• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Wanita idaman yang pemalu…

Byadmin

May 29, 2009

Prolog: Dedikasi buat isteriku dan anak-anak gadis kecilku yang tercinta, juga adik-adik perempuanku di luar sana…

Hari ini kita sering dihadapkan dengan fenomena wanita Islam yang mencarik adat dan syariat. Pergilah ke mana-mana, mata kita pasti sukar lari daripada kehadiran wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, wanita yang hakikatnya wanita tetapi zahirnya menyerupai lelaki, wanita yang seksi lagi seksa membuka aurat dan wanita yang rela dirinya dicap sebagai penzina…wal ‘iyazubillah!

Kenyataan ini mungkin keras bagi sesetengah orang, namun kita patut bertanya kembali, adakah wajar kita membiarkan wanita Islam terus berada dalam kejahilan dan maksiat tanpa usaha sedikit pun untuk mengubahnya. Tidak takutkah kita kepada apa yang pernah Nabi Muhammad SAW sabdakan: “Aku melihat ke syurga, maka kelihatan olehku kebanyakan penghuninya ialah orang-orang miskin. Dan aku melihat pula ke neraka, maka kelihatan olehku kebanyakan penghuninya ialah wanita.” (Hadis Riwayat Muslim daripada Ibnu Abbas)

Persoalannya kenapa ramai wanita? Kenapa bukan lelaki? Atau kenapa bukan ramai orang kaya…?

Jawapannya, kerana wanita memang terdedah kepada dosa. Mereka bagi saya adalah barangan ‘fragile’ yang perlu ditangani dan dijaga sebaik-baiknya. Tidak boleh dibiarkan terdedah kepada anasir-anasir luar yang mampu merosakkan mereka, menyebabkan akhirnya mereka masuk ke neraka! Dan tugas serta tanggung jawab menjaga wanita ini, adalah tugas lelaki. Sama ada namanya suami, datuk, paman hatta anak sendiri!

Mari kita imbas asal-usul kejadian wanita. Setelah Nabi Adam a.s diciptakan oleh Allah SWT dan berbahagia di syurga, Adam dirundung sunyi keseorangan. Allah SWT maha tahu apa yang tersirat di hati Adam. Maka, saat Adam ketiduran, Allah SWT ciptakan Hawa daripada tulang rusuk sebelah kirinya.

Diriwayatkan bahawa, Hawa adalah ciptaan Allah yang sangat sempurna. Paras rupa fizikalnya menarik sekali, wajahnya jelita, kulitnya mulus dan tubuhnya mendebarkan dada yang melihat. Lebih daripada itu, Hawa juga dilengkapi oleh Allah dengan sifat-sifat aksesori, iaitu lemah-lembut, sopan-santun dan halus perwatakannya dan yang paling penting ialah sifat malu. Ya, perasaan halus yang tertanam di lubuk hatinya.

Saat Adam terjaga dan terlihat Hawa, Adam terkasima. Namun Hawa merasa malu, walau Hawa tahu dia diciptakan Allah untuk Adam kala itu. Malulah perisai Hawa dalam menjaga kedudukan dirinya.

Demi sebuah kelangsungan, maka Allah SWT menikahkan mereka di syurga. Maharnya adalah salawat ke atas nabi. Saksinya para malaikat dan diraikan oleh para bidadari.

Inilah dia asal-usul wanita yang ada di muka bumi hari ini. Semuanya berasal daripada Hawa. Semua wanita mewarisi sifat wanita sejati yang dimiliki oleh Hawa, iaitu rupa paras yang menarik, kehalusan pekerti dan juga sifat malu sebagai benteng diri. Maknanya, jika ada wanita yang sengaja membiarkan diri menjadi ‘pengkid’, maka wanita itu telah melanggar fitrah asal penciptaan wanita. Jika ada wanita yang sengaja melawan naluri mendedahkan aurat diri sebagai ‘bohsia’, maknanya dia sengaja mencabut rasa dan sifat ‘malu’ yang sedari awal sudah tertanam dalam dirinya. Dia sudah mencabut fitrah dirinya.

