• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Ziarah raya yang berpahala

Byadmin

Sep 24, 2010

untitled-1Nota: Makalah ini disediakan untuk Untuk Utusan Jawi

Amalan ziarah di musim perayaan memang baik. Ia menepati saranan Islam, agar kita saling kunjung-mengunjung. Sunnah Rasulullah SAW sendiri, baginda sering mengunjungi jiran-tetangga dan sesama saudara Seislam, apatah lagi bagi mereka yang dalam kesusahan dan kesakitan. Bahkan nabi pernah menziarahi orang kafir yang sakit dengan penuh kelembutan dan mengharapkannya kesembuhan.

Anas r.a pernah mengungkapkan bahawa nabi pernah menziarah seorang anak Yahudi yang jatuh sakit dan mengajaknya agar memeluk Islam. Kemudian kanak-kanak itu memeluk Islam setelah diizinkan bapanya (mafhum hadis riwayat Bukhari).

Musim raya ibarat membawa suatu sinar suria harapan. Ada orang yang sekian lama bermasam muka, maka pada lebaran ini mereka merungkai permusuhan. Tangan dihulur penuh persahabatan. Maaf diberi dan dihulur penuh keikhlasan. Maka, itulah natijah pertama yang mampu diraih daripada aktiviti ziarah.

Orang yang berziarah mesti tahu, apa matlamat mereka berziarah. Takbir raya yang bersahutan menandakan kita kembali kepada fitrah. Sebulan berpuasa bermakna, kita sudah diampunkan dosa. Selagi kita tidak melakukan dosa besar di sisi-Nya. Maka, ziarah adalah medan melunasi segala dosa sesama manusia.

Berkata Imam as-Syafie: “Sesiapa yang mahu meninggal dunia dalam keadaan selamat, maka hendaklah ia mengqadakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan daripada orang yang kita (kamu) zalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah.”

Ziarah juga untuk melebarkan ukhuwwah dan persahabatan. Ini kerana, seorang muslim itu adalah saudara kepada muslim yang lain. Dengan suburnya perhubungan atas dasar Islam, maka ia dapat membantu umat Islam memelihara dan saling menjamin antara satu sama lain. Tepat sebagaimana maksud hadis, bahawa seorang muslim dengan muslim yang lain itu ibarat sebuah jasad (mafhum hadis riwayat Ahmad).

Amalan ziarah juga membolehkan kita memuliakan tetamu yang datang. Rumah yang didatangi tamu, sebenarnya membawa keberkatan. Maka, gunakanlah peluang itu sebaik-baiknya untuk memberikan tetamu kita keselesaan. Jamulah mereka dan berbicaralah dengan baik. Inilah isyarat kita ini beriman kepada Allah dan juga hari akhirat.

Abu Hurairah r.a dalam menyebutkan hal ini, menekankan ada tiga pra-syarat penting sebagai pertunjuk keimanan kepada Allah dan hari akhirat, iaitu kita mestilah tidak menyakiti jiran-tetangga; mestilah memuliakan tetamu dan mestilah menjaga lidah (lisan) daripada seuatu yang tidak baik, (mafhum hadis riwayat Bukhari).

Ada lagi hikmah di sebalik ziarah, iaitu peluang kita berbuat sedekah. Sedekah di sini, sama ada dengan material mahu pun tidak. Orang yang berkunjung, kita jamu mereka dengan makanan. Itu adalah sedekah. Anak-anak pula kita hulurkan duit raya, itu juga adalah sedekah. Malah, menyambut dan menghantar mereka pulang dengan senyuman juga adalah sedekah. Bukankah nabi berpesan, senyuman itu satu sedekah (hadis riwayat Termizi).

Namun begitu, janganlah kita mengabaikan adab berziarah. Di antaranya, sewaktu berziarah kita mestilah mengawal pandangan. Tidak melihat dengan berleluasa rumah orang, sehinggakan ke dapur dan ceruk bilik pun kita mahu melihatnya. Adab ziarah juga, tidak menjadikan medan perjumpaan itu tempat mengumpat dan menabur fitnah. Ia bukannya mendatangkan faeadah, melainkan menambah dosa baharu pula.

Orang yang berziarah juga tidak patut menyusahkan tuan rumah. Misalnya dengan sengaja mendatanginya pada lewat malam. Kita hendaklah sedar, apakah kemampuan tuan rumah dalam melayani kita. Ukurlah kemampuan sendiri, jika kita pun tidak mampu, maka seperti itu jugalah tuan rumah yang menerima kedatangan kita.

Paling akhir, anak-anak mesti diberitahu adab dan etika kala berziarah. Antaranya, adab menghormati orang yang lebih tua, ada bersalamaan, adab dengan orang yang bukan mahram, batas aurat dan syariat dalam pergaulan dan tidak lupa, tidak boleh melakukan dan menyebut sesuatu yang mampu mengguris hati tuan rumah.

Misalnya, ada orang tanpa sengaja membandingkan hiasan rumah, jenis makanan dan jumlah duit raya yang diberi. Ingatlah, setiap orang berbeza citarasa dan berbeza kemampuannya. Apa yang penting, jadikanlah ziarah sebagai tanda mensyukuri nikmat Allah. Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply