• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Travelog Seorang Da’i

Byadmin

Nov 18, 2009

Tajuk: Travelog Seorang Da’i (TSD)
Pengarang: Abdul Rahman Mohamed
Genre: Memoir
Jumlah halaman: 277
Penerbit: Telaga Biru
Tahun terbit: 2009
Harga: RM20.00 (SM)/ RM22.00 (SS)
ISBN 9 789675 102318

Isteri saya terlebih dahulu membaca buku ini. Katanya, buku ini menarik. Entah mengapa sejak mutakhir ini, garapan buku dalam bentuk travelog semakin diminati oleh ramai penulis dalam berkarya. Sebelum ini, Travelog Haji oleh Prof. Kamil terbitan PTS Publication pernah menjadi fenomena sekejap. Jujurnya saya lambat menghabiskan buku ini, memandangkan saya hanya mencuri-curi masa sebelum melelapkan mata pada waktu malam untuk membacanya.

TSD adalah catatan benar kisah kehidupan penulis yang merupakan anak kelahiran Singapura. Membesar dalam keperitan kemiskinan, amat menjerihkan sekali. Kehilangan kasih-sayang seorang ayah sejak kecil, lalu ibunya terpaksa bergalang-ganti membesarkan mereka adik-beradik. Kisahnya bagaikan sebuah filem yang begitu klise, ya, memaparkan kisah kehidupan masyarakat kelas bawahan yang terpaksa berjuang demi sesuap nasi. Inilah kisah anak kecil yang hampir-hampir menjadi mangsa keadaan di bumi Singapura.

“Setelah pemergian abah, kami sekeluarga berpindah dari Carpmael Road ke sebuah rumah sewa satu bilik di flat SIT, Old Kallang Airport Road… Ibu terpaksa berkerja saban hari sebagai amah dan juga membuat kuih-muih untuk dijual. Daripada tekanan hidup yang sedemikian, ibu menjadi seorang yang panas baran. Kami sering dimarahi ibu atau dipukulnya…” (hal. 5)

Penulis membayangkan, betapa miskinnya mereka sehinggakan dia sentiasa menahan lapar di sekolah. Sewaktu rehat, penulis akan berdiri di hadapan penjual mee rebus di kantin sekolah, namun dia dimarahi kerana dianggap mengganggu jualan. Namun, setelah makcik kantin itu mengetahui keadaan dirinya, baharulah timbul simpati di hati mereka.

“Hei, nak! Mari sini!” jerit makcik itu kepadaku. Aku agak terkejut, kerana aku sangka akan dimarahi lagi. Pucat mukaku. Lalu aku kuatkan hati untuk mendekati Makcik Mi Rebus itu.

“Engkau ini anak yatim, ya?” Aku mengangguk.

“Mari makan ini nak,” pelawa makcik itu sambil menghulurkan sepinggan mi rebus untuk aku makan… Hanya Allah sahaja yang tahu betapa sedapnya makanan tersebut bagiku. Itulah makanan yang saban hari aku tengok tetapi tidak mampu untuk mendapatkannya. (hal. 6-7)

Penulis turut memaparkan:

“Pernah aku menjaja dari pagi hingga tengah malam. Nasi lemak yang aku jual sudah basi. Aku tidak berani pulang, kerana takut dimarahi ibu. Kadangkala kalau jualan tidak habis, ibu akan menangis kesedihan…” (hal. 11)

Cuba anda hayati para berikut:

“Meski pun ibu berhempas pulas membanting tulang empat keratnya namun itu belum cukup untuk membebaskan kami daripada belenggu kemiskinan. Kadang-kala dalam keadaan yang terlalu terdesak, aku atau salah seorang abangku akan pergi ke pasar, bukan untuk membeli sayur, ikan atau daging tetapi untuk menggeledah bakul-bakul sampah, kalau-kalau ada sisa makanan untuk dibawa pulang…

“Kami juga akan mundar-mandir di mana-mana rumah yang mengadakan kenduri dengan harapan akan diberi sepinggan nasi…” (hal. 13)

Namun, TSD ini bertukar menjadi satu hidangan yang enak apabila ia dibumbui dengan kepelbagai bahan ceritanya. Dari sekadar manusia biasa yang tidak habis persekolahan kerana tidak mampu melunasi yuran pada usia 14 tahun, kemudian pernah terlibat dengan kumpulan samseng, menjadi kuli dan akhirnya disirami hidayah lalu berusaha menjadi baik. Bukan senang menerokai suatu jalan jika tiada kehendak diri sendiri. Usaha dalam merintis jalan perubahan selalunya memang diiringi dengan pelbagai ujian.

Sekali imbas, kadangkala saya seperti sukar mempercayai bahawa penulis akhirnya berjaya mengubah dirinya daripada seorang kecil yang kerdil kepada seorang lelaki yang gagah dan disegani ramai orang. Penulis mengejar impian dan cita-citanya setakah demi setakah. Berbekalkan kekuatan hatinya, dia akhirnya mampu mengenggam ijazah dan kelulusan dalam pelbagai bidang – agama, pengurusan dan komunikasi.

Sebenarnya, jika saya mahu merincikan buku ini, maka saya wajar memperuntukkan masa yang lebih. Namun, cukuplah saya simpulkan, jika anda teringin mengenali budaya hidup orang Melayu di Singapura, mungkin buku ini adalah sebahagian daripada jawapannya. Jika anda mahu mencari satu buku motivasi, maka buku ini juga adalah jawpannya. Jika anda mahukan suatu kisah yang mampu menginsafkan, maka persilakanlah membuka buku ini. Akhirnya, jika anda bercita-cita mahu meladeni jalan dakwah, sekali lagi saya sarankan, buku ini menyajikan hidangan yang sesuai untuk anda cicipi sebagai bekal di perjalanan kelak.

Menutup halaman terakhir membuatkan saya terfikir: “Mampukah aku lalui segala mehnah yang pernah dilalui oleh ustaz ini..?”

Related Post

Leave a Reply