• Wed. Jan 20th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Tegaskah Kementerian Pelajaran Dengan Penamatan PPSMI?

Byadmin

Nov 13, 2011

Kita tidak perlu berdolak dalik lagi. Isu ini sudah terlalu lama menjadi ‘duri dalam daging’ di Malaysia. Ibarat kencing manis, makin kronik nampaknya. Jika dahulu para pencinta Bahasa Melayu turun berdemonstrasi mempertahankan legasi BM, maka semalam giliran ‘pencinta PPSMI’ pula turun menyatakan emosi. Tidak ramai mana pun; dan diadakan pun nun jauh di Melaka. Jauh amat kecil angkanya jika nak dibandingkan dengan perhimpunan yang diterajui oleh Pak Samad dan allahyarham Datuk Hassan Ahmad.

Tapi itulah. Masalahnya kenapa pihak kementerian tidak tegas, tidak tetap pendirian dan tidak konsisten dalam keputusan. Dalam peribahasa, kita kena memegang kukuh dengan kata-kata, kerana lembu dipegang talinya, manusia dipegang janjinya. Janji sudah pun dibuat untuk menamatkan PPSMI, maka apa maknanya apabila mahu diberikan kelonggaran di sana sini?

Sekali pihak sebelah sana buat demonstrasi, apakah ada jaminan pihak sebelah sini tidak melakukan perkara yang sama? Apakah kesudahannya? Kita tidak perlu bertegang urat lagi, kerana kita ini rakyat Malaysia dan sudah sewajibnya kita mengutamakan Bahasa Kebangsaan – yang hingga kini pun sesetengah daripada kita masih menamakannya Bahasa Malaysia – sedangkan terang-terang disebut dalam Perlembagaan Malaysia sebagai Bahasa Melayu! Tetapi, itulah bahasa rasmi, bahasa kebangsaan dan sepatutnya menjadi bahasa ilmu, bahasa pertuturan utama bahkan bahasa komunikasi seluruh rakyat Malaysia.

Amat malang, nampaknya keturunan bukan Melayu masih menebal dengan sikap memandang remeh terhadap Bahasa Melayu. Buktinya, Bahasa Melayu mereka masih pelat, masih telor dan masih terbata-bata. Tidak fasih dan lancar jika dibandingkan mereka berkomunikasi dalam bahasa ibunda mereka atau dalam Bahasa Inggeris. Pelik sungguh, Malaysia ini kononnya sudah merdeka 54 tahun, sayang seribu kali sayang…bahasa rakyatnya masih jauh api dari panggang!

Related Post

Leave a Reply