• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Zakat mengurangi harta?

Byadmin

Mar 17, 2011

Soalan: Apakah yang dimaksudkan zakat melindungi harta. Bukankah zakat membuatkan harta seseorang semakin berkurangan?

Jawapan: Sepotong hadis Nabi Muhammad SAW, yang diriwayatkan oleh Imam Baihaqi yang maksudnya; “Lindungi harta kamu dengan zakat, ubati sakitmu dengan sedekah, dan hadapi gelombang hidup dengan tawaduk kepada Allah dan doa,“ (HR al-Baihaqi)

Maksud yang boleh diamati daripada hadis di atas adalah mudah, untuk memastikan harta selamat, maka sedekahkan harta itu. Zakat juga adalah sedekah, iaitu sedekah yang wajib. Dalam erti kata lain, sikap enggan berzakat dan bersedekah, adalah punca kebinasaan harta.

Memang ada orang yang khuatir dengan bersedekah atau berzakat, maka hartanya akan menyusut. Hakikatnya, Syaitan dan Iblis memang sentiasa membisik-bisikkan perasaan sayang kepada harta. Maka, tatkala si hamba yang berharta mahu mengeluarkan zakat dan sedekah, mulalah si Iblis berbisik dengan pelbagai bisikan demi menggagalkan niat bersedekah dan berzakat itu.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan desak serta pujuklah sesiapa yang engkau dapat memujuknya dengan suaramu; dan kerahlah penyokong-penyokongmu yang berkuda serta yang berjalan kaki untuk mengalahkan mereka; dan turut-campurlah dengan mereka dalam menguruskan harta-benda dan anak-anak (mereka); dan janjikanlah mereka (dengan janji-janjimu). Padahal tidak ada yang dijanjikan oleh Syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata,” (al-Isra: 64)

Manusia mungkin lupa atau mungkin tidak sedar, bahawasanya kita dan seluruh kepunyaan kita, adalah milik Allah SWT. Apabila Allah SWT menghendaki kita agar berzakat, berinfak dan bersedekah, maka pastilah Allah SWT tidak menyuruhnya dengan sesia. Pasti ada manfaat di sebaliknya. Ia menjadi rahsia Allah SWT yang hanya dapat kita kesani dan rasai natijahnya apabila amalan bersedekah dan berzakat itu sudah menjadi satu kelaziman pada diri. Ibarat manisnya gula, hanya dapat dimengerti oleh orang yang pernah merasai dan bukannya oleh orang yang hanya asyik berteori tentang manisnya gula.

Maka, lestarikanlah amalan bersedekah agar ia menjadi tradisi yang berakar umbi dalam kehidupan. Bahkan sedekah dan zakat juga adalah kaedah terbaik melentur nurani mereka menjadi manusia berakhlak mulia. Lagi pun, Rasulullah SAW juga sudah berjanji, bahawa orang yang suka bersedekah sama sekali tidak akan rugi. Bahkan Allah SWT sudah menjamin kehidupan mereka, bahkan menjadi punca datangnya kemuliaan di sisi manusia.

Daripada Abu Hurairah r.a., daripada Rasulullah SAW, sabdanya: “Sedekah tidak akan mengurangi harta seseorang. Seseorang yang pemaaf, Allah menambahkan kemuliaan baginya. Dan seorang yang tawadhuk (merendahkan diri) kepada Allah, maka Allah menaikkan darjatnya,” (Riwayat Muslim). Wallahua’lam.

Sebarang kemusykilan zakat sila emailkan kepada hamizul@e-zakat.com.my atau layari www.e-zakat.com.my.

Related Post

Leave a Reply