• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Terima kasih solat sama abi…

Byadmin

Aug 16, 2009

Salah satu kaedah mendidik anak-anak ialah solat berjamaah. Alhamdulillah, saya cuba menerapkan kaedah ini kepada anak-anak dan mereka nampaknya tidak keberatan mengikutinya. Mula-mula, memanglah agak keberatan sedikit. Macam kita dulu-dululah. Saya ingat lagi, semasa saya masih kecil pun, memang solat itu perkara yang tidak penting. Rasa teringat, solatlah. Bila disuruh mak dan opah, solatlah. Lebih banyak tidak solat daripada yang solat. Solat pun sebab takut kena marah. Lajunya pula, mengalahkan bas ekspress Gerik – Ipoh. Itulah solat budak-budak.

hp-umi-002Apabila saya semakin dewasa dan menuju ke alam rumah tangga, pendedahan terhadap keutamaan tarbiyyah kepada anak-anak menyedarkan saya, betapa solat mestilah dijadikan perkara utama dalam mendidik mereka. Solat adalah tiang seri kepada agama. Nabi menyatakan, orang yang enggan menjaga solatnya, maka mereka adalah golongan yang meruntuhkan agama. Bahkan, kegagalan memelihara solat juga, akan menyebabkan seseorang itu dengan mudah terjerumus ke dalam kancah maksiat. Ini kerana, Allah SWT telah menjami bahawa solat itu adalah perisai yang mampu mencegah pelakunya daripada maksiat dan kemungkaran.

Maka, apabila saya sudah berkeluarga, saya menjadikan solat jamaah sebagai agenda utama. Dahulu semasa masih tiada anak, saya dan isteri sering solat bersama. Kami bermotosikal dan ke masjid atau surau berdekatan untuk solat berjamaah. Apabila ada anak, makin sukar untuk solat berjamaah, sebab si anak akan merengek dan mengganggu. Namun saya cuba menukar paradigma saya dan isteri, ‘gangguan’ si anak bukanlah penghalang; bahkan itulah suatu pendedahan kepadanya mengenai solat. Maka, hasilnya hingga kini kami tidak canggung bersolat jamaah walau si anak kecil kami melilau di hadapan bahkan kadang-kadang tercongok duduk di atas sejadah.

Apabila anak-anak saya makin membesar, saya mengajak mereka solat berjemaah di surau atau masjid. Ada masanya, kami solat berjemaah di rumah. Bahkan saya rasa bertuah, justeru dua anak saya yang tua adalah lelaki, maka merekalah ‘teman’ saya mendirikan jamaah di surau atau rumah. Saya tidak lokek mengucapkan terima kasih atau ‘syukran’ saat bersalaman dan berpelukan setelah berdoa. Bagi saya, itulah anugerah termahal daripada Allah, iaitu anak-anak yang mendengar kata dan sudi bersama-sama saya menghadapkan diri kepada-Nya.

Related Post

Leave a Reply