• Tue. Jan 19th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Tegur-menegurlah

Byadmin

Jul 6, 2009

Anda pernah ditegur? Saya…selalu. Kadang-kadang ditegur oleh kawan-kawan, ditegur oleh sahabat, ditegur oleh ketua, oleh ibu bapa, oleh adik-beradik, oleh isteri bahkan anak-anak. Bahkan, saya yakin Allah SWT juga turut menegur saya, pastinya teguran Allah SWT berbeza dengan teguran manusia. Dalam kes musibah yang menimpa, saya yakin itu adalah salah satu cara Allah SWT mahu menegur saya.

Tegur-menegur adalah resipi kebahagiaan, baik untuk diri, keluarga, persahabatan bahkan dalam sesebuah organisasi dan negara, ia lebih penting. Dengan teguran, maka seseorang mampu mengenal-pasti kelemahan diri. Daripada teguran juga, kita dapat membuat penambah-baikan dari hari ke hari.

Islam mengistilahkan teguran ini dalam banyak terminologi. Jika kita membuka al-Quran dan al-Hadis, Allah SWT mahu pun Nabi Muhammad SAW menggunakan kalimah seperti ‘peringatan, bertolong bantu, wasiat, pesan-memesan dan sebagainya’, yang bagi saya membawa maksud ‘tegur-menegur.’

Misalnya, di dalam surah al-‘Asr Allah SWT nukilkan: Demi masa! Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian, melainkan mereka yang BERPESAN-PESAN dengan kebenaran dan BERPESAN-PESAN dengan kesabaran.

Di dalam ayat yang lain pula: Sesungguhnya Kami telah mengutusmu (Muhammad) dengan kebenaran; sebagai pembawa berita gembira dan pemberi ingatan, dan kamu tidak akan diminta (pertanggungan jawab) tentang penghuni-penghuni neraka (al-Baqarah: 119)

Rasulullah SAW bahkan sering mengingatkan kita, misalnya: Dari Abu Sa’id r.a katanya: (Pada suatu hari) Rasulullah s.a.w masuk ke tempat sembahyangnya, lalu dilihatnya beberapa orang sedang gelak ketawa, Baginda s.a.w pun menegur mereka dengan bersabda: Ketahuilah! Sesungguhnya kalau kamu banyak menyebut dan mengingati perkara yang memusnah dan menghilangkan perasaan kesenangan tentulah peringatan mengenainya akan menghalang kamu daripada melakukan apa yang aku lihat ini, maka hendaklah kamu selalu mengingati dan menyebut perkara yang memusnah dan menghilangkan perasaan kesenangan, iaitulah maut (Sebahagian hadis daripada Abu Said r.a).

Namun, dewasa ini konsep tegur-menegur semakin diperluaskan. Sebuah negara demokrasi seperti Malaysia yang mempunyai pemerintah dan pembangkang juga, adalah sebuah kaedah untuk saling ‘tegur-menegur.’ Pembangkang peranannya menegur mana-mana polisi dan perlaksanaan yang salah pada pihak kerajaan. Maknanya, teguran itu lebih bersifat mengimbangi tindak-tanduk pemerintah, agar sentiasa berimbang.

Teguran juga hakikatnya membangunkan ‘titik kesedaran’ yang mungkin ‘terlena’ dalam diri. Kadang-kala, seseorang yang melakukan kesalahan akan kekal dalam kesalahan, sehinggalah dirinya ditegur. Misalnya, seorang bapa mungkin kekal ‘minum berdiri’ sehinggalah dirinya ditegur oleh si anak, bahawa itu bukanlah adab minum yang baik.

Tapi, diakui bahawa teguran yang datang daripada isteri bagi seorang suami adalah suatu ‘cabaran’ paling besar. Bukan senang merubah sesuatu kebiasaan, yang sudah bersebati…namun itulah yang kena diperbetulkan.

Kesimpulannya, tegur-menegurlah kita dalam kehidupan ini. Tidak salah untuk saling menegur, yang salah mungkin cara kita menegur. Cara inilah yang mencetuskan polemik. Polemik yang jarang menatijahkan kebaikan melainkan perdebatan dan pergaduhan.

Ya, seperti apa yang selalu kita saksikan…wallahua’lam!

Related Post

Leave a Reply