• Fri. Jan 22nd, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Trip to Padang 1#

Byadmin

Jan 27, 2011

Hari 1 – 26 Jan 2011, Rabu

Alhamdulillah, akhirnya angan-angan saya untuk ke Ranah Minang ini terkabul juo. Tanah di mana kala saya menuntasi pembacaan Kisah Lima Menara tulisan A. Fuadi telah begitu mengujakan perasaan saya untuk segera mengunjunginya. Danau Maninjau yang luasnya begitu memukau dengan Keluik Ampek Puluih Ampek, seakan-akan menari-nari di mata. Nah, kini semuanya sudah saya saksikan dengan mata kepala.

Saya bersama dua anak – Abang Yang dan Husna juga atih sekeluarga – selamat mendarat di Bandara Padang sekitar jam 8.20 pagi, 26 Jan 2011. Kabus menyelimuti dan tanah basah dengan gerimis hujan. Semasa di udara, pesawat kami bergetar merempuh awan-gemawan yang tebal. Galau juga hati saya, langsung terus saya alunkan zikrullah.

Mas Lin atau nama penuhnya Abang Mursalin bersama pemandu kami telah sedia menunggu. Selesai urusan imigresen dan mendapatkan bagasi, kami segera dibawa menuju ke Bukit Tinggi. Perjalanan tidak macet Cuma kenderaan kami bergerak perlahan.


Sepanjang perjalanan, pemandangannya adalah kawasan kampung. Kesan-kesan runtuhan dek gempa bumi kuat pada tahun 2007 masih jelas membekas. Dinding rumah runtuh dan ada yang rosak teruk. Kejadian gempa yang kuat melanda Sumatera Barat ini juga, memaksa perkhidmatan keretapi ke arah Bukit Tinggi ditamatkan, ekoran tanah runtuh menjejaskan jalinan relnya.

Kami singgah sebentar di Lembah Anai yang mempunyai air terjun yang cantik. Saat mendaki mendekati air terjun, gerimis mulai mengeras. Kami terpaksa bergegas.

Destinasi kedua pula ialah Rumah Gadang yang merupakan rumah tradisi bagi orang-orang Minang dengan ciri khas atap melengkung ala tanduk kerbau. Di sini, kami diberikan penerangan yang menarik oleh kakitangannya. Dengan lahjah Minang yang pekat dan kepetahannya, tak rugi mendengar dia berceloteh. Siap dengan pantun, sejarah dikisah penuh cermat.

Umumnya, rumah Gadang itu ada dua, sama ada yang berpangkin anjung di kedua belah kiri dan kanan ataupun tidak. Yang berpangkin anjungannya itu rumah bagi orang Minang beradat Perpatih sedang tidak berpangkin itu Minang beradat Temenggung. Hm…baru sey tahu eh…

Dipendekkan kisah, kami dipelawa mengenakan pakaian tradisi orang-orang Minang. Apa lagi, bergaya sakan le kami. Orang Perak berlagak Minang…he…he… Dalam hati saya, takkan gratis semuanya. Betullah, habis bergambar sakan kami diminta menjelaskan bayaran. Bagi saya dan dua anak, bayarannya Rp75 ribu jika tak salah, atih kena Rp100 ribu lebih… okaylah, bukannya selalu.

Kami kemudiannya meneruskan perjalanan ke Bukit Tinggi. Udara makin sejuk. Rupa-rupanya, Bukit Tinggi ini kira-kira seperti Cameron Highlands di Malaysia, cuacanya dingin dan di sini terkenal dengan aktiviti pertanian khususnya sayur-sayuran dan ternakan ikan dalam kolam.

Penduduk di sini juga memanfaatkan tanah untuk menanam padi. Sawah mereka cantik kerana dibina bertingkat-tingkat mengikut keadaan dan kecerunan tanah. Aliran air dari atas gunung digunakan seoptimanya bagi mengairi sawah mereka. Padi ditanam sepanjang tahun, ada yang baru disemai, sudah menghijau, sedang menguning, sudah dipotong, sedang dibakar jeraminya, sedang dibajak lagi dan begitulah. Tiada musim khusus penanaman padi seperti di Malaysia.

Mereka memanfaatkan tanah sebaik-baiknya. Bayangkan, di celahan bangunan kedai, masih ada sawah padi lagi. Mereka mengerjakannya secara tradisional, kerbau masih menjadi jentera menarik tenggala. Bila sawah dikeringkan bagi tujuan menajak, mereka menangkap anak-anak ikan untuk kemudiannya dielihara di dalam kolam berair gunung. Enak sungguh kehidupan mereka.
Akhirnya kami tiba di destinasi setelah menyinggahi beberapa toko baju dan pakaian. Atih juriah dan atih Mat membeli sakan. Saya sekadarnya sahaja. Kami menginap di Kharisma Hotel, sebuah hotel yang tidak mewah tetapi cukup berbaloi. Di pinggir jalan utama Bandar Bukit Tinggi dan berdekatan dengan banyak kemudahan, termasuklah Toko Buku Anggrek…he…he…syurga… getus hati saya…

Sebelah petang, saya mencuri masa mengunjungi toko buku ini. Tidak begitu besar tetapi banyak bukunya. Habis juga kira-kira Rp500 ribu…kemudian saya membeli Mertabak Mesir…wah enak tenan…memang sedap!

Related Post

Leave a Reply