• Tue. Jan 19th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Tiru Nabi Tangani Kemiskinan

Byadmin

Jun 28, 2010

“Mereka bertanya tentang apa yang mereka nafkahkan. Jawablah: “Apa sahaja harta yang kamu nafkahkan hendaklah diberikan kepada ibu-bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan. Dan apa saja kebaikan yang kamu lakukan, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya.” (al-Baqarah 2: 215)

 
Fenomena miskin dan kemiskinan bukanlah isu baharu dalam Islam. Sejak zaman pra-Islam sehingga kini, kemiskinan sentiasa wujud. Apabila Islam diwahyukan kepada Nabi SAW, maka Islam mengiktiraf bahawa orang-orang miskin adalah golongan yang wajib disantuni dengan sebaik-baiknya. Islam menyatakan, adalah satu kemuliaan bagi sesiapa yang menghulurkan tangannya kepada fakir dan miskin; dan adalah hina bagi sesiapa sahaja, sekali pun jika mereka memberi zakat tetapi disusuli dengan kata-kata yang mengecilkan hati si miskin.
 
Firman Allah SWT: “Perkataan yang baik dan pemberian maaf  lebih baik dari sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan si penerima). Allah Maha Kaya lagi Maha Penyantun” (Al-Baqarah: 263)
 
Dari satu aspek lain, Nabi SAW sendiri pernah mengkhabarkan bahawa orang-orang miskin sedikit sahaja hisabnya di hari akhirat bahkan mereka lebih cepat masuk ke dalam syurga Allah SWT berbanding dengan orang kaya. Bahkan syurga-syurga Allah SWT, kebanyakannya diisi oleh orang-orang miskin di dunia. Daripada Ibnu Abbas r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: “Aku melihat ke syurga, maka kelihatan olehku kebanyakan penghuninya ialah orang-orang miskin. Dan aku melihat pula ke neraka, maka kelihatan olehku kebanyakan penghuninya ialah wanita.” (Hadis Riwayat Muslim)
 
Oleh itu sayugia diingat, Islam tidak pernah memandang hina kepada golongan fakir dan miskin. Apa yang sangat ditegah oleh Islam, ialah sifat si miskin yang enggan berusaha demi mengubah dirinya. Inilah sifat yang dinamakan al-kasal, iaitu penyegan, pemalas, enggan berusaha, berserah tanpa ikhtiar dan menerima apa-apa sahaja, tanpa sedikit pun daya usaha untuk mengubah dirinya agar menjadi lebih baik. Inilah fahaman yang bertentangan dengan pegangan ahli as-sunnah wal jamaah. Bahkan sikap menyerah kalah atau pesimistik tanpa usaha ini adalah pegangan golongan Jabariah, yang 100 peratus bergantung kepada nasib sahaja.
 
Diberitakan, pada masa hayat Nabi SAW sendiri wujud sekelompok manusia yang tersalah erti dalam mendefinsikan nasib dirinya. Mereka merasakan kemiskinan yang melingkari dirinya adalah suatu ketetapan Allah SWT yang tidak wajar dicabuli walau sedikit. Maka, mereka membiarkan diri dalam kedaifan. Meminta-minta ke sana ke sini demi sesuap makanan, sejuring roti dan sebiji tamar.
 
Anas bin Malik r.a misalnya pernah meriwayatkan suatu kisah yang agak panjang di antara seorang pemuda Ansar bersama Rasulullah SAW. Pemuda berkenaan telah mendatangi Rasulullah dengan tujuan mahu meminta sedikit makanan. Namun Nabi SAW tidak terus memberikannya makanan, melainkan ditanya terlebih dahulu apakah masih ada sesuatu di rumahnya, yang mungkin boleh dijual.
 
Lantas pemuda ansar itu menyatakan: “ (Ya) ada, (iaitu) pakaian yang kasar, (yang) setengahnya kami pakai dan setengahnya lagi kami hamparkan, juga sebuah bekas yang kami (gunakan untuk) meminum air dengannya.”
 
Nabi SAW seterusnya meminta agar pemuda itu pulang dan membawakan kedua-dua barangan itu. Pemuda itu pun pulang dan kemudian datang kembali. Kemudian, Rasulullah SAW segera mengambil barang-barang itu daripada tangannya dan menawarkannya kepada sesiapa yang ada bersama mereka, seandainya mereka mahu membelinya. Lalu, seorang lelaki yang berada di situ telah membeli kedua-dua barangan itu dengan harga dua dirham.
 
Daripada dua dirham itu pula, nabi telah menyerahkan satu dirham kepada si pemuda untuk kegunaan keluarganya, manakala satu dirham lagi telah diminta oleh Nabi SAW agar pemuda itu membeli sebilah kapak. Rasulullah SAW berpesan: “Beli makanan satu dirham dan segera kembali (ke rumahmu) dan berikannya kepada isterimu. Dan gunakan satu dirham lagi untuk membeli kapak, dan bawakannya ke mari.”
 
Tidak berapa lama, orang Ansar itu kembali bertemu nabi bersama sebilah kapak. Kemudian Baginda SAW segera memasang kayu pada kapak itu (sebagai hulu) lantas menyatakan: “Ambil kapak ini, dan pergilah kamu mencari kayu, kemudian kamu jual kayu itu dan kamu datanglah lagi (menemuiku) selepas lima belas hari.”
 
Pemuda Ansar itu benar-benar mematuhi arahan Nabi Muhammad SAW. Diberitakan, selepas lima belas hari berlalu, dia telah datang menemui Rasulullah SAW dan pada kali ini di tangannya tergenggam sepuluh dirham hasil jualan kayunya. Dengan wang itulah, sebahagiannya dia gunakan untuk membeli pakaian dan sebahagiannya lagi untuk makanan keluarganya. Lalu sabda Nabi SAW menuntaskan: “Cara begini adalah lebih utama bagi kamu daripada meminta-minta, sebab meminta-minta itu akan meninggalkan tanda di muka kamu di akhirat nanti.”
 
(Sayid Sabiq dalam kitabnya ‘Anasirul Quwati fil Islam)

Inilah caranya Nabi SAW menangani kemiskinan umatnya. Indah dan penuh pengajaran. Psikologi si miskin dilentur, fizikal mereka dibentur, bahawa kemiskinan hakikatnya adalah sesuatu yang boleh diubah dengan ikhtiar yang betul. Nabi SAW sudah pun menunjukkan caranya, maka terpulanglah kepada pihak yang berkenaan, khususnya kepada institusi-institusi zakat yang terlibat dalam usaha menangani kemiskinan untuk mencontohinya. Wallahua’lam.

Nota: Artikel ini disediakan untuk Sisipan Rehal, Sinar Harian

Related Post

Leave a Reply