• Mon. Jan 25th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Trip To Sarawak – Borneo – Part Last

Byadmin

Mar 20, 2010

Hari ini, kami sudah bersedia untuk pulang. Saya, abang Yasser dan abah sahaja yang keluar pada sebelah pagi untuk membeli kek lapis dan juga Ikan Terubok Masin. Kami kembali ke Kedai Kek Lapis Dayang Salhah, orang masih tidak ramai dan saya segera menyudahkan pesanan Marul dan mak mertua. Semua sekali RM240…he…he…borong sakan nampak…

Sesudah itu, abang Yasser menawarkan perjalanan ke India Street yang menurut beliau adalah alternatif kepada orang Kuching untuk membeli pakaian. Harganya juga lebih murah berbanding yang ditawarkan oleh para penjual di sepanjang Kuching Water Front. Saya membeli lagi sehelai kemeja dan juga sepasang baju tidur untuk abang Yang, kerana isteri saya tersalah memilih saiz sebelum itu. Kira-kiranya, anak-anak saya semuanya bergaya sakan dengan baju baru bertulisan Sarawak…terutamanya si Huda, bukan main bergaya lagi.

Sebenarnya saya masih belum merasa puas berjalan-jalan di sekitar bandar Kuching. Ini kerana, umumnya keadaan bandar Kuching ini lebih kurang seperti Banda Hilir Melaka. Banyak terdapat lokasi sejarah di sini, misalnya Muzium China, Muzium Tekstil, Masjid Bandar Kuching yang diasaskan pada 1880-an, Pejabat Pentadbiran Rajah Brooke, Pejabat Pos Besar Sarawak, Muzium Etnologi, Muzium Islam, Muzium Kesenian dan banyak lagi. Mereka yang mempunyai jiwa seni dan sejarah, yakinilah bahawa anda pasti memerlukan lebih masa untuk memesrai bandar Kuching ini. Sebab itulah, saya membayangkan jika dapat berjalan kaki di sekitarnya, meneliti setiap tinggalan sejarah, cuba menyelami tinggalan itu…maka pasti ia lebih memberikan kesan kepada jiwa. Sayangnya, masa tidak menyebelahi saya untuk itu semua.

Selepas mengambil angin di India Street (namanya India Street; tapi tak ramai orang India di Kuching sebenarnya dan saya tak berjumpa waima seorang pun di sini), kami pun pulang untuk solat Jumaat. Abang Yasser menyarankan kami solat Jumaat di BDC sahaja, iaitu di Masjid al-Barokah. Bagusnya khutbah Jumaat di sini tidak bertele berjela macam di Semenanjung, padat sahaja dan masjidnya berhawa dingin.

Sehabis solat, saya disapa oleh seorang jemaah di situ. “Bagus anak-anak encik, elok sahaja solat kat belakang encik.” Saya hanya tersenyum. Kemudian beliau duduk sekali bersama-sama saya, abah dan abang Yasser. Saat berta’aruf, baharulah kami tahu beliau adalah setiausaha masjid berkenaan dan namanya Ustaz Safuan. Seorang pendakwah yang juga asalnya beragama Kristian Khatolik. Banyak yang sempat kami bualkan dan jikalah tidak kerana kekangan waktu, bisa sahaja kami ngobrol lebih lama.

Menyentuh mengenai masjid, hakikatnya umat Islam di Sarawak ini tidaklah ramai. Sebaliknya hanyalah minoriti sahaja dalam julat 20 – 25 % begitu. Sebab itulah, syiar Islam yang paling asas di Malaysia, iaitu masjid dan azan juga tidak terserlah di sini. Sepanjang kira-kira seminggu di Sarawak, saya tidak mendengar azan dilaungkan bersahut-sahutan di hening subuh seperti mana di Kuala Lumpur. Abah mertua saya pun naik pelik mengenangkan keadaan ini.  Tetapi itulah realitinya, mujurlah ada orang-orang yang berfikrah Islami seperti mana Ust Safuan ini. Merekalah yang berusaha menyebarkan Islam kepada umat manusia di bumi Borneo ini (Foto: Masjid Bandaraya Kuching).

Jam 3.00 petang, kami harus segera bersiap dan bergegas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. Lapangan terbang ini tidak jauh pun dari rumah abang Yasser, hanya mengambil masa lima ke 10 minit sahaja perjalanan, sudah pun sampai ke balai berlepas.

Urusan ‘check-in’ berjalan lancar dan tiada lebihan berat pun. Sebenarnya saya sudah bersedia awal dengan menambahkan berat bagasi kepada 17 kg bagi setiap penumpang semasa urusan menempah tiket dahulu lagi. Maklumlah, kami pergi nak membeli-belah dan pengalaman agak pahit akibat lebihan berat sehingga terpaksa ‘membuang’ barangan di Bandara Soekarno-Hatta, Jakarta tahun lalu cukup memberikan pengajaran kepada saya. Sementara menunggu waktu ‘boarding’, kami mengudap petang di restoran KFC. Anak saya si Husna pula menangis beriya-iya mahukan permainan yang berharga RM89.90 yang dijual di salah sebuah kedai permainan kanak-kanak di situ. Mujurlah dapat ‘Chicky Meal’ mau diamnya dia…puas sungguh!

Hampir jam lima, kami harus berpisah. Saat itu terasa pula sedihnya nak berpisah dengan abang Yasser sekeluarga. Kami bersalam-salaman dan berpeluk-pelukan. Aisyah anak abang Yasser pasti sunyi dan rumah abang Yasser dan Kak Nen juga pasti ‘kematian punca’ buat seketika. Saya enggan melayan perasaan hiba, tapi Kak Nen mengalirkan air mata. Seminggu di rumah mereka, kami puas berjalan ke sana ke mari bersama-sama. Keluar pagi pulang petang bersama. Makan di rumah makan di luar bersama. Anak menangis susah hati sama-sama.

Sebelum terlupa, terima kasih buat Muammar, adik ipar saya justeru sudi menaja sewaan Innova berjumlah lebih RM800 sepanjang di Sarawak. Juga untuk abang Yasser dan Kak Nen sekeluarga, kami ucapkan ribuan terima kasih atas segalanya. Makanan yang enak di rumah, bilik yang selesa berhawa dingin, kemudahan internet untuk saya mengakses blog dan FB bagi meng’up-date’kan cerita dan pelbagai lagi budi baik yang hanya Allah SWT dapat membalasnya.

Akhir kata, terimalah pantun ini sebagai kenangan bersama…

Sungai Kuching mengalir tenang, di tebingnya pula ramai peniaga; budi baik tetap dikenang, semoga Allah memberkati kita semua, amin.

Nota: Alhamdulillah, AK5211 Airbus Air Asia selamat mendarat di KLIA (LCCT) kira-kira jam 7.30 malam. Abang Yasser mengirim SMS…”Nasi terhidang tapi kami tiada selera…” Hu…hu…

Related Post

Leave a Reply