Bukankah saat Adam mahu mendatangi Hawa, Hawa masih mengekalkan sifat malu. Sungguh…Hawa tidak rela membiarkan nafsunya menguasai diri dan dipandu melulu mendapatkan Adam. Sedang kala itu, hanya mereka berdua di dalam syurga. Mereka bebas melakukan apa-apa sahaja. Namun malunya Hawa, menjadi hijab sehinggalah mereka diijab kabulkan Allah.

Inilah sifat wanita sejati. Malu pada tempatnya. Malu yang mampu mengawal diri daripada terjebak ke dalam kancah kerosakan dunia ini. Malu yang zahirnya, kian terhakis daripada kebanyakan wanita moden hari ini.

Bahkan kata hukamak, buah kepada manisnya akhlak wanita ialah malu. Cuba lihat, dengan malu itulah maka si lelaki menjadi lebih tertarik dan makin tertarik kepada wanita. Ibarat mahu menangkap si merpati, nampak jinak namun terbang bila didekati. Bukankah ia menimbulkan rasa makin ‘berahi’ kepada lelaki? Terasa puas bila dimiliki berbanding merpati yang terikat kaki terpasung diri.

Hakikatnya lagi, malu inilah pakaian utama wanita. Apabila malu ini hilang, maka zahirlah segala kefasadan. Bahkan tidak keterlaluan dinyatakan, banyak kerosakan berlaku di atas dunia ini, apabila wanita sudah hilang sifat malunya. 

Cuba kita teliti beberapa peringatan Nabi SAW ini, adakah wanita kita hari ini sudah melakukannya ataupun belum:

Satu: Rasulullah saw bersabda bermaksud: “Tiga golongan yg tidak akan masuk syurga….(antaranya): perempuan yang meniru dan berkelakuan seperti lelaki,” (Riwayat Ahmad).

Dua: “Sesiapa saja wanita yang memakai minyak wangi, kemudian ia keluar, lalu ia melewati satu kaum (orang banyak) supaya mereka mendapati (dengan sengaja dapat mencium) baunya, maka dia itu adalah perempuan zina,” (Hasan riwayat Ahmad, Nasa’i, Abu Dawud, Tirmidzi, Ibnu Hibban, Hakim, Ibnu Khuzaimah dan Thahawi dari jalan Abu Musa]

Ini baharu bab menyerupai lelaki dan memakai minyak wangi (yang berlebih-lebihan), bagaimana pula bab mendedahkan diri. Membiarkan diri menjadi penganan kepada mata-mata jalang lelaki ajnabi? Aduh…takut saya membayangkannya. Kerana, semuanya mendatangkan murka Allah juga dosa. Akhirnya ke mana…pastilah ke neraka!

Oleh itu, marilah wahai wanita Islam, semai kembali rasa malu dalam diri dan anak-anak gadis kita. Semai sejak mereka masih di dalam buaian lagi. Jangan biarkan mereka mendedahkan aurat walaupun usianya baharu tiga tahun, kerana itulah benih ‘keingkaran’ yang mungkin akan tumbuh 30 tahun akan datang. Ingatlah akan pesan Salman Al-Farisi, mengenai hadis malu, katanya: “Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla apabila hendak membinasakan seorang hamba, maka Ia mencabut darinya rasa malu. Bila rasa malu telah dicabut, maka engkau tidak akan menemuinya kecuali sebagai orang yang murka dan dimurkai…”

Berkata juga Imam an-Nawawi: “Hakikat daripada malu adalah akhlak yang muncul dalam diri untuk meninggalkan keburukan, mencegah diri daripada kelalaian….” (Riadus Salihin)

Wallahua’lam

Related Post

Leave a Reply