• Sat. Jan 16th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Titipan rindu dari Jakarta pt 6#

Byadmin

May 20, 2010

Hari keenam – 19 Mei 2010

Waktu dan hari keberadaan kami di Indonesia makin ke penghujung. Esok, 20 Mei 2010, kami akan kembali mencumbui awan-gemawan untuk pulang ke Malaysia. Rindu kepada anak-anak sudah membumbu di minda, sudah bercanda di mimpi kami. Moga mereka semuanya sihat, amin.

Pagi ini kami bersarapan di Hotel Bumi Wiyata. Saya dan isteri mengharapkan menu yang boleh melunakkan selera, tapi sayangnya tidak begitu mengujakan. Pagi tadi, ada bubur nasi dan kuahnya berupa sup…tapi agak berminyak dan saya gagal menghabiskannya. Mujur ada telur omlet dan nasi goreng, gagah jugalah saya mengisi perut – jangan sampai kosong kala keluar nanti.

Hari ini juga adalah hari terakhir Marul ke UI. Ikut rencananya, kami semua akan dihidangkan dengan persembahan kebudayaan oleh para pelajar Indonesia nanti. Jika difikirkan, mahu sahaja saya tetap berehat di hotel. Tetapi, apabila mengenangkan persembahan yang bakal diberikan, saya terasa sayang pula untuk melepaskannya. Lagi pula, kami semua harus segera check out kerana seusai majlis di UI nanti, kami akan bertolak ke Bogor pula.

Benar, persembahan kebudayaan yang diadakan tidak mengecewakan. Mahasiswi-mahasiswi UI telah mempersembahkan sejenis tarian bernama ‘Rapai Geleng’  (seperti dalam foto) kepada kami. Jika anda pernah menonton movie Ketika Cinta Bertasbih – 1, anda pasti teringat akan persembahan kebudayaan oleh para pelajar Indonesia saat Indonesia Food Festival di Kedutaan Besar Republik Indonesia di Alexandrea, Mesir. Ha…itulah seakan-akan persembahan yang telah mereka sajikan kepada kami semua. Menurut Fadhilah, siswi Acheh tahun 3 yang sempat saya berbual dengannya, tarian itu membawa maksud ‘mendekatkan hubungan manusia kepada Tuhan.’

Bas sudah menunggu untuk membawa kami semua ke Bogor. Habis bergambar-gambar kenangan dan bersalam-salaman, kami menaiki bas untuk ke Tajur dan kemudiannya ke asrama pelajar milik Kak Ros (adik Pak Syarif) di sana. Tajur adalah tempat di mana banyak barangan berasaskan kulit dijual, misalnya tas tangan.

Sebelum ke Tanjur, kami dibawa melewati Istana Bogor yang tersergam indah dan gagah di bandar Bogor. Terdapat ribuan ekor rusa di kawasan terbuka Istana Bogor yang menurut Pak Dikno yang menemani kami dari UI, asalnya hanya sepasang hasil pemberian daripada pihak kerajaan Afrika Selatan. Kami juga melewati Kebun Raya Bogor, suatu kawasan hijau dan taman yang cantik untuk bereakreasi di sini.

Saya dan Marul mahu mencuba membuat pengeluaran pendahuluan tunai di CIMB Niaga (di Malaysia CIMB Bank). Sayangnya gagal dan ia begitu meletihkan. Bermula di Depok, katanya CIMB di Depok masih tidak mempunyai mesin pengeluaran wang, lalu kami diarahkan ke Bogor. Kata kasier bertugas, di Bogor…mana-mana CIMB pun bisa. Kami ke Juanda, mesinnya rosak lalu diarahkan ke Pajajaran…di Pajajaran…sistemnya pula tidak siap (unsupportive system)! Aduhai…lebih kurang dua jam masa kami terbuang begitu sahaja, penat berjalan ke sana ke mari dan penat itu tidak terbayar kerana kami gagal mendapatkan wang dan diperlakukan bak bola pula. Saya mula ‘panas’ dan menyatakan kepada kasier di Pajajaran, sejak di Depok lagi saya sudah mencuba bahkan sudah meminta kepastian (confirmation) daripada petugas di sana, adakah benar saya boleh menggunakan kartu kredit untuk tujuan cash advance. Mengapa mereka gagal memberitahu bahawa mesin rosak dan sistem yang ada tidak membantu…jika sedari awal mereka memberitahu, nescaya saya akan mengurungkan niat untuk mencari dua cawangan CIMB di Bogor. Ia bukan sekadar menyusahkan saya; tetapi juga semua ahli rombongan juga!

Akibatnya, mood saya sedikit murung. Di Tanjur, saya malas untuk turun dari bas dan tinggal seorang diri menguliti Bumi Cinta. Nasi panggang yang dikatakan enak itu pun (dibekalkan oleh UI) tidak saya jamah, hilang selera makan saya.

Para pelajar pascasiswazah yang berjalan-jalan di sekitar Tanjur pulang tanpa membeli apa-apa pun. Kata mereka, barangan di situ tidaklah terlalu murah. Namun isteri saya membeli juga dua beg. Saya kemudiannya turun juga dari bas sekadar untuk melihat apa yang ada.

Kemudiannya, kira-kira jam 4.30 petang kami di bawa ke asrama milik Kak Ros di kawasan kampung berdekatan IPB Bogor. Cantik asramanya dan ia dikhususkan hanya untuk wanita. Maka, kamilah orang lelaki pertama yang berpeluang menginap di sini. Kami turut dijamu minum petang dan segera bergegas mendirikan solat Jamak asar dan zuhur kerana hari kian suram menjelang maghrib.

Azan Maghrib berkumandang sayup-sayup saat saya, Pak Syarif, Prof Baha dan En Jamil berngobrol di bangku asrama. Tak lama kemudian, suara azan yang lebih kuat pula bergema. Rupa-rupanya, asrama ini betul-betul dekat dengan masjid di sini yang terletak di sebelah Pejabatan Kelurahan.

Habis makan malam, Pak Syarif menyarankan kami semua ke shopping mall di sini, namanya jika tak salah ialah Botani Mall Bogor. Tak ada yang menarik sangat pun, kerana ia adalah shopping mall seperti di tempat-tempat lain. Cumanya, saya gembira kerana menemui novel Kisah Lima Menara di sini – novel ini telah didiskusi lewat Cick Andy di Metro TV dan saya menyaksikannya semasa baru-baru tiba di Indoensia – menarik kisahnya. Saya juga membeli beberapa keping CD, iaitu dua keping CD Opick yang original, CD untuk anak saya dan juga buku Pingu untuk Hanim.

Tiba-tiba hand phone Marul berbunyi, nombor dari rumah di Kuala Lumpur. Kami menelefon balas, rupa-rupanya Abang Yang dan anak-anak kami sudah rindu benar. Mereka sudah tidak sabar-sabar lagi menunggu kepulangan kami esoknya!

  

Related Post

Leave a Reply