• Mon. Jan 25th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Terkenang sewaktu dulu…

Byadmin

Apr 12, 2010

dsc01999Melihat kawan-kawan atau adik-adik yang bakal melangsungkan pernikahan atau baharu sahaja bergelar ‘raja sehari’, menyebabkan saya kembali teringat saat mula mendirikan rumahtangga kira-kira 12 tahun yang lalu. Saya bertunang saat masih menuntut di universiti. Di tahun tiga saya meminang bakal isteri. Mujur opah saya merestui. Sebelum dari itu, pantang saya menyebut soal nak ‘berbini’…maklumlah, ‘sekolah’ belum habis, kerja pun belum…sudah berangan-angan nak beristeri. Makngah Limah jiran opah lagilah…”Hang jangan gatai sangat Mizul oi…apa hang nak bagi anak orang makan!” Saya terkedu, membisu seribu bahasa. (Foto semasa saya dan isteri melancong ke Indonesia tahun lalu)

Masih saya ingat sangat, abah bertanya ringkas sebelum mereka bersetuju untuk meminang isteri saya: “Hang dah sedia? Dah sanggup cari duit nak buat kenduri dan belanja hangus segala…” Hati saya terpukul. Ini soalan menjerat. Saya kaget memberikan jawapan. Minda cuba menganalisis segala kemampuan diri. Saat itu, ekonomi negara merudum. Siswazah menganggur bersepah ‘menanam anggur.’ Saya sendiri kala itu, sekadar mengisi kekosongan jawatan sebagai Penyelia Asrama Anak-anak Yatim Darul Izzah di Teras Jernang sebelum kemudiannya menerima tawaran menjadi Guru Ganti di Sek Men Bandar Baru Bangi. Senang bicara, tiada kerja tetap dan ia bermakna…saya tiada sandaran pendapatan yang mantap.

“Ju sanggup abah. Ju akan cari wang nanti.” Yakin! Itulah kira-kiranya jawapan saya. Abah kemudiannya mengendurkan suasana. Kata abah: “Abah hanya mahukan kepastian daripada hang. Jika hang mantap, menikahlah. Insya-Allah…rezeki orang yang mendirikan rumah tangga memang dijamin Allah!”

Lega saya mendengarnya. Itulah…bukan mudah membina rumah tangga. Saya berusaha keras mencari wang bagi menunaikan janji saya. Rasa malu dan segan letak ke tepi. Saya usahakan sehingga RM3000 tergenggam di jari. Saat itu, not RM1000 sekeping masih ada. Not itulah yang saya pegang…hangat dan terasa besar betul nilainya kala itu!

Setelah habis belajar, Reformasi 1998 tercetus di Kuala Lumpur. Saat itu, bakal isteri saya menerima tawaran sebagai Pembantu Penyelidik di Jabatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan UKM, Jalan Raja Muda, KL, sebelum mengambil peluang melanjutkan Sarjana Sains Perubatan di jabatan yang sama. Kampus UKM KL terletak di alur yang sibuk, kejiranan Chow Kit Road dan kawasan itu amat dekat dengan Jalan TAR pusat gerakan reformasi. Ketegangan yang tercetus, menjadi pemangkin agar pertunangan disegerakan menjadi ikatan pernikahan. Ada rahmat di sebalik musibat. Akhirnya, kami disatukan pada 19 September 1998.

Masa berjalan pantas. Kami buru-buru membina kehidupan. Pernah terbuat salah dalam keputusan dan kami menerima padahnya. Ya, asam garam kehidupan memang begitu. Hingga kini, kami makin tenang melayari bahtera rumah tangga. Allah titipkan kami amanah berharga, lima cahaya mata yang comel dan ceria. Di samping itu, masih banyak kiranya yang perlu kami tekuni…tunggulah, ada masa saya akan berkongsi lagi…:)

Related Post

Leave a Reply