• Sat. Jan 16th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Walimatul Urus Ecah

Byadmin

Dec 10, 2010

Sabtu dan Isnin minggu lalu (4 & 6 Dis 2010), adalah hari-hari kenduri pernikahan adik saya, Nur A’isah atau panggilan dalam famili Ecah. Teringat saya, dahulu adik-adik saya ini kecil-kecil belaka. Sewaktu saya melangsungkan pernikahan pada tahun 1998, mereka semuanya masih di alam persekolahan. Kini, seorang demi seorang adik-adik saya memasuki gerbang pernikahan.

Ecah atau Mak Yang (panggilan anak-anak saya), pernah tinggal bersama saya sekeluarga semasa di Serendah. Sudah menjadi rezeki saya dan isteri, selalu sahaja anak kami lahir dan ketika itu adik-adik saya pun baharu menamatkan SPM. Semasa Abang Yang lahir, Mak Yang lah yang menjaganya. Maklumlah, isteri saya sewaktu itu masih bergelar pelajar, cuti bersalin hanya dua minggu sahaja.

Saya masih ingat, anak kedua kami – Ihya’ Hakim – saat masih kecil sering menangis. Suaranya memang kuat. Nyaring dan membingitkan. Jika sudah mula menangis…aduhai, tak larat nak mendengarnya. Ketika itu, kami memanggil namanya Ihya’.

Entah kebetulan, anak kedua kami itu selalu menangis dan kuat berak-berak. Agaknya, panggilan Ihya’ itu kurang sesuai. Yalah, dalam bahasa Perak…Yak itu dekat dengan dua perkara, pertama Teghoyak dan kedua, berak. Kebetulan yang menjaga anak kami adalah Mak Yang, maka kami bercadang menukar panggilannya sesuai dengan nama Mak Yang.

Dari situlah, akhirnya kami sekeluarga sepakat memanggil Ihya’ dengan Yang. Walhal, dalam tradisi orang Perak, Yang adalah nama gelaran bagi anak ketiga. Ecah memang sesuai dipanggil Mak Yang, kerana dia anak ketiga. Sedangkan anak kami, anak kedua.

Tetapi, panggilan itu nampaknya serasi dengan anak kedua kami dan hingga kini, kekallah kami memanggilnya Abang Yang.

Apa-apa pun, banyak kenangan lalu semasa Ecah tinggal dengan kami. Masih saya ingat, dia suka menangkap ikan tilapia di tasik hadapan rumah kami. Ikan-ikan itu Ecah masukkan ke dalam akuarium. Tapi ganasnya…Ya Rabbi! Namun, insiden yang paling saya tak boleh lupakan, apabila Ecah memasak ikan tilapia yang dibelinya, dan saya terlekat tulang pula. Hampir setahun juga rasanya, saya berpantang menjamah tilapia…trauma dengan tulangnya.

Semoga Ecah dan Yunus bahagia melayari bahtera rumahtangga. Ingatlah, hiasi masjid yang sudah dibina dengan amalan yang sesuai – ada solat jemaahnya, ada bacaan al-Quran, ada kuliah agama dan ada seruan kebaikannya – kita mesti mahu, bukan sekadar berpimpinan tangan di dunia; tetapi juga di akhirat sana. Berdua, melangkah kaki masuk ke syurga, amin.

Related Post

Leave a Reply