• Sat. Jan 16th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Kerajaan Malaysia, belajarlah dari Jepun

Byadmin

Mar 18, 2011

Nota: Dihantar ke Malaysiakini.com dan Harakahdaily.net

Jumaat lalu, saat mulanya terjadi bencana Tsunami di Jepun, kala itu saya baharu sahaja duduk di kerusi di meja kerja. Jam di komputer menunjukkan kira-kira pukul 3.00 petang. Sahabat saya seakan menjerit kala memberitahu, laporan The Telegraph (akhbar versi talian) melaporkan, Jepun dilanda gempa berukuran sangat tinggi dan diikuti tsunami. Hati saya dipalu laju. Tsunami, selalunya meragut banyak nyawa dan memusnahkan harta. Musibah sudah melanda! Dan hari ini (Jumaat, 18 mac 2011, jam 3.00 petang), saat saya mula menaip entri ini, maka genaplah sudah seminggu Tsunami menyapu Sendai, Jepun.

Bagi saya, tsunami adalah peringatan, boleh jadi juga pembalasan dan boleh jadi juga ujian mahu pun cara Allah memberikan didikan. Memang ulamak sudah membahagikan musibah itu kepada beberapa jenis, misalnya Musibatul Jazak, Musibatut Tarbiyyah dan Musibatul Bala’.

Malaysia mungkin merasa lega, kerana kebetulan dari segi geografinya negara sederhana besar ini (Malaya Semenanjung + Malaysia Borneo) berada di luar dari Lingkaran Api Pasifik. Lingkaran Api Pasifik (bahasa Inggeris: Ring of Fire) merujuk kepada kawasan yang terletak mengelilingi Lautan Pasifik, yang kerak buminya pecah dan bergeser atau apa yang dikenali sebagai plat tektonik. Kawasan ini berbentuk seperti ladam kuda dan merangkumi wilayah sepanjang 40,000 km. Kawasan ini juga sering disebut sebagai plat gempa Pasifik.

Hampir 90% daripada gempa bumi yang terjadi dan 81% dari gempa bumi terbesar terjadi di sepanjang Lingkaran Api ini. Daerah gempa berikutnya (5–6% dari seluruh gempa dan 17% dari gempa terbesar) adalah plat Alpide yang merentangi dari Jawa ke Sumatera, Himalaya, Mediterranean hingga ke Atlantik. Berikutnya adalah Rabung Tengah Atlantik. (Sumber dari http://ms.wikipedia.org/wiki/Lingkaran_Api_Pasifik)

Namun begitu, Malaysia sebenarnya mestilah sentiasa berwaspada. Secara analitikal, tragedi yang lebih ruwet adalah kejadian rentetan pasca tsunami seperti letupan loji nuklear. Bagi saya, apa yang telah dan sedang berlaku ini adalah kerana kesilapan pihak Kerajaan Jepun sendiri dalam menjangka masa hadapan. Akibat kegagalan membuat perkiraan, kini hampir seluruh rakyat Jepun merasa bahananya. Bahkan, ia menular pula ke beberapa bahagian dunia. Khabarnya, Eropah dan Barat juga bakal menerima habuan tidak lama lagi.

Kenapa saya berkata demikian? Semua maklum bahawa Jepun pernah merasai peritnya bahana nuklear lewat pengeboman Hiroshima dan Nagasaki pada 1945. Kemusnahan yang mereka tanggung meninggalkan luka dan parut yang amat dalam. Mereka terpaksa membayarnya atas keangkuhan mereka sendiri (maaf bicara, juga atas keputusan Kerajaan Jepun semasa itu untuk menyerang dan menakluki negara-negara jiran sehinggalah mereka bertembung dengan Barat dalam Perang Dunia Ke-2). Akibatnya, ia telah memaksa Amerika Syarikat untuk ‘menguji’ kecanggihan senjata nuklearnya ke atas Jepun!

Kerajaan Jepun wajar sedar, kedudukan muka bumi dan kerak bumi Jepun adalah tidak stabil dan amat berisiko dengan pelbagai kejadian, seperti gempa bumi yang menjangkau 10 skala Richter itu. Lebih membimbangkan, gempa bumi berkenaan sudah pasti mampu memberi kesan yang pelbagai, termasuklah tsunami di samping kesan-kesan lain seperti rosaknya loji nuklear yang pastinya membawa risiko seperti kebocoran reaktor, letupan dan kebakaran.

Nah! Hari ini, apa yang dibimbangi oleh International Atomic Energy Agency (EIEA) sejak dua tahun lalu sudah pun berlaku. Bak kata pepatah, sudah terhantuk baru terngadah. Hampir sia-sia rasanya usaha kerajaan Jepun mengawal kebakaran dan pencemaran radioaktif dibandingkan kesulitan dan risiko yang sedang dihadapi oleh rakyatnya sendiri. Menyesal dahulu pendapatan; menyesal kemudian tiada gunanya.

Sesungguhnya, apa yang dialami oleh Jepun ini patut sangat menjadi iktibar kepada mana-mana negara dan ia termasuklah Kerajaan Malaysia, agar menghentikan secara sepenuhnya usaha membangunkan loji nuklear ini. Sebutlah apa sahaja faedahnya, namun mengambil risiko yang tinggi bukanlah daripada ajaran agama Islam. Bukankah dalam kaedah fiqh ada menyatakan: ‘Mengambil mudarat yang lebih ringan’ itu patut lebih diutamakan.

Apatah lagi Allah SWT telah menganugerahkan Malaysia dengan 1001 kekayaan alam. Manfaatkan ratusan sungai dan jeram untuk menjana tenaga. Kaedah tenaga-hydro ini bukan sahaja tidak menimbulkan risiko radioaktif; bahkan lebih mesra alam.

Jika ditinjau kepada Jepun, mereka sepatutnya lebih mengutamakan alam dalam mencari alternatif sumber tenaga. Matahari adalah salah satu sumber tenaga yang amat besar dan tidak mencemarkan. Begitu juga angin malahan air laut. Semuanya mampu menjadi sumber tenaga yang bukan sahaja selamat, bahkan bersih, tiada pencemaran dan paling penting, tidak melepaskan walau sebesar zarah radioaktif kepada penggunanya. Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply