• Sun. Jan 24th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Zakat Harta Khultah

Byadmin

Mar 30, 2012

Merujuk kepada harta-harta perkongsian yang dimiliki secara bersama, misalnya orang yang memiliki wang di dalam akaun sebuah keluarga secara bersama, atau memelihara ternakan secara perkongsian dan sebagainya, maka, dalam istilah fiqh, ia dinamakan sebagai harta khultah. Apakah makna harta khultah? Umumnya, ia merujuk kepada harta perkongsian atau harta yang zahirnya terpisah-pisah namun hakikatnya bersatu.

Dalam konteks amalan semasa di Malaysia, institusi tertentu telah mengaplikasikan kaedah ini untuk mengeluarkan zakat mereka, misalnya Tabung Haji. Ini kerana, jika dilihat kepada pemilikan individu, ada dalam kalangan pencarum di Tabung Haji yang tidak cukup nisabnya; namun apabila dicampurkan kesemuanya, maka wang caruman berkenaan sudah melebihi nisab dan zakat dikeluarkan atas nama Tabung Haji ke atas semua amaun wang yang ada.

Jika kita merujuk kepada pandangan fuqaha sendiri, mereka turut membahaskan berkenaan nisab ke atas pemilikan harta yang dimiliki secara personal dan secara bersama atau perkongsian ini. Sebahagian fuqaha, misalnya menurut pandangan Mazhab Syafie, al-Hassan al-Basri dan al-Sya’bi, mereka menukilkan: “Sesungguhnya harta kekayaan yang dimiliki secara bersama, adalah sama tarafnya dengan harta kekayaan yang dimiliki oleh seorang (personal). Jika harta kekayaan yang dimiliki secara bersama itu mencapai nisabnya, maka ia wajib dikeluarkan zakatnya, walaupun setiap orang yang bergabung itu memiliki kurang daripada ukuran nisab. Ketentuan ini berlaku untuk semua jenis harta kekayaan.” (rujuk Ensaiklopedia Fiqh Wanita, Dr. Abdul Karim Zaidan, hal. 23).

Mazhab Hambali juga mempunyai pandangan yang sama ke atas harta ternakan ini, iaitu: “Pemilikan bersama dalam binatang ternakan adalah dihukumkan sebagai harta kekayaan yang dimiliki oleh satu orang (tidak boleh dipisah-pisahkan) dan mesti dikeluarkan zakatnya apabila ia telah mencapai tahap ukuran nisab.” (ibid, hal. 23).

Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply