• Tue. Jan 19th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Tangani keluarga seperti sebuah syarikat?

Byadmin

Apr 1, 2010

Dalam kehidupan berkeluarga, suami dan isteri adalah dua insan yang patut belajar dan terus belajar menyesuaikan diri antara satu sama lain. Antaranya, memahami karenah pasangan. Ingatlah, kita dicantumkan daripada dua latar belakang yang berbeza. Kita juga didudukkan dalam satu unit dalam keadaan tiada pilihan kedua. Apabila seorang lelaki dan perempuan menyatakan persetujuan untuk berakad-nikah, maka itulah wa’adat atau perjanjian yang buhulnya akan terus tersimpul hingga ke akhir hayat.

Namun, ada orang atau pasangan yang gagal meladeni alam rumah tangga dengan baik sehinggakan buhul itu terurai sebelum nyawa terpisah daripada jasad. Bukan sedikit kita dipaparkan, ada orang yang majlis resepsinya bagaikan anak raja turun dari kayangan; namun usia pernikahannya hanya beberapa purnama cuma. Riak kecil yang berlaku, tak siapa menduga mampu mengolengkan bahtera. Puncanya apa ya? Mungkin salah satu puncanya, ialah kerana mereka gagal memahami pasangan. Gagal untuk terus berta’aruf agar ikatan yang terjalin terus subur dan ‘hidup’. Akhirnya, perasaan mudah jemu pun muncul, terasa salah pula memilih pasangan dan dengan mudahnya, memilih perceraian sebagai jalan penyelesaian.

Antara perkara yang perlu difahami oleh pasangan, ialah skop dan bidang tugas masing-masing dalam berkeluarga. Apa bidang tugas seorang suami, bidang tugas seorang isteri, anak-anak dan seterusnya. Masing-masing ada peranan dan seperti juga di dalam mana-mana organisasi, setiap orang itu, ada pula orang lain yang akan menyelianya (supervisor). Bahkan, tak salah rasanya jika kita mengumpamakan keluarga kita seperti sebuah organisasi khususnya sebuah syarikat yang bermatlamatkan keuntungan dan laba. Ini kerana, jika syarikat mahu untung, maka demikianlah juga keluarga, harus perlu cari untung walau dalam bentuk yang berbeda. Maka, jika organisasi atau syaraikat ada misi dan visinya, ada mesyuaratnya dan ada KPInya, maka tak salah jika ia turut diwujudkan dalam keluarga.

Amat malang jika masing-masing gagal memahami bidang tugas masing-masing, kerana ia akan memberi kesan kepada seluruh keluarga. Untuk itulah, kenapa jabatan agama Islam negeri menganjurkan Kursus Pra-Perkahwinan, supaya pasangan boleh memahami secara sepintas lalu tentang peranan dan tanggung jawab masing-masing sebelum mereka komitted dengan sesebuah keluarga ataupun perkahwinan.

Mudahnya, seorang suami adalah seumpama CEO atau presiden dalam sesebuah organisasi. Isteri pula adalah GM atau orang kanan suami. Anak-anak pula adalah kakitangan sokongan. Matlamat utamanya adalah memastikan keluarga beroleh untung, iaitu bahagia, beroleh barakah daripada Allah SWT, tiada ahli yang terlencong arah tujunya dan selamat dunia dan akhirat.

Apa yang harus kita ingat sangat, tugas asasi seorang suami juga ialah memimpin isteri. Itulah amanah Allah SWT yang terbesar kepada semua suami. Jadi jika tak nak ditanya di akhirat, tunailah amanah dengan baik. Jangan abaikan tanggung jawab, misalnya membiarkan isteri dalam kedunguan agama, tak faham syariat sehingga tidak berasa bersalah pun membuka aurat – misalnya. Anak-anak pun kena dididik cara Islami, jangan dibiarkan di depan TV 24 jam. Mereka pun adalah aset atau saham, yang akan menguntungkan atau merugikan jika salah percaturan.

Ingat, Allah SWT telah menyebut hal ini dalam banyak tempat, misalnya dalam surah at-Tahrim, ayat 6: “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka,” dan juga dalam surah an-Nisa’ ayat 34: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum wanita.” Bahkan Nabi Muhammad SAW juga berpesan: “ (Wahai kaum lelaki-Penulis) Takutlah kamu kepada Allah dalam urusan wanita, kerana sesungguhnya kamu telah mengambil mereka dengan amanah Allah.” (Riwayat Muslim)
 
Wallahua’lam

Related Post

Leave a Reply