• Sat. Jan 16th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Uniknya ‘Harta Sepencarian’

Byadmin

Jan 6, 2010

Ketika mengikuti kursus pengajian syariah, Universiti Malaya suatu ketika dahulu, saya difahamkan tentang suatu subjek iaitu kaedah-kaedah fikah atau dalam bahasa Arab-nya dikenali sebagai qawaid al-fiqhiyah. Secara umumnya, ia adalah tatacara atau kaedah yang menjadi asas bagi pengembangan fikah Islam. Misalnya, bagaimana membentuk sesuatu hukum di sisi syariat yang sebelumnya tiada, namun perlu ada berdasarkan keadaan tertentu. Ia boleh sahaja dipengaruhi misalnya keadaan semasa dan setempat.

Apa kaitan perkara di atas dengan ruangan Mengurus Harta pada kali ini? Ya, kerana kita akan memfokuskan kepada suatu perkara unik yang telah dicetuskan oleh kaedah fikah di atas, iaitu apa yang dinamakan sebagai ‘Harta Sepencarian.’

Harta Sepencarian ini dibentuk hasil daripada satu kaedah fikah yang dinamakan al-‘adatul muhakkamah. Ia bermaksud, sesuatu adat kebiasaan yang dijadikan sebagai rujukan hukum, dengan syarat adat kebiasaan itu tidak bercanggah syarak (al-Quran, al-Hadis, ijmak dan qiyas), adat itu umumnya memang diamalkan oleh masyarakat berkenaan, hukum asal adat tersebut tidak pula berubah mengikut perubahan masa dan tiada pula bantahan sesama masyarakat berkenaan tentang adat yang mereka amalkan.

Dalam konteks Malaysia, sejak zaman dahulu lagi sudah menjadi adat kebiasaan bagi pasangan suami dan isteri keluar berkerja mencari rezeki. Jika suami ke baruh isteri ke baruh sama, suami ke ladang isteri pun ke ladang berhuma, suami ke bendang si isteri pun berbajak ke bendang. Bahkan jika si suami ke laut maka si isteri menyiang ikan bagi dibuat keropok untuk jualan. Inilah budaya yang sudah menjadi adat setempat dan akhirnya, wujudlah suatu kaedah hukum syarak yang dinamakan Harta Sepencarian ini. Hukum ini spesifik dan unik, kerana ia tidak wujud di belahan negara Arab atau Timur Tengah, justeru adat kebiasaan mereka di sana adalah berbeza. Di sana, majoritinya si suami wajib menyediakan segala kelengkapan buat isterinya.

Oleh itu, topik Harta Sepencarian ini memang tiada dalam kamus undang-undang syariah sebelum ini. Ia tidak menjadi topik utama di kalangan fukahak, dan tiada satu dalil pun yang jelas mengenainya. Namun, kewujudannya di Malaysia adalah suatu keperluan, khususnya demi memberikan keadilan kepada pasangan suami isteri yang bercerai. Apabila berlakunya perceraian, maka harta itu hendaklah dibahagikan di antara mereka kerana ia adalah harta sepencarian.

Di sisi Islam, konsep Harta Sepencarian ini sebenarnya menepati kehendak Allah SWT, sebagaimana yang telah ditegaskan melalui naqal-Nya: “Orang –orang lelaki beroleh bahagian daripada usahanya dan orang-orang perempuan beroleh bahagian daripada usahanya juga,” (an-Nur: 32).

Kesimpulannya, suami dan isteri wajar memahami bahawa dalam perkongsian rumah tangga, mereka bukan sekadar berkongsi anak-anak; namun mereka juga berkongsi harta. Sungguh pun di sisi undang-undang Islam telah memperuntukkan Harta Sepencarian ini; namun janganlah pula ada yang dengan sengaja mahu mencari jalan meruntuhkan rumah tangga yang telah dibina. Ia hanyalah suatu kaedah di sisi Islam demi menjamin keadilan semua pihak.

Sebaliknya sebagai suami isteri yang soleh dan solehah, kita wajar mempertahankan rumah tangga yang telah dibina. Seperti mana yang pernah dinukilkan oleh Rasulullah SAW: “Orang-orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang paling baik akhlaknya dan sebaik-baik manusia daripada kalangan kamu ialah mereka yang paling baik kepada isterinya,” (Riwayat Abu Daud). Maka demikian jugalah di pihak isteri, pupuklah diri agar menjadi suri yang solehah, kerana janji nabi: “Apabila seseorang isteri meninggal dunia dan suaminya redha kepadanya, maka ia akan masuk syurga,” (Riwayat Tirmidzi dan Ibn Majah). Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply