• Fri. Jan 22nd, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Tahniah, aduh sinisnya

Byadmin

May 23, 2011

Malaysia dari satu segi memang negara Islam yang baik. Ya, jika dibandingkan dengan beberapa negara Islam yang lain, Pakistan misalnya yang terus bergolak, atau kebanyakan negara Islam di tanah Arab yang wanitanya kelihatan agak mundur. Maka, Malaysia memang ‘best.’

Sebagai pengamal zakat, saya sempat membandingkan sistem dan pengurusan zakat di Malaysia (atau lebih khusus di Selangor) dengan beberapa buah negara lain. Indonesia, Brunei hatta Timur Tengah sendiri, maka saya dapati pengurusan zakat di Malaysia juga dikira masih terkehadapan. Kadangkala yang menariknya, kita di Malaysia mengguna pakai segala macam pandangan daripada para ulama besar Timur Tengah, namun mereka sendiri tidak pula memanfaatkannya sebaik mungkin. Sekilas, Mesir sendiri kelihatannya tidak seserius Malaysia memanfaatkan kitab Fiqh az-Zakah hasil garapan Dr Yusuf al-Qaradhawi yang begitu lengkap; berbanding kita yang begitu banyak menceduk pelbagai idea dan inovasi daripadanya.

Bahkan semasa di UKM dahulu, rakan saya dari negara Arab (saya dah lupa, sama ada Iraq atau Jordan) terang-terangan memuji umat Islam di Malaysia. Katanya, pertama kali melihat umat Islam mengamalkan Islam di Malaysia, suatu yang amat mengujakan. Mungkin selama ini dia membesar di negara Arab, maka bila dia ke Malaysia dan melihat yang menjadi umat Islam itu orang Melayu; tetapi gigih beramal dengan ajaran Islam, misalnya bertudung, maka dia merasa suatu yang unik dan mengasyikkan.

Bahkan kita juga boleh merasa bangga dengan pembangunan fizikal Islam yang lain, misalnya prasarana ibadah yang indah dan selesa. Masjid dan surau di negara kita, rata-ratanya boleh berada pada tahap tiga bintang ke atas. Jika di Lembah Kelang, sudah banyak surau dan masjid yang dihawa-dinginkan. Permaidaninya tebal. ‘Sound system’nya canggih dan gah. Bahkan ada masjid dan surau yang menggajikan imam hafiz sebagai imam tetap. Demikianlah, canggihnya masjid dan surau kita. Maknanya, kita boleh bangga dengan keadaan ini.

Sayangnya, di Malaysia juga kita melihat kian banyak kejadian yang bercanggah dengan Islam kian berleluasa. Hubungan lelaki – wanita terjalin bebas, hingga kadangkala terbabas. Kelab malam bersepah, hingga di kawasan terpencil pun ada yang sanggup buat kedai makan ala kelab malam. Itu belum diambil kira gejala meminum arak, merempit, mengambil dadah dan segala macam kelakuan berbau porno yang memualkan. Malaysia juga kian menjadi jaguhnya!

Buktinya, baru-baru ini Malaysia diisytiharkan sebagai negara ke-10 terbesar pengguna arak di dunia. Aduh, ini suatu yang amat mengaibkan. Di sebalik keindahan masjid dan keagungan senibinanya, kehebatan universiti Islam dan segala macam prasarananya, rupa-rupanya Malaysia juga termasuk juara dalam kategori yang Allah tidak reda. Maka, alangkah ironisnya semua ini. Sebab itulah saya katakan, alangkah sinisnya bila seorang penulis mengucapkan: Tahniah Malaysia! Anda di tangga ke-10 pengguna arak di dunia.

Related Post

Leave a Reply