• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

YAKINI PENGURUSAN YANG AMANAH

Byadmin

Nov 2, 2011

Foto kredit www.mbg.com.my

Soalan: Saya mempunyai sedikit pengalaman yang tidak enak dengan sebuah institusi zakat, iaitu ada permohonan jiran saya yang begitu lambat diproses. Ia menyebabkan saya enggan lagi membayar zakat kepada mana-mana pusat zakat dan lebih selesa menyerahkannya sendiri kepada asnaf zakat berkenaan. Soalan saya, apakah hukumnya jika saya enggan memberikan zakat kepada institusi zakat dan mengagihkannya sendiri? Terima Kasih.

Jawapan: Terima kasih kerana sudi memberikan pertanyaan. Memang tidak dinafikan, isu-isu seperti inilah yang menjadi hambatan kepada semua institusi zakat. Namun, ia tidaklah 100 peratus mencerminkan bahawa institusi zakat telah gagal. Banyak aspek lain yang perlu diperhatikan, misalnya di sebalik kisah kegagalan segelintir orang dalam memperolehi bantuan; sebenarnya begitu banyak pula kisah kejayaan asnaf zakat yang boleh dijadikan pedoman. Mereka ini menjadi bukti, bahawa institusi zakat telah cuba berusaha memainkan peranan setakat terdaya demi membantu mereka.

Oleh itu, adalah tidak wajar sekiranya hanya sedikit kesilapan, maka masyarakat terus hilang kepercayaan dan memberikan label negatif kepada semua institusi zakat. Bahkan, apa yang wajar dilakukan oleh masyarakat, ialah mereka mesti berusaha memperbetulkan kesilapan institusi zakat dengan menegur, memberikan idea, pandangan dan memantau perjalanan intstitusi zakat agar selari dengan syariat, sebagaimana yang diisyaratkan Allah SWT lewat firman-Nya yang bermaksud: “Dan berpesan-pesanlah (di antara kamu) dengan kebenaran, dan berpesan-pesanlah (di antara kamu) dengan kesabaran.” (al-‘Asr: 3-4)

Berbalik kepada persoalan saudara di atas, dan secara jujurnya menerusi pelbagai medium telah pun dijawab sebelum ini, bahawa hukum mengagihkan sendiri zakat kepada asnaf atau mustahiq, hukumnya adalah sah tetapi tidak afdal. Bahkan, jika merujuk kepada keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada tahun 2006, mengagihkan sendiri zakat hukumnya adalah sah tetapi berdosa; kerana mencanggahi perintah ulil ‘amri, sesuai dengan ketetapan Allah SWT lewat surah an-Nisa’, ayat 59: “Dan taatilah kepada Allah, dan taatilah kepada rasul dan juga pemerintah dalam kalangan kamu,” (rujuk Hamizul Abdul Hamid, Zakat Terapi Kekayaan, hal. 149).

Sukalah diterangkan di sini, sungguh pun dalam kalangan fuqaha sendiri ada membolehkan pembayar zakat mengagihkan sendiri zakat mereka kepada mustahiq; namun ia mestilah melihat kepada keadaan dan kondisi semasa di sesebuah tempat. Misalnya, jika di negara berkenaan pihak pengurusan zakat sudah langsung tidak boleh dipercayai, terkenal dengan menyalahgunakan wang zakat sehingga mengakibatkan seluruh asnaf, khususnya fakir dan miskin terabai, maka kala itulah baharu diperbolehkan umat Islam melangkaui peranan institusi zakat dan memberikan sendiri zakat mereka.

Itu pun masih diperdebatkan dalam kalangan fuqaha. Ini kerana, ada juga dalam kalangan mereka yang menyatakan, sama ada pemerintah itu bertanggung jawab atau tidak dalam menyampaikan amanah zakat; namun zakat masih perlu diserahkan kepada mereka. Seandainya mereka yang menyeleweng, maka merekalah yang berdosa di sisi Allah SWT; bukannya pembayar zakat. Hal ini ada dibahaskan dengan luas di dalam kitab Hukum Islam, sususan Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi pada halaman 733-778.

Namun begitu, jika diperhatikan kepada kondisi semasa di negara ini, khususnya di Selangor, zakat masih ditadbir dan diuruskan dengan baik. Asnaf zakat terus dibela keperluan mereka, diberikan hak sewajarnya sebagaimana yang dituntut oleh agama. Misalnya, dalam menangani masalah kemiskinan, Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah menubuhkan Skuad Jejak Kemiskinan yang berperanan untuk terus turun ke padang mencari orang-orang miskin.

Maka, ini melambangkan LZS amat komitted untuk menangani usaha membela asnaf zakat, khususnya dalam kalangan fakir dan miskin. Begitu juga dengan usaha penubuhan Unit Selamat Akidah oleh pihak pemerintah, ia juga menandakan kesungguhan memastikan keperluan ummah dibela dengan dana zakat.

Oleh itu, sungguh pun ada kejadian permohonan zakat ditolak ataupun kekasaran berlaku dalam urusan agihan zakat, itu adalah kes-kes terpencil. Apa yang perlu, pihak pelanggan (sama ada pembayar mahupun pemohon bantuan zakat), hendaklah segera melaporkannya kepada Bahagian Aduan Pelanggan di institusi zakat berkenaan, agar kes berkenaan dapat ditangani segera dan tidak pula menjadi virus yang boleh merosakkan keharmonian di antara pihak institusi zakat dan juga umat Islam. Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply