• Mon. Jan 25th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Tulisan saya dalam Utusan Mega – Khamis, 5 Nov 09

Byadmin

Nov 6, 2009

Berikut adalah tulisan saya dalam ruangan Agama di Utusan Mega…iaitu dalam siri Jejak Asnaf.

KETIKA berbual dengan Pegawai Agihan Zakat, Mohd. Aqmal di Selayang, Selangor, baru-baru ini, penulis ditunjukkan sehelai brosur berwarna-warni. “Cantik!” desis hati penulis. Tanpa dipinta, Aqmal memberitahu, “Ini adalah perniagaan asnaf zakat kita.

Alhamdulillah, mungkin tahun ini dia akan terkeluar daripada garis kemiskinan. Bisnesnya dah makin maju.”

“Wah! Jarang asnaf kita yang menyertai perniagaan seperti ini. Pasti hebat orangnya?” Penulis menyerkap jarang. Maklumlah, perniagaan yang diceburi oleh asnaf ialah berkenaan pusat kecantikan.

Bagi penulis, ia adalah perniagaan eksklusif. Maka, ruangan Jejak Asnaf kali ini akan menyelusuri usaha niaga asnaf zakat bernama Fauziah Masutan, 35 atau lebih mesra dikenali Azie.

Beliau kini menguruskan Pusat Kecantikan Aznan Slim & Beauty, di Kampung Nakhoda, Selayang, Selangor.

Pandangan pertama kala masuk ke pusat kecantikan itu, Azie benar-benar menjalankan perniagaan secara profesional. Susun atur pusat kecantikannya kemas dan rapi. Bahkan dekorasi dalamannya juga mencerminkan imej bergaya, santai namun tetap praktikal.

“Saya ini asalnya orang susah. Kampung saya di Tanjung Medan, Sg. Panjang. Saya baru berpindah ke Selayang ini pada tahun 2005,” beliau memulakan bicara.

“Semasa di Sungai Panjang, saya berniaga makanan. Semasa itu juga saya harus menyara empat anak dan juga menanggung biaya rawatan bekas suami yang sakit.

“Ustaz bayangkanlah, saya sering berjalan pergi balik ke kedai makan sejauh empat kilometer dengan mengheret tanak-anak. Untuk menaiki bas, tambang nak kena bayar. Setelah lama mengumpul duit, barulah saya mampu membeli basikal,” kata Azie.

Kala itu, kelibat anak gadis tampil menghidangkan kek keju dan dua cawan minuman panas.

“Inilah salah seorang anak saya. Kini, dia membantu saya sepenuhnya mengembangkan perniagaan ini,” katanya.

Azie dianugerahkan empat anak hasil perkongsian hidupnya bersama bekas suami, iaitu Siti Nurul Faizatul Akma, 19; Siti Nurul Aziatul Fatimah, 17; Mohd. Alamin, 16 dan Siti Nurul Zaitul Ain, 13.

“Kami menyewa rumah buruk semasa itu di kawasan bendang. Ustaz bayangkan, binatang berbisa sering masuk ke rumah kami. Pernah sekali, ular hitam bergayut dekat bilik air. Tuan rumah pula minta RM100 sebulan, tapi saya tak mampu. Saya merayu hinggalah dikurangkan kepada RM60.

“Tidak lama kemudian, keluarga saya didaftarkan sebagai asnaf miskin di Lembaga Zakat Selangor (LZS) Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), iaitu sekitar tahun 2003.

Alhamdulillah, LZS memberikan bantuan kepada anak-anak yang bersekolah dan bantuan menyambut hari raya. Cuma atas suatu masalah peribadi, bekas suami saya enggan menerima bantuan rumah,” jelasnya.

Penulis cuba mengorek lagi, adakah perniagaan yang dijalankan tidak membawa keuntungan?

“Sebenarnya, perniagaan kami boleh tahan juga. Tapi, adalah sedikit sebanyak masalah peribadi yang tidak mampu saya paparkan di sini. Akhirnya, pada tahun 2005 kami berhijrah ke Selayang.”

Rupa-rupanya, dentuman guruh di langit, tidak membawa hujan yang diharap. Betullah pesanan orang tua, air di tempayan dibuang jangan. Demikianlah liku-liku kehidupan Azie. Di Selayang, beliau diceraikan oleh bekas suaminya akibat sedikit pertelingkahan.

“Setelah berpisah, saya tekad membawa anak-anak. Saya tidak reda berpisah dengan mereka. Demi meneruskan kehidupan, saya melakukan apa-apa kerja yang patut, termasuklah di salon kecantikan dan di kedai buku. Namun, pendapatannya tidak seberapa.

“Hinggalah pada satu hari, seorang guru di sekolah anak saya kakinya terseliuh. Saya menawarkan diri mengurut dan alhamdulillah, kakinya pulih seperti sediakala.

“Mulai dari saat itulah, nama saya mulai meniti daripada bibir ke bibir, dan khidmat urut saya semakin berkembang. Saya bukan sekadar mengurut kerana tergeliat, tetapi juga urutan untuk ibu-ibu lepas bersalin dan juga urutan badan. Tetapi hanya untuk wanita,” jelas Azie.

Ibu muda ini meneruskan lagi tanpa dipinta. Tampak beliau begitu teruja berkongsi ceritanya.

“Saya memang jenis tidak suka duduk diam. Umur pun masih muda. Saya mengikuti pelbagai jenis kursus jangka pendek anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Kolej Komuniti.

“Hasilnya, saya beroleh kemahiran dalam pelbagai jenis masakan, misalnya penyediaan kek dan roti, pengurusan katering dan juga pengurusan kewangan perniagaan. Semakin hari, saya semakin bercita-cita menjalankan perniagaan kembali,” katanya bersemangat.

Rupa-rupanya, perceraian yang berlaku memberi harapan baru. Beliau semakin bebas menentukan hala tuju.

“Di Selayang, saya mencuba lagi memohon beberapa bantuan di LZS, misalnya bantuan untuk memulakan perniagaan. Alhamdulillah, LZS meluluskan bantuan kira-kira RM10,000 bagi saya menjalankan perniagaan ini.

“Ditokok dengan simpanan dan lain-lain sumber, akhirnya berdirilah Aznan Slim & Beauty Centre ini.

“Saya bersyukur ustaz, hasrat di hati saya makin dikabulkan Allah SWT. Dengan tertegaknya perniagaan ini, saya kini mampu memperoleh pendapatan bersih kira-kira RM1,000 sebulan. Saya sudah berpakat dengan anak-anak dan suami, kami akan menyewa tiga pintu lagi rumah kedai di sini untuk perniagaan kafe.

Azie kini sudah mendirikan rumah tangga kali kedua bersama Haznan Hassan, 46, seorang yang telah lama menjalankan perniagaan pembinaan.

Kini, penulis sudah mampu melihat sinar cerah yang bakal terus menyinari kehidupan Azie sekeluarga.

Pihak-pihak berkaitan, misalnya Persatuan Ibu Tunggal dan Mara turut mengiktirafnya dengan memanggil beliau memberi motivasi.

“Ustaz, saya ingat sangat-sangat pesanan arwah ibu saya, bahawa dalam hidup ini kita kena banyak bersabar dan banyakkan berdoa. Barulah dapat keberkatan di sisi Allah. Bahkan saya berazam, menjelang hujung tahun ini saya akan mengeluarkan zakat pendapatan pertama saya, insya-Allah.”

Penulis dan Mohd. Aqmal mengambil peluang melawat premis beliau, ternyata amat berbaloi.

Pusat kecantikan itu kini menawarkan rawatan muka, solekan wajah, manikur/ padikur, lulur, sauna infra merah, sauna herba, mandi bunga, mandi susu, mandi rempah, mandi ais dan wap, mandi garam, urutan badan dan banyak lagi dengan pakej dan harga yang amat berpatutan.

Benarlah, kesabaran adalah azimat asal ia disertai doa dan usaha penuh kecekalan. Mereka yang berminat mendapatkan perkhidmatan, Aznan Slim & Beauty, beliau boleh dihubungi di talian 012-321 5748.

Related Post

Leave a Reply