghujung tahun 2009. Namun, masa yang berlalu menyaksikan peningkatan kepada perniagaan yang diceburinya, juga kisah kegigihan setelah dilanda musibah. Ia sesuatu yang wajar dikongsi, demi memotivasikan orang lain mencipta kejayaan yang sama.

“Sebenarnya, saya berpindah ke sini ada kisahnya. Sewaktu berniaga di kedai lama, perniagaan saya maju dan berkembang. Saya dan anak-anak sudah pun merancang membuka restoran di sebelah SPA berkenaan. Malangnya, saya ditimpa musibah. Habis segala kelengkapan di dalam kedai saya rosak, gara-gara paip pembentungan pecah. Memang jerih ustaz. Hampir putus semangat saya.

“Namun, saya tidak mahu mengaku kalah. Sekali saya melangkah, pantang undur apatah menyerah. Biarlah diuji, saya tahu Allah sentiasa akan membantu dan memberi, selagi saya terus gagah berlari. Bagi saya, selagi perniagaan itu halal, insya-Allah keberkatan akan tetap mengiringi. Maka, berbekalkan keazaman itulah, saya dan anak-anak sambil dibantu suami, membina kembali perniagaan ini di sini.” Demikianlah Fauziah berkongsi kisah.

Sekilas buat mengenang kisah silam, lebih 18 tahun lalu, Fauziah hidup sebagai orang yang amat susah. Menyewa di rumah sewa yang murah, berjalan kaki kerana tidak mampu membayar tambang bas, pernah merayu demi menangguh bayaran sewa dan banyak lagi kisah yang meruntun jiwa. Semuanya beliau lalui dengan sabar dan tabah; tidak pula mengemis ke sana-sini meraih simpati tanpa arah.

Penulis tidak akan melupakan, Fauziah pernah bercerita: “Saya harus berjalan kaki pergi dan balik ke kedai makan sejauh empat kilometer dengan mengheret tanak-anak, kerana untuk menaiki bas, kami tidak mampu membayar tambangnya. Setelah lama mengumpul duit, barulah saya mampu membeli basikal.”

Siapa menduga, beliau yang pernah melalui garis-garis pedih kehidupan, berkahwin dan berpisah, membesarkan empat orang anak sendirian sebelum akhirnya mendirikan kembali sebuah perkahwinan; namun di celah-celah kegetiran itulah, berbekalkan bantuan zakat oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS), beliau bertatih merencanakan takah-takah perubahan. Apa yang pasti, Fauziah memang merupakan jenis orang yang pro-aktif.

Pada tahun 2005, setelah berpindah dari Sungai Panjang ke Selayang, LZS yang berjaya mengesani kesungguhan beliau untuk berniaga, telah menawarkan bantuan modal perniagaan berjumlah lebih RM20 ribu. Fauziah segera merebutnya, tanpa lengah.

Ternyata, bakat dan kebolehan mengurut anugerah Allah SWT kepadanya tidak dipersiakan. Bahkan, itulah yang menjadi tarikan ramai pengunjung ke kedainya, walaupun para pelanggannya hanya terbatas kepada kaum wanita sahaja.

Penulis masih ingat, sekitar tahun 2008 dan 2009, kala itu di sebuah premis yang serba sederhana di Selayang, beliau bertatih membuka sebuah pusat kecantikan. Satu bidang yang amat jarang diceburi oleh asnaf zakat. Unik dan berbakat.

Dan, itu kisah satu waktu dahulu, kerana pada hari ini beliau sudah mampu membuka sebuah pusat kecantikan yang lebih indah dan lengkap di Bandar Sri Gombak. Di sebuah kawasan perniagaan yang menjanjikan pulangan yang lebih lumayan.

Apa yang lebih membanggakan, kini beliau bukan sekadar membuka sebuah SPA kecantikan yang bernuansakan keislaman, bahkan Fauziah turut menerokai perniagaan kafetaria dan juga menubuhkan kelas pengajian Bahasa Arab dan al-Quran.

“Ini adalah cita-cita saya sejak sekian lama. Saya mahu mengajak masyarakat kenal Allah dan cintakan Islam. Jika selama ini, SPA sering dianggap tempat yang kurang baik, maka saya buktikan sebaliknya. Ia tergantung kepada cara kita mengolah SPA itu sendiri sebenarnya.

“Bahkan, dengan tertubuhnya kafetaria ini, saya dan anak-anak dapat mengembangkan perniagaan. Bahkan, saya juga membuka kelas pengajian agama dan al-Quran dengan bantuan guru-guru agama bertauliah daripada Jabatan Agama Islam Selangor. Semua ini, mudah-mudahan menjadi bekalan buat saya ke akhirat.” Tuntas Fauziah penuh hormat.

Nota: SPA Al-Khautsar menawarkan rawatan muka, solekan wajah, manikur, padikur, lulur, sauna infra merah, sauna herba, mandi bunga, mandi susu, mandi rempah, mandi ais dan wap, mandi garam, urutan badan dan banyak lagi dengan pakej dan harga yang amat berpatutan dan boleh dikunjungi di No. 1-78, Jalan Prima SG-3, Prima Sri Gombak, 68100 Batu Caves, Selangor atau dihubungi di talian 012-3215748.

Related Post

Leave a Reply