• Tue. Jan 19th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Zakat Pendapatan: Harta al-Mustaghallat

Byadmin

Jan 15, 2010

Sebenarnya perbincangan mengenai harta al-Mustaghallat (al-mal al-mustaghallat) ini termasuk dalam huraian mengenai zakat pendapatan. Ia pernah dibicarakan oleh sarjana fikah misalnya oleh Dr Husayn Shahatah dan jika di Malaysia oleh Dr Mujaini Tarimin, kerana ia memang merupakan salah-satu kaedah mendapatkan pendapatan bagi orang-orang Islam. (Foto: keratan akhbar Dr Hasanah mengenai isu yang sama)
 
Menurut Dr. Husayn Shahatah: “Harta al-mustaghallat ialah pendapatan daripada sumber barangan modal harta tetap atau harta tahan lama dengan cara sewaan atau jualan perkhidmatan daripada kedua-duanya yang tidak bleh diterapkan dalam zakat perniagaan serta tidak digunakan sebagai barangan gunaan langsung.” (Dr Mujaini Tarimin, Zakat menuju pengurusan profesional, halaman 63)
 
Daripada sudut dalil, harta al-mustaghallat ini juga disandarkan kepada dalil yang sama yang digunapakai ke atas harta al-mustafad, iaitu sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 267: “Wahai orang-orang yang beriman, nafkahkanlah (di jalan allah) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu”. Maknanya, “hasil usaha yang baik-baik..” itulah menjadi sandaran kepada kewajipan zakat ke atas harta al-mustaghallat ini. (Contoh harta al-mustaghallat: Home Stay)
 
Walau bagaimanapun, bidang harta al-mustaghallat adalah berbeza, ia meliputi pendapatan yang terhasil misalnya melalui sewaan bangunan, pengangkutan yang menghasilkan pendapatan dan keuntungan, ternakan binatang tenusu, ayam telur, perusahaan madu lebah dan hasil ciptaan intelek yang disewakan seperti hak cipta, patten, nama perdagangan dan lain-lain lagi.
 
Oleh itu, apa yang harus difahami oleh umat Islam ialah, zakat ke atas harta al-mustaghallat ini adalah tertakluk kepada harta yang asalnya tidak wajib dizakatkan; namun pendapatan yang terhasil daripadanya itulah yang wajib dizakatkan. Misalnya, tanah dusun yang asal tidak wajib dizakatkan (ke atas harta itu); atau kereta dan rumah; namun apabila tanah, rumah dan kereta itu disewakan atau dipajakkan, maka hasil sewaan atau pajakan yang diperolehi oleh pemiliknya itulah yang wajib dizakatkan atas illat (alasan) ia mendatangkan pendapatan dan mendatangkan kekayaan.
 
Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply