• Wed. Jan 20th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Zakat atas pampasan perpindahan

Byadmin

Nov 19, 2010

Saya telah mendirikan sebuah rumah di atas tanah milik orang. Baru-baru ini tuan tanah berkenaan telah menjual tanah tersebut kepada orang lain dan diberinya pampasan sebagai saguhati perpindahan. Soalan saya, adakah saya kena membayar zakat ke atas duit pampasan tersebut? Jika ada orang lain yang turut menduduki rumah itu, adakah saya kena mengeluarkan dahulu zakatnya dan kemudian baharu mengagih-agihkannya kepada yang terlibat? Bagaimana jika saya memasukkan wang pampasan itu kedalam akaun Amanah Saham dahulu dan kemudian baharu membayarkan zakatnya?

JAWAPAN: Wang pampasan wajib dizakatkan kerana ia termasuk dalam harta al-mustafad ataupun harta pendapatan. Ia wajib dikeluarkan pada tahun semasa ia diperolehi tanpa ditunggu genap setahun.

Nabi Muhammad SAW ada menyatakan: “Tunaikanlah zakat harta kamu,” (Hadis riwayat Imam at-Termizi). Menurut ulamak fikah, harta yang dimaksudkan di sini adalah harta pindahan dan ia termasuk dalam kategori harta al-mustafad (harta pendapatan atau perolehan). Maka, wang pampasan atau saguhati seperti ini termasuk ke dalam perbincangan harta pendapatan yang wajib dizakatkan.

Saudara tidak perlu terlebih dahulu menunggu genap setahun memiliki wang pampasan berkenaan, kerana zakat harta pendapatan itu sendiri disandarkan kepada kaedah Umar al-Khattab, iaitu dalam mengira zakat ternakan, baginda telah mengira ke atas semua ternakan kambing termasuklah mencampurkan anak-anak kambing yang baharu lahir dan dikirakan zakatnya. Umar r.a menganggap, anak-anak kambing yang belum cukup umur itu adalah pengembangan kepada kambing yang ada dan terus dikirakan zakatnya pada penghujung tahunnya. Ini dinamakan sebagai konsep an-nama’, atau pengembangan harta.

Oleh itu, saudara hendaklah mencampurkan wang pampasan itu dengan semua pendapatan lain yang diperolehi pada tahun berkenaan dan kemudiannya mengeluarkan zakatnya pada penghujung tahun yang sama (sila rujuk Bicara Zakat yang lalu mengenai kaedah pengiraannya atau rujuk portal www.e-zakat.com.my).

Sekiranya duit itu keseluruhannya adalah milik saudara seorang diri, maka teruslah mengeluarkan zakatnya pada penghujung tahunnya. Tetapi jika ia dikongsi, maka bahagikan dahulu dan selepas itu baharulah dikeluarkan zakatnya secara persendirian oleh setiap orang sebagai zakat harta masing-masing.

Hakikatnya, saudara wajib menunaikan zakat wang pampasan itu pada tahun berkenaan tanpa mengira di mana saudara menyimpannya. Jika ia disimpan di dalam akaun simpanan atau Amanah Saham sekali pun, ia bukanlah zakat simpanan kerana masih belum cukup haul; tetapi ia adalah zakat pendapatan.

Cuma, jika sekiranya setelah saudara mengeluarkan zakat wang pampasan itu dan ada lebihan daripadanya, (setelah dikeluarkan zakat masih berbaki dan ia kekal hingga ke tahun berikutnya) dan ia disimpan bersama-sama wang simpanan lain yang sedia ada, maka ia hendaklah dikeluarkan sebagai zakat simpanan pada tahun berikutnya (yakni selepas mencukupi haul simpanannya). Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply