• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

UBAT JIWA YANG KACAU

Byadmin

Sep 21, 2011

Menguruskan kehidupan duniawi memang sukar dan mencabar. Apatah lagi bagi orang-orang yang diberikan anugerah kekayaan. Mereka mesti berusaha memastikan setiap unit harta yang dikuasai, tidak hilang begitu sahaja. Bahkan bagi seorang muslim, dia mesti berusaha mengurus hartanya agar membuahkan hasil yang berpanjangan dunia dan akhirat. Itulah baharu dinamakan berkat.

Maka, pasti kita pernah terdengar betapa ada orang berkeluh-kesah, perihal kekayaan yang dimiliki namun membuncah kekalutan dalam hati. Jiwanya kacau. Fikirannya tidak tenteram. Sering meracau. Sering kelam. Rumah yang besar, ibarat menjadi penjara dunia. Setiap inci dipasang jeriji, ditambah kamera litar tertutup dan dipasang pengawal petang dan pagi. Semua ini, tanpa sedar atau tidak, adalah manifestasi terhadap kekacauan jiwanya dalam menanggulangi pemilikan harta yang diberi.

Pernah terjadi, seorang kaya yang amat bimbang tentang hartanya daripada dicuri. Rumahnya yang selamat masih dirasa serba kurang, sehinggakan dia hanya merasa benar-benar selamat apabila sudah memasuki kamar peraduan. Apabila sudah di kamar, si kaya yang punya seorang isteri dan tiga anak itu, tidak akan keluar lagi dari kamarnya hingga esok pagi. Segala komunikasi dengan ahli keluarganya, hanya dilakukan lewat telefon bimbit sahaja.

“Along, di mana sekarang?” Satu malam si kaya menelefon anak sulongnya. “Along di dalam bilik ni ayah…” Jawab anak lelakinya yang sudah pun berusia 24 tahun. Kemudian si lelaki menelefon anak keduanya, angah. “Ya ayah, angah dalam bilik sedang membaca.” Jawab angah, anak gadisnya yang berusia 21 tahun. Sehinggalah akhirnya, anak ketiganya, turut melaporkan. “Ya ayah, acu dalam bilik sedang menonton TV.”

Demikianlah rutin si kaya dengan ahli keluarganya. Menjelang jam 10 malam, apabila sudah memasuki bilik tidur masing-masing, maka si kaya tidak akan mahu keluar lagi dari kamarnya sehinggalah keesokan paginya. Dia bukan sekadar menelefon bertanya kondisi anak-anaknya, bahkan siap berpesan: “Along, angah dan acu, jangan keluar dari bilik. Di luar bilik tidak selamat, ayah bimbang ada orang jahat mahu masuk mencuri. Duduk sahaja dalam bilik.”

Satu malam, kurang lebih jam 10, saat baharu sahaja memasuki kamar tidurnya, tiba-tiba pintu pagar hadapan rumahnya yang besar dan teguh menerima tamu. Loceng berbunyi berdenting-dentang ditekan tamu tanpa undangan berkali-kali. Si kaya memandang isterinya, di wajahnya jelas tepamer ketakutan. Tanpa lengah, segera dia menelefon balai polis berdekatan dan memaklumkan, kononnya ada orang jahat sedang cuba memasuki rumahnya.

Kemudian, si lelaki segera menelefon anak-anaknya. Anak sulongnya sedang di dalam bilik, lalu dia berpesan: “Along, jangan keluar bilik. Di luar ini ada penjahat sedang cuba memasuki rumah. Ayah sudah menelefon polis.” Demikian jugalah kepada anak keduanya. Dia berpesan beriya-iya agar tidak keluar dari bilik peraduannya.

Kemudian si kaya menelefon anak ketiganya. “Acu…acu di mana sekarang?” Soalnya buru-buru. “Acu ada di luar ayah…” Balas acu dengan tenang. “Apa? Luar bilik? Cepat masuk bilik sekarang acu. Ada orang di pagar luar rumah, dia dah tekan loceng berulang kali. Ayah pasti itu penjahat yang sedang cuba memasuki rumah kita.” Tergopoh-gapah si ayah cuba meleraikan masalah. Dia bimbang, selagi anaknya tidak berada di dalam bilik, maka semuanya masih belum selamat.

“Ayah, acu memang ada di luar…acu di pagar rumah ni, acu lupa bawa kunci rumah, acu yang tekan loceng rumah…bukannya pencuri!!!”

Nah! Inilah kisah sebenar segelintir masyarakat yang menjadi gambaran sepintas lalu betapa kacaunya jiwa dan galaunya minda, apabila diri berada dalam ketakutan melampau terhadap keselamatan diri dan harta-benda. Rumah yang selamat dirasa tidak cukup tempat, sehinggakan kamarnya yang kecil itulah dirasakan paling selamat. Alangkah ruginya, nikmat harta sudah hilang diganti bebanan perasaan yang mendekam dan mengekang.

Seandainya kita meneliti dengan mata hati yang suci, pasti akan terpacul persoalan: Kenapa harus jadi begini? Kenapa ada manusia yang ditimpa perasaan takut sehingga menyiksa diri? Kenapa ada orang yang hilang kepercayaan kepada orang lain, bahkan sehingga sanggup mencipta ‘zon selamat’ sendiri di rumahnya? Bahkan banyak lagi persoalan yang boleh dibangkit, namun satu perkara sahaja harus diungkit: ‘apakah puncanya?’

Allah SWT lalu melontarkan beberapa siri jawapan di dalam al-Quran, agar kita dapat menjadikannya panduan. Allah SWT menjelaskan. “Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar,” (al-Baqarah, 155)

Manakala di sini, Allah SWT menerangkan lagi: “Kamu sungguh-sungguh akan diuji terhadap hartamu dan dirimu.” (ali-Imran: 186)

Walau bagaimanapun, Allah SWT yang Maha Pengasih telah pun menyajikan solusinya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman, mengerjakan amal soleh, mendirikan solat dan menunaikan zakat, mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati (berdukacita terhadap kekayaan yang dimilikinya – pen).” (al-Baqarah: 277). Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply