• Mon. Jan 25th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Zakat Hukum Yang Berkembang

Byadmin

Mar 9, 2010

Asas Pengembangan Hukum: Hadis Mua’dz bin Jabal r.a
 
Di antara dalil yang boleh dijadikan sandaran dalam konteks perkembangan zakat ialah, pesanan Rasulullah SAW kepada sahabatnya Saiyidina Muadz bin Jabal r.a yang dilantik menjadi gabenor dan sekali gus sebagai amil ke bumi Yaman. Hadis berkenaan menerangkan asas-asas berijtihad dalam Islam yang ‘valid’ untuk terus digunapakai sehinggalah ke hari kiamat.
 
Syu’bah berkata: “Abu ‘Auf menceritakan kepadaku, daripada al-Harith bin Umar daripada Anas, salah seorang sahabat Mu’adz, bahawa Mu’az berkata bahawa: “Ketika Rasulullah SAW mengutuskan (aku) ke Yaman, baginda bertanya: “Apa yang akan engkau lakukan jika dihadapkan kepadamu (suatu persoalan) yang memerlukan keputusan?” Mu’adz menjawab: “Aku akan memutuskan dengan apa yang terdapat dalam kitabullah.” Baginda SAW bertanya lagi: “Bagaimana jika tidak ditemui di dalam kitabullah?” Mu’adz menjawab: “Aku akan memutuskan berdasarkan sunnah Rasulullah.” Baginda bertanya lagi: “Jika hal itu pun tidak engkau temukan dalam sunnah Rasulullah?” Mu’adz menjawab: “Aku akan berijtihad dengan akal fikiranku sendiri, tidak kurang tidak lebih.” Maka Rasulullah SAW menepuk dadaku (Muadz) seraya bersabda: “Segala puji bagi Allah yang telah memberi taufik kepada utusan-Nya Rasulullah SAW.”

“Segala puji bagi Allah yang telah memberi taufik kepada utusan-Nya Rasulullah SAW.”

Peristiwa ini disampaikan daripada riwayat Syu’bah daripada Abu `Auf daripada al-Harith bin `Amru daripada beberapa orang sahabat, Mu’az. Sungguh pun daripada aspek sanad (periwayatan) hadis ini ada pertikaian di kalangan ahli hadis; namun Ibn Qayyim tetap mempertahankan hadith ini untuk diterima sebagai asas kebenaran berijtihad di dalam Islam.
 
Jadi, apakah maksud berkembang? Sesungguhnya, hukum Islam itu sendiri terbahagi dua, iaitu ada yang sudah putus (qatie) dan ada yang boleh dikembangkan lagi, yakni dengan kaedah berijtihad di kalangan ahli-ahli mujtahid. Memang daripada sudut syariat Islam, hukum dan kewajipan zakat itu sudah putus; namun daripada sudut teknikal ia masih boleh menerima elemen-elemen pembaharuan yang bakal berlaku mengikut keperluan zamannya.
 
Ini kerana, zakat adalah amalan yang berkait dengan sumber kekayaan atau harta. Harta dan kekayaan itu sendiri berubah mengikut masa dan keadaan. Sumber kekayaan zaman dahulu, adalah berasaskan pertanian dan penternakan, manakala hari ini sumber kekayaan itu sudah berubah. Seseorang yang makan gaji misalnya mampu menjana kekayaan menerusi pendapatan penggajian. Bahkan kekayaan menerusi perniagaan juga sudah menjadi suatu yang dominan dan kompleks. Ia bukan lagi sekadar perniagaan merentas negara ke negara; tetapi meliputi pelaburan dan saham dalam pelbagai rupa.
 
Di samping itu, banyak lagi perubahan yang berlaku. Misalnya, sistem ekonomi, aplikasi matawang yang berbeza, uruf pemakaian emas, kaedah pembayaran zakat dan sebagainya lagi. Semua ini menuntut kepada perubahan demi perubahan demi menjadikan amalan zakat sebagai suatu ibadah yang tidak menyusahkan. Bayangkan betapa mudahnya apabila zakat dapat ditunaikan dengan wang ringgit berbanding menggendong guni berisi beras ke kaunter-kaunter zakat atau menarik lembu dan kerbau ke kaunter zakat.
 
Oleh itu, Dr Yusuf al-Qaradawi sendiri dikenali sebagai ulamak yang bijak mengaplikasi ijtihad kreatifnya dalam memberikan nilai tambah kepada amalan zakat hari ini. Misalnya, beliau amat menyokong perlaksanaan zakat pendapatan, kerana ia adalah inovasi zakat yang menguntungkan umat Islam amnya; berbanding menolaknya seperti pendapat sebahagian ulamak lain yang lebih konservatif dalam menerima pembaharuan harta-harta yang wajib zakat. Bahkan ulamak juga menggunakan ijtihad kreatif bagi melaksanakan zakat ke atas harta terpisah (harta khultah) dan ia membolehkan harta umat Islam yang asalnya tidak sampai nisab namun apabila bersatu menjadi lebih nisab berkali ganda dikenakan zakat. Di Malaysia, Lembaga Tabung Haji mengaplikasikan konsep ini bagi menunaikan zakat para pencarumnya sebagai zakat perniagaan.
 
Tradisi Ijtihad Mendasari perkembangan Zakat
 
Asal perkataan bagi ijtihad ialah ‘al-juhd’, yang bermakna sesuatu yang memberatkan manusia, menyusahkan dan hampir tidak mampu dilaksanakan dan ada kemungkinan tidak berdaya untuk dikerjakan. Pendeknya, ijtihad dilakukan dengan tenaga dan keupayaan (meliputi aspek ilmu, kemahiran dan keupayaan mental) yang lebih daripada biasa dan membebankan, kemungkinan tidak menarik untuk dilakukan malah dilakukan secara terpaksa atau atas sebab-sebab tertentu (Kassim Salleh, Ijtihad – Sejarah dan Perkembangannya, JPM, 1992).
 
Menurut Kassim lagi, ulamak fikah juga memberikan pelbagai tafsiran mengenainya, namun ia dapat disimpulkan sebagai: ‘Curahan tenaga daripada seorang yang fakih yang mengkaji dalil-dalil untuk mengeluarkan hukum-hukum syarak bagi masalah furu’. Manakala orang yang melakukan ijtihad dinamakan sebagai mujtahid. Seseorang yang mujtahid mestilah mempunyai kelayakan daripada sudut ilmu dan kefahaman yang mendalam dalam sesuatu bidang, demi membolehkannya menjadi seorang mujtahid.

“Keluwesan berijtihad juga antaranya adalah berdasarkan kepada keumuman ayat al-Quran mengenai zakat…”

Keluwesan berijtihad juga antaranya adalah berdasarkan kepada keumuman ayat al-Quran mengenai zakat. Dengan adanya ayat-ayat al-Quran yang bersifat umum ini, maka ia memberi peluang kepada ulamak untuk mentafsirkannya dalam pelbagai perspektif sehinggalah dapat dijadikan sumber ijtihad pula. Misalnya, ayat 267 di dalam surah al-Baqarah, nas tersebut tidak menjustifikasikan apakah harta yang sepatutnya diinfakkan; sebaliknya hanya disebut harta-harta yang baik yang dikeluarkan oleh Allah SWT kepada manusia. Keumuman nas al-Quran ini memberi peluang kepada fukahak untuk berijithad bahawa semua harta yang baik adalah perlu diinfakkan.
 
Namun begitu, ijtihad sahaja tidak mampu memperkasakan zakat. Maka, ijtihad dan fatwa adalah seiring dalam perlaksanaan zakat demi memastikan setiap ijtihad itu dapat dikuat-kuasakan secara menyeluruh. Ini kerana, zakat adalah hukum Islam yang berkaitan dengan institusi pemerintahan yang tidak dapat lari daripada tanggung jawab pemerintah untuk melaksanakannya. Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply